'MALBATT: Misi Bakara' Calarkan Imej Anggota Yang Terlibat Tragedi Black Hawk Down - Komander MALBATT

Sudah berjaya mengutip lebih RM34 juta selama lima minggu tayangan, MALLBATT: Misi Bakara sentuhan Andraian Teh menjadi antara naskah yang cukup membanggakan apabila dikatakan menggambarkan situasi tragedi Black Hawk Down yang cukup popular.



Namun, menurut Komander MALBATT1, Operasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Somalia II (UNOSOM II), Brig Jen (B) Datuk Abd Latif Ahmad, filem tersebut digambarkan sebagai mengelirukan penonton dengan babak rekaan dan mencalarkan reputasi MALBATT yang mengendalikan operasi itu.

Menurut laporan BH Online, dakwaan 90% babak dari filem itu adalah realiti adalah tidak benar sama sekali. 
Beberapa babak yang dipaparkan tidak berlaku dalam misi Bakara. Ada antara babak dipaparkan dianggap bertaraf silap cerita, tidak ada kena mengena dengan misi Bakara dan boleh dianggap dongengan. Penjelasan ini dibuat selepas penerbit menyatakan apa yang dipaparkan dalam filem itu adalah kisah benar dan 90 peratus daripada jalan cerita ini tepat. Saya tidak ada masalah jika mereka kata, filem ini mengambil inspirasi daripada kisah benar. Tetapi, apabila mereka katakan 90 peratus daripada filem ini adalah fakta, itu agak membimbangkan. Saya khuatir penonton terima bulat-bulat apa yang mereka tonjolkan dalam filem ini, lantas memberi gambaran tidak benar terhadap misi berkenaan. Bukan sahaja apa yang mereka paparkan itu tidak benar, malah memalukan anggota tentera yang beroperasi di Somalia ketika itu. Tak eloklah jatuhkan maruah atau air muka kita. Saya bersama mantan Timbalan Komander Malbatt 1, Mejar Jen (B) Datuk Mohd Rozi Baharom sangat kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku.
Adrian Teh dilaporkan menghasilkan filem ini berdasarkan temubual askar anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari MALBATT yang terbabit dalam misi itu dan juga kajian sendiri.

Pengarah yang sebelum ini terkenal dengan Paskal dan Wira juga pernah menyatakan bahawa terdapat watak yang ditokok tambah demi menjadikan filem ini mempunyai elemen hiburan dan dekat dengan penonton.

MALBATT: Misi Bakara sudah berada di pawagam semenjak 24 Ogos 2023. 
===========================

LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK

==========================================

Catat Ulasan

0 Ulasan