Huraian Babak Kemuncak Filem 'Munafik 2' [SPOILER ALERT]



Munafik 2 kini menjadi sebuah fenomena selepas menjadi antara filem paling laju mengumpul lebih RM20 juta dalam masa hanya 5 hari. Munafik 2 ialah sekuel kepada filem Munafik yang diterbitkan pada tahun 2016. Filem ini dibintangi oleh Syamsul Yusof, Fizz Fairuz, Maya Karin, Asmawi Ani dan juga Nasir Bilal Khan. 

Artikel ini akan membincangkan inti di sebalik filem ini mengikut pemahaman penulis. Disebabkan filem ini mempunyai isu berkaitan agama, beberapa point yang akan dihuraikan hanyalah dibincangkan secara ringan dan bukannya dalam. Kami juga akan melihat bagaimana filem ini boleh membawa kepada sekuel seterusnya, Munafik 3.

Ambil maklum bahawa post ini mengandungi SPOILER MAJOR. Korang tak digalakkan membaca artikel ini jika masih belum menonton filem ini. 

-

-

-

-

-

-

-



-

-

-
HURAIAN FILEM ‘MUNAFIK 2’


Ustaz Adam (Syamsul Yusof) masih dihantui kejadian di akhir filem Munafik. Dia selalu mendapat mimpi kematian Maria (Nabila Huda). Selain dikejutkan dengan gangguan budak kecil dan hantu, dia juga sering ternampak seorang lelaki yang berada di tingkat dua rumah lama berkenaan. Pada suatu hari, ayah kepada Syamsul Yusof (Dato’ Rahim Razali) kebetulan mahu ke kampung sebelah. Dia bertemu dengan Azhar (Asmawi Ani). Dari situ, dia mendapat tahu tentang kampung Azhar yang sudah berubah dek ajaran ilmu sesat Abu Ja (Nasir Bilal Khan).

Di kampung sebelah, Sakinah (Maya Karin) sedang menjaga ayahnya, Imam Malik yang dahulu kuat menentang Abu Ja. Imam Malik kini sedang terlantar nazak kerana ilmu hitam yang dihantar oleh Abu Ja. Tidak tahan dengan gangguan pada satu malam, Sakinah akhirnya meminta pertolongan Azhar.

Azhar lalu meminta pertolongan Ustaz Adam kerana diyakini dia sahaja yang mampu menyelesaikan masalah kampung itu. Walaupun pada awalnya, ibu Ustaz Adam tidak mengizinkan Ustaz Adam pergi, akhirnya dia relakan juga. Ustaz Adam bergerak ke kampung sebelah bersama dengan teman baiknya, Azman (Fizz Fairuz). Kehadiran Ustaz Adam ke kampung itu dihidu Abu Ja walaupun Azhar menyatakan tiada siapa tahu kedatangan mereka ke situ. Ustaz Adam akhirnya bertemu dengan Abu Ja buat pertama kalinya.

Sementara itu, Abu Ja tidak henti-henti mengganggu Sakinah. Dengan bantuan kuncu-kuncunya, Abu Ja berjaya menculik anak Sakinah untuk dikorbankan. Namun, Sakinah dengan sekuat hati berjaya menghalang Abu Ja dan mendedahkan anak itu ialah anak kepada Abu Ja sendiri hasil nikah batin. Abu Ja melepaskan anak Sakinah untuk kali itu.

Ustaz Adam kerap diganggu di rumahnya selepas dia mengubati Sakinah. Tanpa dia sedar, Abu Ja sudah menghantar ilmu hitamnya kepada Ustaz Adam tanpa sedar. Nasib baik Azhar ada untuk mengubati. Dalam satu kejadian yang tidak disangka, pada malam Ustaz Adam hilang, ibu Ustaz Adam meninggal dunia ditikam sebilah pisau.

Ustaz Adam mula percaya yang perkara ini ialah angkara Abu Ja. Dalam babak-babak akhir filem, Ustaz Adam cuba untuk meyakinkan pengikut Abu Ja untuk kembali taat kepada tuhan. Dalam satu babak Ustaz Adam dirasuk, Azhar dibunuh oleh Abu Ja. Namun, akhirnya dia dibelasah teruk. Malah, Abu Ja berjaya mendesak Sakinah untuk menfitnah Ustaz Adam dengan menyatakan bahawa dia pernah dirogol oleh Ustaz Adam.


