Ghaz Abu Bakar mendedahkan ketika ditanya pada sesi sidang media khas di Balai Berita Bangsar bahawa idea asal filem ini datang dari anak Yusof Haslam, yang merupakan penerbit filem ini Syamim Yusof bersama rakan penerbitnya, Priya Narayanan. Ghaz Abu Bakar mendukung tanggungjawab menulis skrip filem ini berdasarkan idea asal bersama dengan Hadi M. Nor.
Ketika ditanyakan sama ada watak utama yang bernama Yusoff itu merujuk kepada Yusof Haslam, pengarah menafikan dan menyatakan bahawa ianya hanyalah kebetulan.
Qifarah merupakan sebuah filem seram pertama arahan Ghaz Abu Bakar. Filem ini mengisahkan tentang Yusoff (Remy Ishak) yang berhijrah ke Cairo bersama isterinya, Marissa (Rita Nadira) dan anak lelaki mereka, Mikhael (Rafique Iskandar). Selepas menerima panggilan dari bapanya yang memberitahu bahawa dirinya sedang nazak, Yusoff membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia bersendirian.
Namun, segala-galanya menjadi rumit apabila Marissa dan Mikhael muncul di rumah Yusoff secara tiba tiba tanpa pengetahuannya. Keluarga mereka mula mengalami kejadian-kejadian aneh dan menakutkan di rumah tersebut. Yusoff mula mengesyaki bahawa mereka kini menjadi sasaran ilmu hitam.
Qifarah akan berada di pawagam mulai 9 Oktober 2025.





0 Ulasan