Huraian Babak Kemuncak Filem 'Pengabdi Setan' [SPOILER ALERT]



Pengabdi Setan, remake filem 1980an yang mengisahkan keluarga yang diganggu makhluk halus selepas kematian ibu mereka nampaknya menerima pelbagai reaksi. Ada yang menyatakan bahawa ianya tidak menyeramkan dan ada yang memuji gaya garapan sutradara Joko Anwar. Paling memeningkan kepala semestinya ending filem ini yang dibikin agak ringkas.


Kami akan huraikan penamat filem ini dan bagaimanakah adegan akhir filem ini membuka kepada kisah yang lebih besar. Ambil maklum bahawa penulisan selepas ini mempunyai SPOILER MAJOR yang mana boleh membuatkan korang sakit hati jika masih tidak menonton filem ini. Kami harap anda berhenti membaca jika masih belum menonton filem ini.

HURAIAN BABAK KEMUNCAK PENGABDI SETAN

Selepas diganggu dengan pelbagai cara, Bapak dan anak-anaknya yakni Rini, Tony, Bondi dan Ian sudah bersedia untuk berpindah. Hendak dijadikan cerita, kenderaan yang mahu membawa mereka keluar daripada rumah tersebut tidak kunjung tiba. Sang Ustad, yang mana kehilangan anaknya, Hendra kerana membantu keluarga itu melalui Rini, anak sulong keluarga itu berkunjung ke rumah untuk mengucapkan selamat jalan.

Namun, apabila malam menjelma, gangguan datang lagi. Mayat-mayat hidup yang datang menuntut ‘anak syaitan’, dan mereka mengalami gangguan paling kemuncak sekali. Sang Ustad dibunuh oleh pocong yang mula masuk ke dalam rumah dari pelbagai sudut.

Mayat-mayat hidup berjaya masuk ke dalam rumah melalui bahagian dapur. Ketika sekeluarga melarikan diri, kita dapati bahawa arwah neneknya (neneknya mati dihumban ke dalam perigi) selama ini cuba untuk menyelamatkan keluarga itu daripada menjadi mangsa. Budiman sampai lalu membawa lari Rini sekeluarga. Ian tidak dapat diselamatkan.

Setahun selepas kejadian itu, Rini sekeluarga sudah berada di tempat aman. Mereka tinggal di flat sama dengan Budiman. Rini didatangi oleh seorang perempuan yang memberikan mereka makanan. Selepas berbual dengan Rini, perempuan itu kembali ke rumah. Lalu, kita berkenalan dengan Batara, dan sekaligus mengenali perempuan itu bernama Darminah.

Darminah bergerak ke sebuah papan yang tertera peta Indonesia yang mempunyai tusukan pin di pelbagai daerah. Kamera menunjukkan sebalang bekas penuh dengan delima merah. Mereka lalu menari sambil kredit filem bergerak.

PENGABDI SETAN 2017 IALAH PREKUEL PENGABDI SETAN 1982

Ramai yang beranggapan bahawa Pengabdi Setan yang terbaru ini hanyalah remake semata. Tetapi, bagi yang mungkin pernah menonton filem Pengabdi Setan asal, apabila muncul sahaja nama Darminah, maka kita akan sekaligus mengingati watak Darminah yang mana cuba memporak-porandakan keluarga Munarto dalam filem asal.


Secara kontinuitinya, melihatkan kepada latar tahun filem ini berlaku, yakni 1981, kejadian ini berlaku setahun sebelum kejadian dalam filem Pengabdi Setan asal yang diterbitkan pada tahun 1982. Berkemungkinan bahawa Darminah ini kemudiannya akan dikirim oleh seseorang untuk membantu seorang lelaki, Munarto yang mana telah kehilangan isterinya juga (kisah filem Pengabdi Setan asal).

Walaupun filem ini boleh dilihat berdiri sendiri sebagai sebuah remake, Darminah tidak membuatkan filem ini boleh dilihat sebagai sebuah filem sekuel lagi tetapi sebaliknya sebuah prekuel sebelum Darminah memporak-porandakan keluarga Munarto.