Ketika Sakinah mengaku bahawa dia pernah dirogol oleh Ustaz Adam, orang kampung tidak percayakan Sakinah dan mahukan saksi. Tanpa disedari, Azman muncul dan belot terhadap Ustaz Adam, rakan baiknya sendiri. Azman lalu didedahkan sebagai punca kematian Maria dalam babak akhir filem Munafik. Rupanya, Maria bukan jatuh dari tingkat dua rumah lama kerana ditolak hantu. Azmanlah yang menolak Maria supaya ajaran sesat Pak Osman tidak diketahui siapa-siapa.

Azman mendedahkan yang dia sebenarnya mahu menjadi seperti Ustaz Adam. Dia sudah malas untuk menjadi sidekick Ustaz Adam. Dia mahu disanjungi. Tanpa Ustaz Adam ketahui, dialah punca bagaimana Abu Ja tahu tentang kedatangannya ke kampung itu buat pertama kali.

Tanpa ada siapa yang membantu kecuali ayahnya, Ustaz Adam diseret oleh Abu Ja sambil diekori oleh pengikutnya, Azman dan juga Sakinah. Di tempat pemujaan, Ustaz Adam membaca doa dan beristigfar. Azman dan Sakinah mula rasa bersalah dengan tindakan mereka dan meminta Abu Ja menghentikan perbuatannya.

Namun, Abu Ja sudah sukar dikawal. Dia lalu cuba mengingatkan Ustaz Adam tentang sesuatu. Lalu, Ustaz Adam menyedari bahawa dia ialah pembunuh ibunya sendiri ketika dia dirasuk jin yang dihantar Abu Ja.

Abu Ja menipu Sakinah dengan membenarkan dirinya untuk pergi menurunkan Ustaz Adam yang digantung sebelum dia ditikam di belakang tanpa disedari. Sakinah mati. Azman tidak mampu berbuat apa. Ketika itu, langit mula berdentum, guruh dan kilat bersabung.



Seluruh kawasan pemujaan bergoncang. Kuncu-kuncu Abu Ja mati dan ada terbakar. Abu Ja pula gagal melarikan diri dan dihempap bongkah dinding yang jatuh. Ayah Ustaz Adam menurunkan Ustaz Adam dari gantungan. Ustaz Adam mengangkat bongkah batu yang menghempap Abu Ja sambil mendoakan seluruh umat Islam sebelum dia meninggal dunia.

KEMUNAFIKAN YANG JELAS, NYATA DAN TERSEMBUNYI


Jika nak dibandingkan filem Munafik (2016) dan sekuelnya ini, filem Munafik 2 lebih terang dan bersuluh dalam menghuraikan definisi seorang munafik. Setiap ciri kemunafikan dicerakinkan sehingga terang dan jelas, tidak seperti Munafik (2016) yang lebih kepada soalan dan pertanyaan siapakah yang munafik.

Syamsul Yusof dengan lantang menghuraikan kemunafikan Abu Ja dengan terang dan berani. Abu Ja dipaparkan sebagai seorang manusia yang tidak pernah menghina Rasulullah s.a.w dan Allah s.w.t. Namun, Abu Ja mencipta ajaran sesatnya dengan menghukum bahawa setiap ajaran yang dilakukan oleh orang Islam ini sebenarnya sesuatu yang payah dan bidaah.

Malah, Syamsul Yusof juga masih menghuraikan bahawa antara ciri kemunafikan ialah ianya sukar untuk dilihat. Contoh yang terbaik untuk menggambarkan ini ialah watak Sakinah yang berpaling tadah bersama Azman hanya untuk kepentingan diri masing-masing.   

Terlalu banyak idea yang dalam yang membicarakan hal ini. Kami serahkan kepada yang lebih pakar untuk menghuraikan perihal dialog-dialog yang dalam yang berbicara tentang kemunafikan, hadis palsu dan juga iman yang rendah. Tetapi, secara jelasnya, jika kita amati Munafik 2, satu-satunya sebab bagaimana orang kampung boleh terpedaya dengan Abu Ja ialah kerana mereka percaya Abu Ja masih membawa ajaran Islam.

Dalam realiti, itulah sesuatu yang bahaya. Seseorang itu, jika tiada ilmu, dan tidak bertanya, lalu dia mengikut sahaja ajaran tanpa sesuatu tafsiran yang benar, maka dia akan terjerumus menjadi pengikut kepada Abu Ja. Inilah sebenarnya yang Syamsul Yusof mahu kisahkan. Realiti itu sebenarnya sudah ada di dalam dunia ini dan di sekeliling kita.

