EKSKLUSIF: Pengarah 'Khaenak: Serangan Pocong' Jawab Kenapa Filem Level Youtube Ini Berjaya Ditayangkan Di Astro First?

Melihat kepada reaksi para netizen terhadap dua poster filem Khaenak: Serangan Pocong yang rata-rata negatif, pastinya ramai yang tertanya-tanya sama ada filem ini memang menepati standard filem atau hanyalah sebuah filem lawak picisan. Justeru itu, pihak Suka Filem sempat untuk menemubual pengarah filem ini, Emma Kasmuri untuk bertanyakan perihal ini.

Bagi yang belum tahu, Khaenak: Serangan Pocong merupakan filem ketiga dalam francais Khaenak yang mendapat tontonan 1 juta penonton di Youtube KCTV Production. 

Menurut pengarah filem ini, filem Khaenak: Serangan Pocong pada asalnya memang dirancang tayangannya untuk ditayangkan di saluran Youtube KCTV Production. Namun, ada yang mencadangkan supaya filem ini dihantar untuk penilaian bagi siaran Astro First. 

Selepas beberapa bulan menunggu jawapan, mereka sendiri tidak menyangkakan bahawa filem ini diterima untuk ditayangkan oleh Astro First. Namun dengan beberapa perubahan perlu dibuat dari segi kualiti untuk memastikan ianya mencapai standard sebuah filem. 

Filem yang menjalani penggambaran pada Oktober 2020 itu akhirnya menjalani beberapa proses editing semula termasuk susunan muzik dan colour grading bagi memenuhi tuntutan pihak Astro First. Bajet yang pada asalnya hanyalah sekitar RM50 ribu pada asalnya menjadi RM150 ribu demi untuk menaikkan kualiti filem ini. 

Semestinya Khaenak mungkin tidak akan menepati kualiti atau standard sebuah filem feature yang selalu kita lihat di layar pawagam. Namun, untuk pengikut Khaenak di saluran Youtube, sudah pasti ianya sebuah buah tangan yang cukup dinantikan. Dengan tayangan ini di pawagam, Khaenak 1 dan Khaenak 2 di Youtube pastinya akan mendapat jumlah tontonan yang lebih tinggi. 

Filem yang membariskan pelakon seperti Apak Harry Khalifah, Kamarool Hj Yusoff dan penampilan khas ikon Youtube dan sosial media Kelantan seperti Abe Mat Ngepek dan Poyie Gasi ini bakal ditayangkan di Astro First mulai 11 November 2021.



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK

==========================================

Catat Ulasan

0 Ulasan