BANDI DIRASUK NENEK, BUKANNYA ROH MAWARNI

Anda masih ingat babak Bondi yang dirasuk lalu bercakap dalam bahasa isyarat? Mungkin anda ingat bahawa Bandi dirasuk oleh ibunya yang sedang menariknya menjadi ‘anak syaitan’. Kenapa Bandi tidak merasuk Ian sedangkan Ian ialah perkara yang diinginkan oleh syaitan semenjak sekian lama? Jawapannya mudah, Ian akan dirasuk secara automatik apabila tiba masanya, rujuk adegan akhir filem ini dimana dia boleh bertutur dan menjadi ‘dewasa’ tiba-tiba.


Arwah neneknya memasuki tubuh Bondi dengan harapan mampu menghalang Ian daripada melakukan perkara yang mampu merosakkan hubungan cucu-cucunya. Budiman sendiri ketika melarikan keluarga Rini menyatakan bahawa Ian bukanlah anak kepada Bapak semenjak daripada dia dilahirkan lagi. Maka, adalah wajar neneknya cuba untuk membunuh Ian semenjak daripada rasukan pertama ketika tidur, dan juga ketika Bondi ternampak pisau pemotong buah yang sempat dihalang oleh kakaknya.

Arwah neneknya yang meninggal di dalam telaga sebenarnya sentiasa berada bersama keluarga itu semenjak daripada kematiannya. Pada satu masa, Ian melihat seorang tua membongkok di katil Bondi. Itu ialah nenek!

Namun, idea ini kelihatan bertentangan dengan ajaran yang dituturkan Ustad dimana manusia yang mati tidak boleh menjelma semula. Jika nenek bukanlah ‘nenek’, maka ianya siapa? Itu mungkin huraian yang mungkin sukar untuk dihuraikan. Yang pasti, nenek itu berniat baik mahu menolong mereka.


BAPAK BERSUBAHAT DENGAN MAWARDI UNTUK MENDAPATKAN ANAK MEREKA

Ketika kita menonton filem ini, ketika filem ini bergerak ke hadapan, kita dapati bahawa anak-anak Bapak yakni Rini, Tony, Bondi dan Ian sebenarnya bukanlah lahir hasil persetubuhan ibu dan ayah mereka. Bagaimana mereka dilahirkan dan daripada siapakah benih zuriat itu didatangkan ke ovum masih menjadi misteri.


Secara teorinya, berdasarkan kata-kata Tony yang menyebut tentang wajah mereka yang tidak ada mirip ayah atau ibu, dapatlah disimpulkan bahawa ibu mereka mungkin bersetubuh dengan empat orang lelaki yang berbeza dari kultus ajaran syaitan untuk mendapatkan zuriat yang diidamkan.

Dan paling mengejutkan, si Bapak sebenarnya ialah manusia yang tidak ada akal waras apabila dia sebenarnya tahu dan membenarkan isterinya, Mawardi untuk bersetubuh dengan lelaki lain untuk menghasilkan zuriat tersebut yang kini menjadi penyesalan yang dibawa sampai ke sudah. Namun, kebenaran tentang teori ini tidak dapat dibuktikan kerana Bapak tidak pernah mengakui tentang hal ini secara terbuka di depan anaknya.

Namun, Bapak sememangnya ditekan sehingga memaksanya untuk meminta maaf kepada roh isterinya ketika dia terkurung bersama anaknya. Bapak berkaya, “Maafkan aku Mawarni jika aku selama ini punya salah..". Hal ini membuktikan bahawa Bapak mungkin meminta maaf kerana membenarkan isterinya terlibat dalam hal ini demi memastikan karier Mawarni tidak tenggelam sebagai seorang penyanyi.

Malah, ketika beberapa manusia berpayung datang, Bapak berkata, “"Mau ngapain lagi kalian, kalau mau mengambil anak-anak, kami tidak akan diam, kalian harus langkahi dulu saya.." Hal ini menguatkan bahawa Bapak sebenarnya terlibat dengan kultus tersebut tetapi kini tidak lagi.

DELIMA IALAH TANDA SEDIA

Korang perasan atau tidak perlilaku manusia berpayung yang lalu menghulurkan tangan dan kemudiannya seperti menaburkan sesuatu? Sesuatu itu ialah delima yang mana ditunjukkan pada akhir filem di rumah Darminah. Ketika manusia berpayung itu pergi, para mayat hidup itu pun menjelma. Dan bagaimanakah mayat hidup dari kuburan boleh mendatangi rumah tersebut? Jawapannya ada pada delima itu.