Ada segelintir kita yang hanya Islam di kad pengenalan dan tidak pernah pun menyembah tuhan. Ada juga yang menyembah tuhan tetapi niatnya tidak pernah betul. Ada juga yang hanya berpura-pura. Dan itulah kemunafikan yang jelas dan nyata.

ENDING FILEM MUNAFIK 2 MEMBERI DEFINISI BARU FILEM MUNAFIK (2016)


Babak pengakhiran filem Munafik 2 sebenarnya memberi definisi baru kepada filem Munafik (2016). Syamsul Yusof bijak menjahit dua filem ini walaupun kedua-dua filem ini mempunyai isu yang berbeza pemberatannya. Di akhir filem Munafik 2, kita akhirnya mengetahui bahawa kematian Maria di babak akhir filem Munafik (2016) ialah disebabkan ditolak oleh Azman dan bukannya hantu seperti yang kita sangka.

Kita juga, apabila menonton semula filem Munafik (2016) akan mula memandang Azman (Fizz Fairuz) dalam sudut pandang yang berbeza. Sebelum ini, kita melihat Azman dan Ustaz Adam sebagai sahabat sejati. Kini, kita pasti akan melihatnya sebagai duri dalam daging yang sentiasa bersedia untuk memusnahkan Ustaz Adam.

Di akhir filem ini juga, kita dipertontonkan dengan satu pengajaran yang mudah tetapi ianya sebuah hakikat. Kawan yang berkawan dengan baik selama 10 tahun boleh berubah menjadi syaitan tanpa sedar. Begitulah kemunafikan Azman yang disembunyikan selama ini di sebalik baiknya dia terhadap keluarga Ustaz Adam sendiri.

APABILA TIADA MANUSIA LAIN YANG MEMPERCAYAI TUHAN

Di akhir filem ini, hanya Ustaz Adam sahaja yang menjadi satu-satunya manusia yang mempercayai tuhan. Ini ialah satu persoalan yang ditanam kepada penonton, bagaimana jika kita ialah Ustaz Adam, adakah kita mampu untuk berhadapan dengan seksaan sedemikian dan masih menyebut kalimah Allah s.w.t.

Sudah tentu jawapannya ada pada diri kita sendiri. Setiap dari kita mungkin ada jawapan yang berbeza sekaligus memberi definisi berbeza tentang perasaan menyaksikan Ustaz Adam digantung sedemikian rupa. Syamsul Yusof bijak untuk bermain dengan kritikan dunia semasa dimana manusia melupakan tuhan dan sentiasa menyukai kesenangan dunia dan takut untuk mati.

Sakinah, yang pada asalnya kuat menentang Abu Ja akhirnya berjaya ditundukkan Abu Ja selepas sesi ‘nikah batin’ yang dahsyat. Ternyata, apabila seseorang itu dikenakan dugaan yang melampau dan melebihi had, kadangkala ada rasa untuk kita berhenti untuk melafazkan kalimah Tuhan demi untuk menyelamatkan diri sendiri.

Itulah perbezaan Sakinah dan juga Ustaz Adam. Dua watak ini mempertahankan agama dengan cara berbeza. Namun, reaksi mereka terhadap seksaan Abu Ja berlainan. Seorang tewas, dan akhirnya dibalas dengan azab dunia, yakni kena tikam dengan Abu Ja, dan seorang lagi berjaya, dan diselamatkan dengan kuasa Allah s.w.t!

Justeru, Syamsul Yusof bertanya kepada kita, kau Sakinah atau Adam?



SIAPA HANTU YANG SERING MUNCUL DALAM MIMPI USTAZ ADAM


Adapun hantu yang sering muncul di dalam mimpi Syamsul Yusof itu tidak diketahui namanya, Syamsul Yusof pasti tahu siapa dan apa yang dia sedang ceritakan. Namun, sehingga hujung filem, hantu bertudung hitam itu tidak jelas siapa dan apa perkaitannya dengan Abu Ja tidaklah dicerita dengan jelas.

Secara teori, hantu tersebut berkemungkinan ialah jiwa hitam Ustaz Adam yang berbaki dari filem Munafik (2016). Kita semua tahu, pada filem pertama, Ustaz Adam hampir untuk keluar dari kotak percaya kepada Tuhan kerana takdir yang menimpa isteri dan anaknya. Dan di dalam filem ini, sisa ketidak percayaan itu yang muncul sebagai keraguan.

