Ulasan Filem: The Occupant (2020)


Tahun Terbit | 2020
Pengarah | David Pastor
Pelakon | Javier Gutierrez, Mario Casas, Bruna Cusi

Bagaimana jika rumah yang kita beli dari orang lain tidak mahu dibebaskan sepenuhnya dari tuan lama? Apa perasaannya bila ada yang mengganggu privasi keluarga demi untuk mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna? Perkara ini menjadi premis kepada filem terbaru, The Occupant yang kini sudah menerjah katalog Netflix.

Baru sahaja penonton Netflix digemparkan dengan filem The Platform, The Occupant juga hadir dengan aura yang sama. Cuma, untuk filem ini, penonton tak perlu fikir double meaning untuk hayati filem ni. Ianya thriller yang simple tetapi cukup untuk buat korang ternanti-nanti kesudahan filem ni.

Filem arahan David Pastor ini mengisahkan Javier yang terpaksa melepaskan rumah lamanya. Hidupnya sebagai seorang pegawai pengiklanan nampaknya merudum dan dia terpaksa berpindah ke rumah yang lebih murah bayarannya. Namun, Javier masih mahukan hidup sempurna. Dengan berbekalkan kunci rumah lama yang masih ada, Javier cuba untuk masuk ke dalam kehidupan tuan rumahnya yang baru dan cuba merampas hidup mewahnya semula.

Bagi yang mengharapkan filem yang rancak dengan aksi, filem ni memang sedikit mengecewakan untuk korang. Filem The Occupant memang agak slow pada awalnya. Tapi, aura thriller itu tetap ada. Kita diumpan dengan setiap pergerakan Javier yang sukar diramal. Apa agaknya kesudahan Javier apabila berkawan dengan tuan rumah baru, Thomas? Semuanya sukar dijangkakan.

Walaupun filem ni agak slow, ianya terisi dengan dialog dan juga momen yang memuaskan. Elemen-elemen pecah masuk rumah memang berjaya buatkan aku geram. Tambah pulak ada tukang kebun pedophile yang memang tak dijangkakan kehadirannya. Elemen ini menambah perencah filem ni dan menjadikannya entertaining.

Lakonan pelakon filem ni memang mantap. Dengan berbekalkan dua watak utama, Javier dan Thomas, filem ni berjaya untuk memberikan rasa thrill dengan pergerakan cerita yang slow. Masing-masing menampilkan lakonan yang memuaskan dan cukup baik.

The Occupant mungkin tidak menangkap di sesetengah sisi tetapi masih memuaskan di mata aku. Pada aku, filem ni bercakap tentang bagaimana keinginan seorang lelaki untuk hidup dengan kemewahan yang selama ini dia ada. Dengan apa cara sekalipun, dia akan berusaha untuk dapatkannya walaupun nyawa orang lain jadi taruhan.

Filem ni menggunakan visual yang agak gelap sikit. Banyak adegan yang memang bermain dengan warna yang tidak terang sekaligus memberikan rasa thriller yang ingin disampaikan.

Mungkin filem ni tidak mampu untuk menampilkan kehebatan sehebat The Platform. Walaupun dari negara yang sama, filem The Occupant mungkin tidak mampu menandingi The Platform. Dua filem ni memang berbeza aura, tetapi The Occupant memang ada auranya yang tersendiri bagi penggemar thriller yang slow-burn.

Jika korang rasa sukakan filem yang slow-burn dan dark, The Occupant ialah sebuah filem yang korang mesti tonton. Filem ni tidaklah hebat mana sebab premis macam ni Hollywood dah pernah buat. Tapi, filem ni cukup untuk menghilangkan dahaga penonton filem thriller selepas selesai menonton filem The Platform.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan