Fenomena Jangan Benci Cintaku nampaknya menjadi perbincangan hangat di kalangan netizen. Pelbagai kecaman dan kata-kata keji dilemparkan ke atas dua watak yang dilakonkan oleh Azizah Mahzan (Nek Pah) dan Niena Baharun (Husna). Malah, Saharul Ridzwan juga menerima tempias kemarahan netizen menerusi wataknya Shah.
Drama Jangan Benci Cintaku diterbitkan Suhan Movies berdasarkan novel tulisan Emy Roberto menceritakan tentang isu rumah tangga. Ternyata, adaptasi siri tv itu berjaya apabila emosi peminat berjaya dijentik dengan paparan budaya masyarakat di dalam siri tersebut.
Menerusi temubual bersama Utusan, penerbit siti tv ini, Datuk Rosyam Nor menyatakan pilihan untuk mengadaptasi novel itu disepakati sekumpulan kakitangan Suhan Movies kerana merasakan jalan ceritanya sangat dekat dengan masyarakat Malaysia.
Sebenarnya itu sebuah cerita yang memberi refleksi kepada diri sendiri. Saya berharap penonton yang melihat Jangan Benci Cintaku ini bukan sekadar suka-suka tengok tetapi mengelak daripada memiliki perangai seperti yang dimiliki dua watak tersebut. Saya berharap watak Nek Pah dan Husna ini menjadi ukuran kepada penonton sendiri bagi mengenali perangai dan kelakuan diri. Ramai tak suka dengan watak mereka, jadi saya berharap akhlak sebegitu tidak menjadi amalan orang kita supaya tidak menjadi kebencian masyarakat. Terutama persepsi orang terhadap gelaran ‘makcik bawang’. Selalu yang dikaitkan dengan ‘makcik bawang’ ialah mereka yang gemar mengata orang lain tetapi bagi saya, persepsi itu salah. ‘Makcik bawang’ yang dikatakan itu sebenarnya perbuatan atau kelakuan yang memedihkan mata kita. Sama seperti kelakuan Nek Pah dan Husna yang boleh dikategorikan dalam kelompok sebegitu kerana akhlak mereka memedihkan mata yang melihat sehingga menjadi kebencian semua.
Tambahan lagi, sebagai penerbit, beliau melihat bahawa kisah ini boleh menjentik jiwa penonton dan mencipta kesukaan dan kebencian masyarakat terhadap sesuatu isu, terutama golongan wanita. Menurut Rosyam Nor juga, kemampuan para pelakon untuk menjiwai watak adalah kunci kepada wujudnya rasa benci netizen selepas menonton.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada pengarahnya, Pali Yahya kerana berjaya merencanakan drama ini dengan baik, sekali gus memberi warna tersendiri dengan beberapa babak yang di ‘twist’ untuk menjadikannya lebih menarik. Ini semua kerjasama semua pihak yang menjadikan Jangan Benci Cintaku menjadi tular. Misalnya, Niena Baharun sudah lama berlakon tetapi nasib dia tidak begitu baik dan kurang menyerlah. Apabila dia muncul dalam drama ini dan dikenali kerana watak Husna menjadi platform untuk Niena menggilap namanya. Biarpun dibenci dengan watak Husna, tetapi dia berjaya menangkap perhatian penonton tempatan untuk mengetengahkan bakat yang sebenarnya sangat bagus jika mendapat karakter yang tepat. Begitu juga dengan Saharul Ridzwan yang kembali meledakkan namanya sebagai hero selepas agak senyap seketika. Harapnya selepas ini, Saharul akan pandai memilih watak yang sesuai untuk dirinya agar dapat kekal lama dalam industri. Untuk Zahirah Macwilson pula, dia berjaya meletakkan diri sebagai heroin TV yang popular buat masa ini. Pelakon senior Azizah Mahzan pula sudah pasti tak perlu dipertikai lagi, tetapi kehadiran dia dalam drama ini mampu menambah kebencian orang kepada watak Nek Pah.
Jangan Benci Cintaku kini bakal tiba ke episod terakhir pada 7 Julai 2018. Rosyam Nor menjanjikan 'twist' yang tidak dijangka sebagai pengakhiran kisah cinta panas ini.






0 Ulasan