EKSKLUSIF: Soal Jawab Ringkas Bersama Aliff Ihsan Rahman, Pengarah 'Siapa Tutup Lampu?'

Filem Siapa Tutup Lampu? akan hadir di Astro First mulai 25 November. Filem bergenre 'friendship thriller ini bakal menampilkan gandingan pelakon hebat seperti Azizul Ammar, Uyaina Arshad, Naim Daniel, Azhar Jalil, Ismi Melinda dan Afieq Shazwan. 


Walaupun ianya filem sulung pengarah, filem ini sudah bersedia untuk edaran luar negara dengan tajuk internasionalnya, Lights Out. 

Suka Filem berjaya untuk menemubual pengarah filem ini dalam keadaan serba ringkas. Ucapan terima kasih kepada Aliff Ihsan Rahman kerana sudi untuk menjawab beberapa soalan berkaitan filem.

1. Kenapa filem ini diberi tajuk 'Siapa Tutup Lampu?' ?

Tajuk filem ini ada maksudnya tersendiri. 'lampu' yang dimaksudkan bukan bersifat literal atau fizikal saja. Metafora 'lampu' ada kaitan dengan tema dan jalan cerita. Nak tahu, kena tonton untuk dapat jawapannya.

2. Ada netizen yang cakap tajuk 'Siapa Tutup Lampu?' macam tak sesuai dengan filem ni. Apa pendapat tuan direktor?

Saya juga membaca komen daripada group tertentu dan saya tahu tajuknya kelihatan agak 'cringe'. Ketika saya mendapat skrip pada awalnya, saya pun tertanya-tanya kenapa ianya diberi tajuk sedemikian.

Saya tahu, tajuk dalam bahasa Melayu perlu dipilih dengan berhati-hati. Jadi, selepas saya membaca skrip, saya nampak ada signifikasi yang besar dalam tajuk itu sendiri iaitu nilai kejujuran dalam persahabatan. 

Tajuk itu sendiri tidak dipilih atas dasar tangkap muat. Lampu atau cahaya mempunyai perlambangan tentang konsep kejujuran. Jika saya boleh beri contoh yang agak sesuai ialah seperti kes peti undi yang dicuri ketika lampu ditutup suatu ketika dulu. So, rasanya penonton boleh kaitkan 'lampu' dengan kejujuran itu sendiri. 

3. Filem ini dipromosikan sebagai bergenre 'friendship thriller' pertama dari Malaysia. Jika salah, harap betulkan. Jika ianya yang pertama, apa beza genre ini dengan filem thriller biasa?

Ya. Friendship thriller. Personally, sebagai pengarah saya tak berani claim apa-apa 'yang pertama'. Sebab industri filem kita dah lama, mungkin ada filem lain yang dah gunakan genre yang sama tapi tidak di promosikan sebagai genre tersebut. Tapi pihak produksi dan penerbit sepakat mempromosi genre tersebut sebab ia agak jarang dibikin. 

Mix genre atau gabungan genre merupakan perkara biasa dalam penerbitan filem moden. Bagi saya, thriller tidak boleh berdiri dengan genre itu saja. Ia perlu gabungan dengan tema utama filem. Seperti filem ini, tema persahabatan/friendship jadi teras pada plot. Thriller adalah rempah utama. Jadi perasa gabungan itu menjadikan ianya sesuai di kelaskan sebagai Friendship Thriller. 

Namun, pada pendapat saya, apa saja genre sesuatu filem sebenarnya bukan perkara utama yang harus jadi tumpuan tetapi bagaimana cerita itu disampaikan dan beri impak pada penonton patut menjadi ukuran. 

4. Tentang pemilihan Naim Daniel sebagai teraju utama. Adakah produksi filem ni tak takut terkena tempias kecaman 'penyanyi ke pelakon'?


Saya rasa tiada masalah tentang Naim Daniel kerana sebelum bergelar penyanyi, dia sudah terlibat dalam bidang lakonan semenjak dari zaman kanak-kanak dan remaja lagi. Dia hanya masih baru sebagai penyanyi tetapi ramai tak sedar dia sudah lama berlakon. 

Pada saya, Naim Daniel sememangnya seorang artis yang sangat berbakat dan sesuai dengan karakter. Setiap pemilihan pelakon berpaksikan skrip. Jika skrip memerlukan karakter yang sesuai dengan pelakonnya, maka ianya tidak menjadi masalah dengan pelakon ini.

Di Malaysia, bukanlah sesuatu yang asing apabila penyanyi juga turut berlakon. Sebagai contoh, di era 90an, kita sudah ada filem Sembilu yang menampilkan Ziana Zain dan Erra Fazira. Di Hollywood, filem Christopher Nolan, Dunkirk juga menampilkan Harry Styles yang juga merupakan seorang penyanyi. 

So, pemilihan penyanyi sebagai pelakon dalam filem besar ada unsur marketing yang baik. Filem harus dijual. Ianya akan berjaya menarik peminat Naim Daniel yang mengenalinya untuk menonton filem ni. Jadi, strategi ini memberi nilai tambah kepada marketing filem ni kerana mereka ada jutaan peminat dan memberi impak secara langsung kepada penjualan filem ni di Astro First.

Filem ini juga turut menampilkan pelakon Indonesia untuk strategi pemasaran filem ini di Indonesia kelak. 

5. Harapan tuan pengarah terhadap filem ni?

Saya berharap penonton dapat menerima filem ni dan mendapat impak dari apa yang mereka tonton. Saya berhadap kutipan yang agak baik untuk filem ni supaya industri filem di Malaysia kembali rancak dan akan menyebabkan ramai funder dan penerbit yakin untuk membikin filem berkualiti.

Bila untung, semua orang happy. 

Sebagai pendatang baru dalam industri, semestinya saya ingin para penonton menerima. Jika best, boleh kongsikan pendapat di media sosial. Jika ada yang tak faham, boleh lontarkan. 

Saya tidak ambil kisah tentang judgement netizen terhadap trailer dan sinopsis pada peringkat awal. Tapi, selepas filem ni keluar, barulah ianya 'the real game'. Saya tak cakap filem ni sempurna. 

Sebagai buah tangan dari generasi filmaker baru yang mempunyai pendidikan dalam ilmu filem, saya harap dapat bentuk sinema Malaysia yang baru dan kembalikan kepercayaan penonton. Jika bukan rakyat Malaysia sendiri yang support, siapa lagi kan?

Saya rasa, sebelum dibawa ke luar negara, filem ni harus jadi 'jaguh kampung' dulu untuk dapat kutipan baik di Malaysia. Akhir sekali, saya harap semua filem Malaysia tak kira di pawagam ataupun Astro First mendapat kutipan yang baik. Insyaallah!


Filem ini mengisahkan lima sekawan iaitu Akmal, Arif, Aryana, Azie dan Amir yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk bercuti di Genting Highland.Amir terbunuh dalam kemalangan itu. Ketika mayat Amir di rumah mayat, keempat-empat sahabat terpaksa hadir untuk pengecaman mangsa. 

Malangnya, mereka terkunci dalam rumah mayat itu dan digangu pelbagai perkara misteri. Apakah perkara yang mengganggu mereka? Semuanya terjawab dalam Siapa Tutup Lampu?

Filem ini merupakan filem feature pertama pengarahnya, Aliff Ehsan Rahman.
 
Filem Siapa Tutup Lampu? akan hadir di Astro First mulai 25 November. 


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK

==========================================

Catat Ulasan

0 Ulasan