Header Ads Widget

Huraian Babak Kemuncak Filem 'KL Special Force' [SPOILER ALERT]



KL Special Force mungkin boleh dikatakan antara karya paling agung Syafiq Yusof. Kecekapan Syafiq menyembunyikan pelbagai falsafah di dalam filem ini menyebabkan karya ini bukan hanya dapat dilihat daripada satu lapis sahaja. Filem ini bukan sekadar sebuah filem kepolisan tetapi ianya sebuah filem yang lebih dari sekadar itu.

Dibintangi Rosyam Nor (Lan), Fattah Amin (Zul) dan Syamsul Yusof (Asyraff) sebagai teraju utama, filem ini menampilkan aksi yang non-stop dan juga debaran adrenalin yang memuncak!


Dalam artikel ini, kami akan membincangkan tentang penamat filem ini yang disifatkan sangat penuh dengan kejutan. Dan setiap kejutan di akhir filem ini sebenarnya menggambarkan falsafah yang ingin ditanamkan Syafiq kepada penonton sama ada secara tersirat atau tersurat.

TULISAN SELEPAS PERENGGAN INI MEMPUNYAI SPOILER. Kami nasihatkan korang supaya berhenti membaca setakat ini jika korang masih belum menonton filem ini. Jika korang bersedia untuk membaca SPOILER dalam perbincangan ini, korang boleh teruskan pembacaan.

-
-
-
-


-
-
-
-
-
-

HURAIAN BABAK KEMUNCAK FILEM KL SPECIAL FORCE

Disebabkan mahu menyelamatkan Mia, Zul bergegas melarikan diri daripada kawalan polis. Di dalam perjalanan, Zul dilanggar oleh trak yang dipandu oleh Asyraff. Asyraff menjadikan Zul tahanan. Di masa inilah, Asyraff menceritakan objektif sebenar dia merompak bank. Semuanya kerana dendam lama terhadap Datuk Meor yang mana pernah memperkosa ibunya ketika dia masih kecil.

Asyraff mengatakan persoalan tentang keadilan yang dia percaya telah dia lakukan. Lalu, dia mengajak Zul untuk menyertai kumpulan Anarkis untuk membantunya melaksanakan keadilan terhadap dunia. Zul lalu mengaku yang dia akan menyertai Asyraff demi menyelamatkan tunangnya, Mia. Namun, taktik licik Zul yang cuba memperdayakan pemikiran Asyraff gagal. Asyraff membunuh Datuk Meor.

Polis datang menyerang selepas lokasi persembunyian Asyraff diberitahu oleh Asyraff sendiri. Dalam pertempuran akhir, Asyraff akhirnya berjaya dikepung. Namun, Asyraff berjaya menjadikan Mia tahanannya dengan mengacukan muncung pistol tepat ke kepala. Zul berjaya ditundukkan apabila Mia akhirnya menjadi mangsa. Asyraff lalu meminta helicopter sebagai cagaran melarikan diri.

Lan lalu datang bersama ibu Asyraff untuk cuba melembutkan hati Asyraff. Asyraff merasakan dirinya sudah terperangkap. Dia rasakan yang Mia harus mati. Mia ditembak. Zul meraung dan merasakan bahawa kematian Mia memberikan perspektif baru dalam dirinya. Dia kini merasakan penderitaan Asyraff!

Zul akhirnya ditahan di hospital mental kerana mindanya yang berjaya diracuni oleh falsafah Asyraff.



ANARKI, SECARA TERSIRAT

Kenapa kumpulan Asyraff dinamakan Anarki? Anarki secara umumnya bermaksud menolak pemerintahan kerajaan yang berdaulat. Secara umumnya, kita cuba untuk memerintah dengan cara kita sendiri dan tidak mengikut undang-undang yang dizahirkan oleh kerajaan yang memerintah. Dalam erti kata lain, kita menjadi hero yang mana dipanggil penjenayah di mata kerajaan.

