Selepas pelbagai filem mengetengahkan loghat dari negeri-negeri lain, kini tiba giliran dialek Perlis menjadi tarikan utama menerusi filem romantik komedi Mojoku Hilang.
Keunikan dialek Utara menjadi antara kekuatan filem ini dalam menghidupkan jalan cerita, sekali gus membawa penonton lebih dekat dengan budaya dan cara hidup masyarakat Perlis.
Bagi memastikan setiap dialog kedengaran autentik, pihak produksi mendapatkan khidmat perunding dialek Perlis, Zul, yang bertanggungjawab membimbing barisan pelakon sepanjang proses penggambaran.
Menurut Zul, tugasnya bukan sekadar mengajar cara sebutan, malah turut menyemak skrip serta memantau pertuturan para pelakon di lokasi supaya setiap dialog kekal menggunakan dialek Perlis yang tepat.
"Saya banyak bekerja dengan Mimi Lana, Namron dan beberapa pelakon lain. Mimi walaupun berasal dari Perak, ada beberapa perkataan yang agak mencabar untuk disebut. Namron pula tidak mempunyai masalah kerana beliau sendiri berasal dari Perlis.
"Wan Hanafi Su kadang-kadang masih terbawa-bawa loghat Kelantan, manakala Aziz M. Osman juga tidak menghadapi sebarang kesukaran. Antara perkataan yang paling kerap mengelirukan Mimi ialah perkataan 'kita'," katanya.
Sementara itu, Mimi Lana mengakui penguasaan dialek Perlis merupakan antara cabaran terbesar yang perlu dihadapinya sepanjang menjayakan watak tersebut.
"Walaupun saya berasal dari Taiping, saya sedar loghat Utara saya sudah semakin berkarat. Dialek Perlis jauh lebih pekat berbanding loghat yang biasa saya gunakan.
"Ada beberapa perkataan yang agak sukar untuk saya sebut kerana lidah saya agak keras. Mujur kami mempunyai dialect coach dan rakan-rakan pelakon yang banyak membantu sepanjang penggambaran," katanya.
Mojoku Hilang mengisahkan Adi, lakonan Adipati Dolken, yang menyamar sebagai penduduk kampung untuk mendapatkan semula Mojo, seekor lembu yang menjadi rebutan selepas penduduk kampung bertindak menyembunyikannya bagi menghalang pengambilalihan tanah oleh sebuah syarikat.
Namun, misinya berubah sama sekali apabila dia jatuh cinta dengan seorang gadis kampung yang menjadi individu paling lantang menentang syarikat yang diwakilinya.
Selain Mimi Lana dan Adipati Dolken, filem arahan Min Lim ini turut dibintangi Wan Hanafi Su, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Aziz M. Osman, Namron serta barisan pelakon hebat yang lain.
Mojoku Hilang diterbitkan oleh Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan Argo Films. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai.
sumber: Astro Gempak
.png)





0 Ulasan