Ulasan Filem: Aadai (2019)

Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Rathna Kumar
Pelakon | Amala Paul, Vivek Prasanna, Ramya Subramaniam

Aku rasakan filem ni ialah filem Tamil paling daring sekali untuk bercakap tentang topik ringkas. Macam filem Tamil lain, filem ni dibina berdasarkan satu isu atau mesej. Kemudian, dalam durasi filem, semuanya dikekalkan dengan misteri, dan kemudiannya di hujungnya adalah ceramah pasal isu yang nak diutarakan. Standardlah. Tapi, Aadai ni memang sangat berani dan luar biasa.

Tak pernah lagi sepanjang aku menonton filem, adanya satu watak yang sepanjang filem berkeadaan telanjang. Ya, Aadai ni papar watak telanjang. Tapi, aku memang puji habis. Walaupun wataknya telanjang, kisahnya diceritakan dalam keadaan yang sangat unik dan kreatif. Jadi, walaupun kita melihat watak dalam keadaan tak pakai apa, filem ni masih bukan filem porno.

Dibintangi oleh Amala Paul, filem arahan Rathna Kumar ini berkisah tentang seorang seorang wanita yang terperangkap di dalam sebuah bangunan stesen tv selepas stesen tv itu berpindah. Dia ditinggalkan di dalam bangunan itu selepas beberapa orang rakan meraikan hari terakhir di bangunan yang sehari ditinggalkan dengan minum arak dan mabuk.

Filem ini bermula dengan kisah prank yang memang melampau untuk sebuah stesen tv. Tidak terlalu lama untuk filem ini bergerak ke kisah utama. Kita akan disajikan dengan watak yang tiba-tiba ditinggalkan di dalam bangunan tanpa pakaian dan bagaimana watak Kamini ni survive untuk keluar dari bangunan tu tanpa dimalukan.

Jujurnya, aku rasa agak kurang jelas sikit apa kaitan intro animasi pada awal filem dengan kisah keseluruhan filem. Tapi, aku faham yang animasi di awal filem mempunyai main point yang bercakap tentang pentingnya menjaga aurat dan kewanitaan. Cuma, kaitannya dengan kisah utama filem ni macam tak berpadu!

Satu aspek yang aku puji habis tentang filem ni ialah bagaimana filem ni memaparkan watak bogel tanpa menunjukkan kebogelan. Kreativiti pengarah dalam filem ni memang cukup terbaik. Bukan senang untuk paparkan kisah wanita tak pakai baju dan seluar tanpa buatkan orang tonton dengan nafsu.

Filem ni memang ada mesej. Tapi, most of the time, filem ni memang kisah survival. Berbekalkan seorang watak sahaja dan juga kisah dalam bangunan tinggal, filem ni memang cukup padu. Naratifnya berjaya menimbulkan cemas dan tanda tanya tentang apa yang bakal berlaku seterusnya.

Walaupun Aadai ni sebuah filem yang bercerita tentang perempuan bogel yang terperangkap dalam bangunan, mesej filem ni memang terbaik. Filem ni bercakap tentang aktiviti prank yang membawa kesan negatif dalam masyarakat. Sekaligus, Aadai menyedarkan bahawa pranking mungkin akan mengganggu kehidupan orang lain yang mengejar sesuatu yang lebih baik!

Pada aku, Aadai ni enjoyable. Permulaannya macam terlalu jiwa muda. Tapi, pertengahannya cukup daring. Di akhirnya pula ada twist yang bermesej. Aadai memang memuaskan, tapi, aku rasakan yang filem ni memang sesuai untuk tontonan dewasa je. Walaupun tiada adegan nudity, filem ni ada babak prank yang mungkin tak sesuai untuk semua golongan.

Aadai mungkin filem Tamil yang paling berani pernah aku tonton. Aku tak tahulah ini ialah generasi baru filem Tamil. Tapi, filem seperti Aadai sememangnya usaha kreatif pembikin filem Tamil untuk lepas dari cencorship dan bercakap tentang isu sensitif dengan lebih terbuka.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan