Tahukah Korang? Pengarah 'Mojoku Hilang' Pening Dengan Hero Sebenarnya


Kalau tengok trailer atau poster filem Mojoku Hilang, mungkin ramai ingat cabaran terbesar pengarah Min Lim adalah mengendalikan barisan pelakon. Hakikatnya, "pelakon" yang paling mencabar di set ialah seekor lembu bernama Mojo!


Menurut Min Lim, sebelum penggambaran bermula, pasukan produksi terpaksa mencari seekor lembu yang mempunyai perangai baik dan tenang. Selepas menemui calon yang sesuai, lembu tersebut dibeli dan dibawa dari Gombak ke Perlis bersama seorang handler khas yang menjaganya sepanjang penggambaran.

Pada awalnya, Min sudah merancang pelbagai babak menarik melibatkan Mojo. Namun, sebaik penggambaran bermula, semuanya tidak menjadi seperti yang dirancang. Mojo langsung tidak mahu mengikut arahan!

Lebih mencuit hati, lembu itu juga sangat manja. Malah, ada ketika ia perlu disuapkan makanan kerana tidak mahu makan sendiri. Sikap "diva" ini menyebabkan kru produksi terpaksa sentiasa menyesuaikan jadual penggambaran mengikut mood Mojo.

Namun, setiap bintang ada kelemahannya... dan juga kegemarannya.

Rahsia untuk mendapatkan kerjasama Mojo sebenarnya cukup mudah. Pisang!

Setiap kali kru mahu Mojo bergerak ke sesuatu tempat atau melakukan aksi tertentu, mereka akan "merasuah" lembu itu dengan pisang. Menurut Min Lim, Mojo memang sangat menggemari buah tersebut, malah beliau menyifatkannya sebagai lembu pertama yang pernah ditemuinya yang begitu obses dengan pisang. Ada masanya, Mojo bukan makan pisang itu pun, sebaliknya hanya menjilatnya!

Walaupun melalui pelbagai cabaran dan beberapa rancangan asal terpaksa dibatalkan, Min Lim mengakui Mojo akhirnya memberikan kerjasama yang sangat baik. Apa yang berjaya dirakam sudah cukup untuk memenuhi keperluan filem dan menjadikan lembu itu antara watak paling istimewa dalam Mojoku Hilang.

Filem komedi romantik Mojoku Hilang mengisahkan Adi, seorang pekerja korporat di Moo Magic Farms yang dihantar ke sebuah kampung di Perlis untuk menjejaki semula Mojo, seekor lembu yang menjadi sensasi viral. Dalam misinya itu, dia bukan sahaja menemui lembu berkenaan, malah menemui makna sebenar kehidupan. Filem arahan sulung Min Lim ini dibintangi Adipati Dolken, Mimi Lana dan Wan Hanafi Su, serta mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 23 Julai 2026.

Catat Ulasan

0 Ulasan