Dalam filem ini, sifat anarki ini dipaparkan dalam watak Asyraff. Dia boleh disifatkan sebagai ant-villain kerana dia bukanlah seorang penjenayah yang melakukan kejahatan kerana sifat jahat. Dia melakukan kejahatan dengan berpandukan motif dan tujuan. 

Asyraff menggambarkan 'anarki' itu sendiri. Dia memberontak dan cuba menjadi 'raja' dan 'keadilan' dalam caranya tersendiri. Dan disebabkan falsafah cendawan yang berada di dalam dirinya, semangat memberontak kerana kisah silam, yang lalu menjadi sebuah keinginan untuk membetulkan dunia menjadikan Asyraff seorang raksasa yang sukar dikawal. 

FALSAFAH CENDAWAN

Filem ini bermula dengan babak rompakan yang sangat epik. Pada permulaan ini, kita melihat bagaimana Asyraff memiliki falsafahnya sendiri yang mana mencetuskan motivasi untuk dia membuat jenayah. Penjenayah diibaratkan seperti cendawan. Potong satu, banyak lagi akan tumbuh. Jika dilihat dalam satu lapis sahaja, mungkin korang rasa filem ini hanya menggunakan falsafah ini hanya untuk menasihat. Tetapi, tanpa sedar, filem ini menggambarkan falsafah yang didukung oleh Asyraff dan juga Lan. Lihat sahaja ending filem ini. Asyraff ‘cendawan beracun’ dibunuh, lalu ‘cendawan baru’ pula tumbuh di dalam diri Zul kerana kematian tunangnya.

Dalam bahasa mudah, falsafah cendawan ini sebenarnya menunjukkan bahawa kejahatan ini takkan mati selagi dunia tidak kiamat. Tidak ada kejahatan yang akan padam selagi syaitan ada. Dan setiap hierarki kesyaitanan dalam diri kita menentukan siapa diri kita dalam kehidupan kita. Lihat sahaja watak Lan. Dia menerima duit dari Asyraff selama berbulan, namun dia berjaya mengawal dirinya daripada menggunakan duit rasuah tersebut. Zul pula cemerkap, pantas, gaya muda dan sentiasa terburu-buru, dan syaitan sentiasa berusaha menghasutnya menjadi ‘cendawan beracun’. Dan Asyraff pula, ialah tanda berjaya si ‘syaitan’ memesongkan manusia!

APA YANG TERJADI PADA ZUL IALAH KESILAPANNYA SENDIRI

Rosyam Nor dan Fattah Amin ialah dua pelakon dari dua zaman berbeza. Masing-masing dipilih untuk membawa watak yang tepat dengan persona dan sekaligus memberikan ruang untuk kita melihat gandingan ini bukan sekadar gandingan ‘cop buddy’ yang biasa. Di dalam filem ini, Syafiq sebenarnya menekankan elemen menghormati yang lebih tua bukan sahaja dalam hubungan Asyraff dan ibunya tetapi juga dalam hubungan Lan dan Zul.

Zul selalu bersalah sangka terhadap Lan. Dan dua orang ini sentiasa berbeza pendapat. Apatah lagi Zul seringkali melawan cakap Lan dan tidak pernah bertindak mengikut arahan. Syafiq membina watak Lan sebagai seorang senior yang sentiasa begis, tegas dan juga mempunyai ego. Sifat seorang senior yang mana kadangkala selalu dikritik kerana usia dan juga perubahan masa. Zul pula diberikan karakteristik yang kononnya merasakan dia ialah paling bijak, selalu buat tindakan sendiri, dan merasakan bahawa Asyraff ialah orang yang mudah ditangkap.