Kita boleh definisikan hantu itu sebagai jiwa jahat Ustaz Adam, mahupun syaitan yang mengganggu Ustaz Adam untuk menarik dirinya kembali kepada sifatnya di dalam Munafik (2016). Terpulang kepada anda untuk mentafsirkan watak hantu itu. Namun, apa yang pasti, dia sedaya upaya memesongkan Ustaz Adam.

FITNAH DAJJAL


Syamsul sentiasa mengingatkan kita tentang bahaya akhir zaman ini semenjak dari filem pertama lagi. Di dalam filem ini, kita melihat bagaimana pengakuan Jin Yahudi yang menjadi punca perpecahan umat Islam dan agama lain. Dalam babak rasukan Sakinah, Jin Yahudi berjanji akan terus melakukan kerja terkutuknya itu.

Adegan ini ialah manifestasi kepada fitnah akhir zaman yang sentiasa ditekankan oleh Syamsul. Jin yang merasuk Sakinah mungkin sebenarnya mahu memberitahu kita bahawa syaitan sentiasa ingin memperdaya umat manusia tidak kiralah apapun agama.

Boleh dikatakan bahawa adegan rasuk Maya Karin ialah antara momen paling padu dalam filem ini. Dialog berbahasa Arab yang dilontarkan Maya Karin lebih banyak memperingatkan penonton tentang Dajjal yang akan datang menakluk dunia selama 40 hari. Peringatan tentang Dajjal ini sama seperti dalam filem Munafik (2016).

Kenapa Yahudi? Kenapa tidak Jin lain? Mungkin Syamsul Yusof mahu menekankan tentang pelbagai jenis jin yang ada di dalam dunia ini. Jika anda buat sedikit pembacaan, terdapat pelbagai jenis jin yang berbeza rupa dan agama. Rasanya, untuk mengetahui perihal ini, ada baiknya anda bertanyakan ustaz dan yang lebih pakar.

ABU JA: ABU JAHAL ZAMAN DAN GAMBARAN DAJJAL MODEN

Suatu ketika dahulu, ketika penonton diberitahu bahawa nama watak antagonis filem Munafik 2 ialah Abu Ja, ramai yang mengecam kerana ianya mirip kepada nama Abuya, pemimpin Al-Arqam. Namun, kecaman itu berakhir sebegitu sahaja. Pastinya Syamsul Yusof ada sebab yang membuatkan dia menamakan watak lakonan Nasir Bilal Khan itu Abu Ja.

Secara teori, Abu Ja mungkin ialah penciptaan semula watak Abu Jahal, yang mana menjadi antagonis bagi kisah-kisah Rasullullah. Ini dapat dibuktikan apabila di akhir filem ini, Ustaz Adam mengucapkan dialog 'Inilah Firaun pada zaman ini' di hadapan mayat Abu Ja. Dialog ini sebenarnya ialah ucapan semula dialog yang pernah dilontarkan Rasulullah s.a.w ketika matinya Abu Jahal.

Digambarkan juga bahawa di bawah pemerintahan Abu Ja, orang kampung terpaksa mengaji dan solat secara rahsia. Agama Islam terpaksa dipertahankan dengan hati sahaja kerana takutkan seksaan Abu Ja yang dahsyat. Begitulah gambaran secara abstrak apakah yang akan terjadi apabila munculnya Dajjal yang dilaknat suatu hari nanti.

Abu Ja digambarkan sebagai seorang penyelamat, tetap menyembah tuhan yang sama dan menyanjung rasul yang sama. Dia juga pada masa yang sama memesongkan kepercayaan pengkutnya sehingga lari jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Inilah gambaran tugas Dajjal yang bakal muncul menjelang kiamat. 



BAGAIMANA AJARAN ABUJA TIDAK DIKETAHUI POLIS

Logiknya, di dalam filem Munafik 2, dipaparkan yang kampung Azhar mempunyai laluan komunikasi menggunakan bot dan sungai. Kita tidak pasti sama ada dalam realiti, kampung sebegitu wujud di Malaysia. Namun, untuk sebuah dunia fiksyen, ianya boleh dianggap sebagai percubaan Syamsul Yusof untuk memerangkap semua plot yang berlaku di dalam kampung itu dari keluar daripada kampung itu sendiri. Dengan penciptaan latar tempat yang sempurna, Syamsul Yusof berjaya membuang pengelibatan watak polis dalam filem ini.