Ketika kedatangan Sang Ustad ke rumah untuk ucapkan selamat tinggal, Rini keluar rumah dan berjalan sebelum menemui butiran delima. Dia lalu mengutipnya. Kita tidak tahu sama ada delima itu dibawa masuk ke dalam rumah ataupun dibuang di luar berdekatan rumah. Yang pasti, delima yang ditabur itu memberi tanda kepada para mayat hidup untuk meyerang rumah tersebut dan memberitahu para syaitan bahawa di rumah itu ada ‘anak syaitan’ yang sudah bersedia untuk dituai.


ADAKAH BUDIMAN BERJAYA DIMONOPOLI DARMINAH? 

Kultus ajaran syaitan yang membela anak syaitan dalam tubuh manusia melalui manusia yang terdesak ada di merata. Dan Darminah ialah ketua untuk kota Jakarta tersebut yang bertanggungjawab untuk memastikan ‘anak syaitan’, yakni adik bongsu Rini boleh dituai ketika sampai masanya. Malah, secara teorinya, berkemungkinan Bataralah yang mana hadir di rumah Budiman selepas Hendra pulang selepas mendapatkan artikel dari Budiman.

Komplot untuk membunuh sesiapa yang menghalang Ian daripada diambil sebenarnya wujud. Dan berkemungkinan, lelaki yang melintas di hadapan Hendra sebelum dia kemalangan adalah sebahagian daripada komplot Darminah dan Batara. Kultus syaitan akan cuba menghalang siapa sahaja yang cuba untuk merosakkan misi mereka dengan cara paling senyap.


Batara dan Darminah sebenarnya tinggal dalam flat yang sama dengan Budiman. Budiman mungkin tidak mendapat ancaman selagi dia tidak melakukan apa-apa. Namun, apabila nenek meminta pertolongannya, Batara mula untuk memecah masuk rumahnya. Dan kebetulan pula, di akhir filem, Budiman membawa keluarga Rini ke flat tersebut. Tanpa mereka sedar, Budiman sebenarnya membawa keluarga Rini mendekati Darminah dan Batara.

Sama ada Budiman membawa keluarga Rini dengan sengaja ke flat atas arahan Batara dan Darminah akibat diugut atau Budiman memang ada niat menyelamatkan keluarga Rini, tiada jawapan yang kukuh. Tidak ada bukti tentang niat sebenar Budiman membawa keluarga Rini tinggal di situ. Namun, ketukan pintu di rumah Budiman sebelum kematian Handra kuat menyatakan bahawa Budiman berjaya dikuasai Batara dan Darminah untuk membawa keluarga Rini ke situ.

Lagipun, keluarga Rini aman tinggal di flat dan Budiman tidak kelihatan lagi di flat. Walaupun aman, mereka sebenarnya sedang dipantau. Budiman selepas setahun tidak kelihatan keberadaannya di mana. Sama ada dia masih tinggal di flat sama atau tidak, tiada jawapan untuk soalan ini. 

Apapun, selepas anda mengetahui bahawa Darminah ini ialah seorang watak dalam filem Pengabdi Setan lama. Kita sebenarnya sudah tahu bagaimana kematian Darminah dan apakah yang bakal dilakukan. Namun, keberadaan Kultus ajaran syaitan ini dalam universe Pengabdi Setan kelihatan masih belum cukup dihuraikan sempurna.

Mungkin kita berharap jika ada sekuel yang lebih menekankan tentang kultus ini secara lebih detail, ianya akan melengkapkan lagi ilmu berkenaan dunia Pengabdi Setan.


KEMENANGAN KEPADA SYAITAN, BUKAN AGAMA

Pengabdi Setan versi baru ini nampaknya tidak mengikut acuan filem asal. Versi 1982 lebih menunjukkan bahawa agama ialah satu titik kesedaran yang penting yang harus dianuti. Tanpa agama, sesebuah keluarga pincang dan mudah untuk diganggu. Dalam filem Pengabdi Setan versi 1982, peranan ustaz dalam filem tersebut amat penting untuk menyampaikan pentingnya ajaran Islam untuk diamalkan oleh penganutnya.