Di akhir filem ini, kita mendapati tema ini sekaligus menunjukkan bahawa kegagalan Zul mengikut nasihat Lan membawa padah kepada dirinya. Apabila Lan diuji oleh Asyraff pada hari jadi anaknya sehingga anaknya terpaksa dipotong kaki, Asyraf masih lagi boleh berfikiran waras lalu terus meneruskan usahanya menangkap Asyraff. Namun, jiwa muda Zul gagal untuk mengawal dirinya apabila dia diuji dengan kematian Mia!

Zul seharusnya sedar sejak dari awal bahawa Asyraf bukanlah calang-calang manusia. Tindakannya yang tidak menghormati tindakan Lan akhirnya membawa padah kepada dirinya sendiri. Akibat tindakannya yang kononnya tahu semua, dia akhirnya menerima padah!



KENAPA MIA HARUS DIBUNUH?

Elemen besar yang ingin disampaikan di dalam filem ini ada pada Asyraff. Dalam babak pengakhiran, Asyraff tidak pernah merasakan dirinya seorang penjenayah. Dia merasakan dirinya seorang hero dan sedang melakukan ujian terhadap manusia di sekelilingnya. Tindakannya ini diransang oleh kisah silamnya dimana ibunya pernah dirogol oleh Datuk Meor.

Asyraff menanam benci di dalam dirinya dan menggunakan kemahirannya dalam melakukan jenayah untuk memberi keadilan kepada dunia. Falsafah Asyraff ini boleh dikatakan satu pemesongan terhadap akal yang semestinya agak berbahaya. Watak Asyraff menggambarkan bahawa kejahatan di dunia ini terjadi bukan disebabkan saja-saja.

Di dalam filem ini, Asyraff menjadi penjenayah yang hanya mahu keadilan dengan caranya. Namun, di dalam realiti sebenar, berapa ramai manusia yang menjadi penjenayah hanya kerana kesempitan hidup dan juga pelbagai asbab. Mereka tidak mahu menjadi penjenayah. Begitu juga Asyraff. Dia menjadi penjenayah kerana Datuk Meor merogol ibunya. Jalan hidupnya tidak ditentukan dirinya tetapi takdir yang membawanya ke situ. 

Dan di babak akhir, pilihan Asyraff untuk membunuh Mia bukanlah mahu melarikan diri tetapi sebaliknya dia tahu, kejahatan di dalam dirinya takkan ke mana-mana jika dia tidak membunuh Mia.  Kematian akan datang kepadanya, cepat atau lambat. Sebelum dia hilang di dunia, dia harus berikan falsafahnya kepada orang lain supaya ianya berkembang biak.

Apabila Asyraff membunuh Mia, ini sekaligus membuatkan Zul merasakan apa yang dirasai oleh masa silam Asyraff. Asyraff sebenarnya berjaya dalam misinya dan misi untuk menebus maruahnya yang tercalar kini sudah selesai apabila dia sudah memindahkan falsafahnya ke dalam diri Zul melalui kematian Mia. 

Hal ini sekaligus menyebabkan Zul sebenarnya menjadi Asyraff yang baru. Ada dendam dalam dirinya yang tidak boleh disalurkan dengan baik, yang sekaligus merosakkan akal warasnya. Namun, nasib baik Zul masih boleh dikawal di dalam hospital mental. 


KESIMPULAN

Setiap orang ada syaitan dalam diri mereka. Dan filem ini bercakap tentang tiga tingkat kejahatan dalam diri kita melalui tiga watak utamanya yakni Zul, Asyraff dan Lan. Di akhir filem ini, kita mungkin sedar yang filem ini bukan hanya sekadar sebuah filem kepolisan yang dibandingkan dengan Gerak Khas tetapi sebuah filem yang bercakap tentang syaitan di dalam diri kita.

Kepolisan di dalam filem ini hanyalah samaran untuk Syafiq menyampaikan falsafahnya tanpa memberi kebosanan! KL Special Force kini ditayangkan di pawagam bermula 8 Mac 2018.

Post a Comment

0 Comments