Syamsul Yusof membina latar tempat sebuah kampung yang mana penduduknya cetek ilmu pengetahuan kerana komunikasi kampung itu dengan tempat lain amat terhad. Dan disebabkan kekejaman Abu Ja yang membunuh orang kampung yang ingkar, maka ketakutan itu menghalang orang kampung untuk turut melaporkan kelakuan Abu Ja.

Walaupun orang kampung yang berpegang dengan Tuhan takut untuk menentang, amalan Islam masih dilakukan dengan senyap-senyap. Agak hairan di sini kenapa Abu Ja tidak pula menghalang Azhar yang seringkali ke kampung Ustaz Adam. Mungkin, secara teori, Azhar ini boleh dikira sebagai harmless dan tidak berbahaya. Lalu, Abu Ja biarkan sahaja.

Watak Azhar, yang mana satu-satunya manusia yang sering keluar dari kampung digambarkan takut untuk melawan Abu Ja. Justeru, sekarang ini, adakah Abu Ja sudah membunuh semua manusia yang mana menjadi nelayan seperti Azhar? Adakah mayat-mayat di dalam bilik itu ialah manusia yang berusaha keluar dari kampung itu untuk mencari pertolongan?

APA AKAN JADI DI MUNAFIK 3

Belum pun masuk minggu kedua, Syamsul Yusof sudah mengumumkan bahawa Munafik 3 akan diterbitkan tidak lama lagi. Watak Ustaz Adam sudah mati, bagaimana kisah Munafik 3 mahu diteruskan? Jangan risau, Syamsul Yusof menerangkan bahawa Ustaz Adam hanyalah sedang koma dan belum lagi mati. Tapi, bagaimana Munafik 3 akan terjadi?

Dalam Munafik (2016), Syamsul digambarkan sebagai seorang imam yang sedang cuba berpaling dari kepercayaannya. Namun, di dalam Munafik 2, dia akhirnya mendapat kembali keazamannya untuk memperjuangkan agama sehingga diuji sedemikian rupa. Mungkin Munafik 3 ialah ujian terberat bagi Ustaz Adam kerana Syamsul Yusof sudah mendapat taraf yang tinggi dalam perjuangannya.


Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Syamsul Yusof dalam sebuah komen di Twitter, watak Ustaz Adam boleh bercakap dengan wali di dalam komanya. Hal ini boleh disimpulkan bahawa darjat Ustaz Adam yang dipersoalkan Abu Ja kini sudah dimiliki. Jadi, berkemungkinan Ustaz Adam akan mendapat darjat dan kebolehan yang tinggi dalam filem Munafik 3.

Secara teorinya, kami merasakan bahawa Munafik 3 mungkin antara penghujung kepada perjuangan Ustaz Adam. Kita tidak tahu apakah dugaan yang bakal dihadapi oleh Ustaz Adam, namun, kita pasti, ianya akan lebih berat daripada filem Munafik 2. Cuma, kami harapkan bahawa Munafik 3 akan lebih penuh dengan keseraman dan watak-watak yang lebih segar.

Di akhir filem ini, Sakinah dan Azhar sudah meninggal dunia. Namun, nasib Azman masih tidak diketahui. Adakah Azman akan kembali insaf dalam Munafik 3? Dalam filem Munafik 2 juga, kita juga masih belum mengetahui apakah tujuan syaitan yang sering bertemu dengan Ustaz Adam. Berkemungkinan Munafik 3 akan fokus kepada kisah itu dan melengkapkan trilogi ini untuk sebuah penamat yang hebat.


Apapun, jika Munafik 2 sudah memberi satu standard baru kepada genre seram di Malaysia, seharusnya, Munafik 3 harus lebih segar daripada filem ini. Diharapkan tiada babak yang berulang dan adanya adegan jumpscare yang lebih segar. Malah, isu munafik juga perlu diberi idea baru dan tidak hanya berlatar belakangkan ajaran sesat lagi.

KESIMPULAN

Jika Hantu Kak Limah mempunyai kritikan kepada masyarakat, Munafik 2 nampaknya mempunyai kritikan terhadap agama, dan kita sendiri yang membawanya. Munafik 2 sememangnya sebuah filem yang penuh dengan isi. Kalau nak dibincangkan kesemuanya di dalam artikel ini, maka ianya mungkin menjadi sebuah pengkajian yang sangat panjang. Apapun, jangan lupa sokong Munafik 2 di pawagam.



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan