Syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. melangkah setapak lagi dalam industri perfileman apabila filem terbaharu terbitannya, “Soloz: Game of Life”, menembusi pasaran Thailand.
Penerbitnya,
Rahila Ali berkata, filem arahan Syafiq Yusof itu secara rasmi bakal
ditayangkan di lebih 80 buah pawagam seluruh Thailand bermula 4
Disember 2025.
“Alhamdulillah,
tidak pernah saya bayangkan filem ini mampu melangkah sehingga ke pasaran
Thailand. Ini satu pengiktirafan besar buat Key Billions Sdn. Bhd. dan seluruh
pasukan yang telah memberikan komitmen serta tenaga sepanjang proses
penerbitan," katanya.
“Sudah
tentu ini menandakan kejayaan penting buat filem Malaysia yang jarang menembusi
pasaran negara itu dan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka namun amat
membanggakan,” ujarnya.
Soloz: Game
Of Life mengangkat kisah tentang Muhammad Faris Zakaria atau Soloz, seorang
ikon E-sukan tanah air yang mengukir nama dalam permainan Mobile Legends: Bang
Bang.
Ia menampilkan barisan pelakon
hebat tanah air seperti Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail,
Imran Aqil, Syafie Naswip, Wafiy A’an, Noki K-Clique, Fimie Don, Kahoe Hon dan
Nia Atasha.
Rahila
berkata, usaha untuk membawa filem berkenaan memasuki pasaran di Thailand
bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan negara berkenaan terkenal cukup selektif
terhadap karya luar.
Jelasnya,
dengan kekuatan naratif, visual serta emosi yang digarap dalam “Soloz: Game of
Life” cukup meyakinkan pihaknya untuk meneroka peluang pasaran di negara tersebut.
"Tidak
dinafikan prosesnya memang mencabar kerana pasaran Thailand sangat kompetitif
dan mereka akan memilih filem luar dengan teliti.
“Namun kami
percaya kepada kekuatan cerita, visual dan emosi dalam filem ini dan dengan
usaha berterusan dan keyakinan rakan pengedaran, akhirnya kami berjaya membuka
laluan tersebut," ujarnya.
Menurutnya,
bagi pasaran Thailand, pihaknya bekerjasama dengan Mstudio, sebuah syarikat
pengedaran yang kukuh dalam pasaran tempatan serta aktif dalam rangkaian
pengedaran antarabangsa.
Jelasnya
lagi, filem itu mendapat maklum balas positif selepas tontonan awal oleh pihak
Mstudio dan mereka tertarik dengan gabungan lakonan sebenar serta elemen
CGI yang memberikan sentuhan moden dan segar dalam dunia perfileman.
"Sejak
awal lagi mereka sudah melihat potensi Soloz: Game of Life untuk diperkenalkan
kepada penonton serantau. Pengalaman mereka mengedarkan filem-filem Asia
memberi keyakinan besar kepada kami.
“Mereka
melihat pendekatan visual yang menampilkan pertembungan antara dunia realiti
dan dunia permainan turut dikenal pasti berpotensi menarik minat penonton muda,
terutamanya peminat Mobile Legends di Thailand,” ujarnya.
Rahila
berkata, bagi memastikan pengalaman tontonan yang lebih dekat dengan penonton
tempatan, filem berkenaan telah dialih suara sepenuhnya ke bahasa Thai
untuk memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penonton di sana.
Pada masa
sama, Rahila juga berharap dengan kejayaan filem Soloz: Game Of Life menembusi
Thailand, ia akan membuka lebih banyak peluang filem tempatan ke pasaran
antarabangsa.
"Sudah
tentu saya ingin penonton di Thailand menikmati dan menghargai jalan cerita
yang kami persembahkan.
“Jika
langkah ini membuka lebih banyak peluang untuk filem Malaysia diterima di luar
negara, pasti ia sudah menjadi satu kejayaan besar buat kami semua,” ujarnya.
Pada 2
Disember lalu, telah diadakan acara Malam Gala dan Tayangan Perdana Soloz: Game
Of Life di Bangkok yang turut dihadiri pelakon utamanya, Hun Haqeem serta
Pengasas dan Penerbit Eksekutif Key Billions Sdn. Bhd. iaitu Eddie Yap,
individu yang berusaha untuk membawa filem berkenaan ke pasaran Thailand.











0 Ulasan