Dalam filem Pengabdi Setan versi 2017, Joko Anwar memilih untuk memasukkan Sang Ustad tetapi tidak memainkan peranan yang penting dalam filem ini. Kita mungkin agak kecewa dengan penampilan ustaz dalam filem ini yang mana tidak menyumbang dan membantu dalam menyelamatkan keluarga Rini yang ditimpa bencana.

Kenapa?

Joko Anwar seperti tidak mahu memperlihatkan susuk ustaz sebagai seorang yang maksum dan kelihatan seperti adiwira. Karakter ustaz direndahkan sedikit dan memperlihatkan dirinya seperti manusia biasa yang mana ditimpa masalah dan menghadapi ujian psikologi seperti manusia lain. Kematian anak Sang Ustad, Hendra memberi kesan mendalam terhadap jiwanya sehinggakan dia akhirnya tumpas di tangan syaitan yang mana dia pilih untuk tidak menghalaunya.

Sang Ustad sebenarnya pada masa yang sama kelihatan seperti menyalahkan keluarga Rini atas kematian Hendra. Namun, sebagai manusia biasa dan mengetahui erti sabar, dia tidak terburu untuk menyalahkan Rini yang sering dibantu Hendra, Dapat dilihat jelas ketika Rini cuba ditarik keluar oleh sesuatu di tingkap, Sang Ustad hanya membiarkan sahaja seolah-olah mahukan syaitan tersebut mengambil sahaja keluarga mereka untuk membalas dendam atas kematian Hendra secara senyap.

Namun, syaitan tidak kenal dendam dan kasih sayang. Akhirnya, Sang Ustad mati di tangan syaitan yang dibiarkannya berleluasa.


Joko Anwar juga memenangkan keluarga Rini yang tidak pernah solat dan beribadah dalam filem ini. Si Bapak, yang nak bertahlil untuk arwah isteri pun tidak tahu tidak berjaya diusik syaitan dan akhirnya terselamat daripada bencana. Sedangkan Sang Ustad yang alim itu boleh pula dibaham syaitan. 

Ada sesuatu yang ingin disampaikan bukan? Hakikatnya, di masa kini agama seperti dipandang rendah di masa kini. Orang tidak tahu bertahlil, dipanggil orang kampung untuk laksanakan, tapi, diri sendiri tidak solat dan beribadah. Mungkin ini rasional Joko Anwar mengubah idea siapa menang ini dengan melihat kepada realiti semasa dunia kita.

ADAKAH BAPAK BENAR-BENAR KE BANDAR ATAS URUSAN BISNES

Persoalan yang berlegar di fikiran sekarang ialah tentang Bapak yang meninggalkan anak-anak mereka untuk ke bandar atas urusan bisnes. Pada penghujung filem, kita mengetahui bahawa Bapak sebenarnya bersekongkol dengan isterinya, Mawarni untuk mendapatkan anak-anaknya daripada hasil pemujaan syaitan.


Jadi, adakah benar Bapak ke Bandar atas urusan bisnes? Atau sebenarnya Bapak pergi ke bandar untuk menemui kultus syaitan bagi meminta tangguh supaya tidak mengambil anaknya yang bongsu, Ian? Tidak ada bukti konkrit tentang kenapa Bapak ke bandar. Namun, jika dilihat, adalah agak pelik bahawa Bapak mahu ke bandar atas dasar kerja sedangkan kubur isterinya masih merah.

Bapak kelihatan seperti mengetahui tentang Ian yang bakal diambil apabila dia menengking manusia hitam berpayung sedangkan dia baru sahaja pulang dari bandar. Malah, surat Budiman yang dijumpai Rini di mayat Hendra hanya dibaca pada pengakhiran filem sebelum Ian benar-benar menjadi ‘anak syaitan’.

Jadi, pada korang, adakah benar Bapak ke bandar atas urusan bisnes, atau bukan?

KESIMPULAN

Nah, mungkin selepas korang membaca tulisan ini, korang memilih untuk menonton semula Pengabdi Setan versi 2017. Dan mungkin juga ada yang sudah mengenali Darminah, watak yang muncul dalam filem asal yang mana merupakan kontinuiti kepada filem Pengabdi Setan 2017. Secara ringkas, Joko Anwar bijak untuk membawa penonton baru menonton filem versi ‘remake’ ini dan pada masa yang sama mengajak penonton untuk kembali menonton filem versi asal.

Jom tonton semula Pengabdi Setan 1982!

Catat Ulasan

0 Ulasan