Viu Tampilkan Penamat Alternatif 'Bidaah', Mungkin Setup Musim Kedua?

Platform penstriman Viu mengejutkan peminat drama tempatan dengan memuat naik penamat alternatif untuk drama popular Bidaah. Meskipun keseluruhan episod 15 masih kekal seperti biasa, penonton tidak perlu menonton semula dari awal. Mereka hanya perlu terus ke bahagian akhir episod tersebut untuk melihat tambahan babak selama lebih kurang 30 saat yang membawa perubahan besar kepada naratif asal.



Dalam versi alternatif ini, ayah kepada watak Hambali telah dilepaskan dari balai polis, satu perkembangan yang tidak berlaku dalam penamat asal. Apa yang lebih mengejutkan ialah watak Abu Saifullah yang dilihat berjaya mengelak daripada ditahan pihak berkuasa. Perkara ini memberi bayangan bahawa Abu Saifullah mungkin akan muncul sebagai antagonis utama jika musim kedua diterbitkan kelak.

Namun, persoalan besar yang masih belum terjawab ialah nasib Walid Muhammad, pemimpin kumpulan Jihad Ummah. Penamat alternatif ini tidak menunjukkan sebarang perkembangan tentang wataknya, menyebabkan ramai tertanya-tanya sama ada dia turut berjaya melepaskan diri atau masih ditahan.

Kemunculan penamat alternatif ini dilihat sebagai satu strategi menarik dari pihak Viu, bukan sahaja untuk menghidupkan semula perbualan tentang drama ini, malah berpotensi membuka jalan kepada musim kedua yang lebih mendebarkan. Drama Bidaah yang menggabungkan tema keagamaan, kuasa, dan manipulasi telah mencetuskan fenomena di kalangan penonton sejak tayangan perdananya dan masih hangat diperkatakan hingga kini.

Untuk yang belum menyaksikan penamat alternatif ini, kesemua episod drama Bidaah boleh distrim secara eksklusif di Viu.

===========================

LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK

==========================================

Catat Ulasan

0 Ulasan