Baru Mula Penggambaran, Petisyen Bantah Lokasi Penggambaran 'Mat Kilau' Pula Dilancarkan Netizen



Penggambaran filem Mat Kilau sudah memulakan penggambaran mulai hari ini 1 April 2018. Lokasi pertama yang menjadi pilihan untuk penggambaran ialah di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Dalam masa terdekat, penggambaran filem ini akan bergerak ke lokasi di Kampung Telok Bakong, Perak yang mana beberapa set penggambaran sudah disiapkan. 


Namun, ada juga beberapa pihak kecil yang kecewa apabila filem ini tidak dilakukan penggambarannya di Pahang. Seorang peminat Suka Filem berkongsi mesej ini yang diperolehnya daripada sebuah web petition [klik untuk link] yang mana menggesa para penonton untuk memboikot filem Mat Kilau yang dikatakan palsu ini.
BANTAHAN TERHADAP FILEM MAT KILAU "SEJARAH YANG DIPALSUKAN" 
Patisyen ini adalah bantahan terhadap tindakan penerbit filem MAT KILAU yang memalsukan sejarah apabila membuat rakaman pengambaran di Kampung Telok Bakong, Bota Perak.  
Sedangkan Mat Kilau adalah pahlawan Pahang yang terpahat dalam lipatan sejarah dan berasal dari Kampung Kendondong, Pulau Tawar, Jerantut Pahang.  
Sejarah penentangan Mat Kilau terhadap British bukan berlaku di Perak tapi di Negeri Pahang. Atas apa jua alasan, segala adengan dan pengambaran wajarlah dilakukan di kampung asal kelahiran pahlawan Melayu Pahang itu. 
Tindakan pengarah filem terbabit memilih Perak sebagai lokasi pengambaran jelas sekali cuba memalsukan sejarah yang telah terpahat sejak zaman berzaman. 
Jangan kerana membariskan pelakon popular seperti Adi Putra, Fatah Amin dan lain-lain lagi, pengarah filem Mat Kilau dilihat hanya mahu mencari keuntungan semata-mata. 
Mereka bukanlah mahu benar-benar membangkitkan semula sejarah perjuangan Mat Kilau tetapi lebih kepada tujuan komersial. Ini amat mengecewakan anak-anak Pulau Tawar, warga Pahang dan cucu cicit Mat Kilau yang masih ada hingga ke hari ini. 
Kampung kelahiran Mat Kilau masih wujud, bahkan Masjid Mat Kilau tempat beliau isytiharkan dirinya Pahlawan Melayu Pahang itu pun masih tersergam indah (madrasah) hingga ke hari ini. 
Maka memilih negeri Perak sebagai lokasi pegambaran filem Pahlawan Melayu Pahang adalah satu langkah untuk mencemarkan nilai sejarah iti sendiri. 
Inilah kali kedua filem Mat Kilau dirancang dan sekali lagi pengarahnya gagal menjaga sentimen rakyat Pahang sendiri. 
Jika pun Pulau Tawar bukan lokasi sesuai untuk pengambaran filem ini, banyak lagi tempat sesuai di bumi Pahang boleh dijadikan pilihan. 
Alangkah bangga kami anak-anak Pulau Tawar (tempat lahir Mat Kilau) jika pengambaran filem kisah perjuangan pahlawan itu di buat di kampung asalnya. 
Memilih lokasi lain, seolah sengaja mengundang persepai negatif sebenarnya. Terasa hinanya kami bila filem itu ditonton kepada umum nanti, bila kami tahu adengan pengambaran itu bukan di tempat asal yang tercatit dalam sejarah. 
Bukankah jika pengambaran dibuat di sini, ramai anak-anak Pahang boleh terlibat sama sebagai pelakon pembantu, kerana mereka lebih memahami nilai-nilai sejarah yang ditinggalkan. 
Justeru, anak-anak Pahang di seluruh negara dan senatero dunia wajar membantah pemalsuan sejarah ini. Ia tidak layak untuk ditonton kerana jelas sekali bukan untuk mempertahankan nilai sejarah, tetapi lebih kepada mencari keuntungan semata-mata. 
Maka itu kami menyeru anak-anak Pahang menandatangani petisyen ini untuk membuktikan bantahan kami terhadap filem MAT KILAU PALSU
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa faktor kos dan juga kesesuaian lokasi antara perkara yang menyebabkan tidak semua babak boleh dilakukan di tempat yang sebenar. Perkara ini sudah dipraktikan agak lama dalam industri filem. Mungkin yang menuduh tentang lokasi ini sebenarnya hanyalah peminat sejarah yang tidak memahami bagaimana filem dihasilkan.



Filem Mat Kilau menampilkan Adiputra sebagai Mat Kilau di samping Fattah Amin, dan juga kehadiran pelakon Indonesia terkenal, Yayan Ruhian.

Kami di Suka Filem mendoakan kejayaan penggambaran filem Mat Kilau. 

Catat Ulasan

0 Ulasan