Ulasan Filem: Glass (2019)


Tahun Terbit | 2019
Pengarah | M Night Shyamalan
Pelakon | James McAvoy, Bruce Willis, Samuel L. Jackson

M Night Syamalan kali ini tampil dengan sebuah filem yang menyambungkan filem Unbreakable (2000) dan juga Split (2017). Adalah agak rare untuk melihat sebuah filem yang berkesinambungan agak lama, selangnya lebih 10 tahun disambungkan dengan cara yang agak unik dan tak pernah lagi dibuat orang.

Di era dunia filem dimonopoli dengan filem superhero, Syamalan kelihatan mahu menangguk di air yang sama. Menumpang rima-rima filem superhero dengan Split digunakan sebagai pengikat kepada filem yang sudah berusia lebih 18 tahun. Syamalan cuba untuk memberikan gambaran bahawa hero boleh wujud even di luar komik.

Premis filem Glass kelihatan agak mudah. Namun, dengan style Syamalan, filem ni ada twist yang sentiasa ditunggu-tunggu. Aku boleh katakan Syamalan meletakkan banyak twist dalam filem ni sekaligus menjadikan filem ni agak tegang dan menarik. Apatah lagi gaya pengarahannya dan kerja kamera yang menjadi trademarknya dicampurkan.

Seorang hero sebenarnya ada di dalam setiap diri kita. Jika ianya tak wujud di dalam diri pun, hero sebenarnya wujud di sekeliling kita. Apa yang ada di dalam komik ialah gambaran hero yang diperbesarkan daripada kehebatan manusia asal. Itulah yang menjadi idea kepada Glass. Sebuah filem yang bercakap tentang hero yang lebih realistik.

Walaupun ramai pengkritik professional tidak memberikan Glass ulasan yang menarik, aku rasakan Glass ialah antara filem superhero realiti yang rasanya layak untuk dipuji. Ianya ibarat tongkat yang menemani dua lagi dunia superhero besar yang menjadi mazhab mereka sendiri iaitu DCEU dan juga MCU.

Plot Glass sangat ringkas. Itu sedikit mengecewakan, namun babak-babak dalam filem ni tidak mengecewakan. Dengan latar tempat yang hanya berkisar di sebuah wad gila, kisah Glass, Dunn dan juga Kevin digambarkan dengan baik walaupun ada sedikit rasa canggung apabila filem yang berada di zaman 200 bertemu dengan filem pada zaman 2017.

Sebagai sebuah filem M. Night Syamalan, Glass adalah lebih happening daripada filem-filemnya yang sebelum ni. Serius, aku agak kurang gemar dengan garapan filem arahannya kerana suasananya yang sentiasa sunyi. Namun, Glass agak lebih komersil, dan mungkin seperti penebusan maruah selepas gagal membikin The Last Airbender dengan baik.

Lakonan James McAvoy tidak dinafikan menjadi antara kekuatan filem ni. Lakonannya sebagai watak yang mempunyai 24 watak berbeza memang boleh dipuji. Bruce Willis pula boleh dikatakan biasa dan meneruskan watak yang sedia ada. Tetapi, Samuel L. Jackson, ianya ibarat melihat versi lain wataknya sebagai Nick Fury.

Terpulang pada korang nak percaya atau tidak, tetapi secara peribadi, aku puas dengan Glass. Ianya sebuah filem yang membenarkan adanya MCU dan DCEU yang sebenar di dunia. Cuma hakikatnya, manusia tidak mahu superhero ada kerana keseimbangan manusia normal dan vigilante tidak boleh ada. Jika ada vigilante, maka polis nak buat apa? Kan.

Sebuah story yang tak sempurna, tidak setuju dengan plot agensi rahsia tu, tapi ianya boleh layan. Glass membuktikan yang M. Night Syamalan boleh memberi jiwa kepada superhero walaupun dia tidak membikin dunia sehebat Marvel dan juga DC! Tontonlah!



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan