Huraian Babak Kemuncak Filem 'Kalla' [SPOILER ALERT]


Kalla ialah sebuah filem thriller aksi terbaru daripada pengarah Keluarga Iskandar, Wan Hasliza. Filem yang mana memberikan elemen Hollywood yang melibatkan konspirasi kerajaan, terorisma dan juga misi menyelesaikan teka teki ini boleh dikatakan antara yang pertama seumpamanya di Malaysia. Kalla diterajui Faizal Hussein, Farali Khan, Vanida Imran dan Azhan Rani yang menjadikan filem ni mantap.


Artikel ini akan menghuraikan kesemua elemen kejutan dalam filem ini. Sekaligus, diberi amaran, artikel ini MEMPUNYAI MAJOR SPOILER yang mana boleh menyebabkan korang semua termenung panjang jika masih belum menonton. Anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan pembacaan jika masih belum menonton.

-

-

-

-

-

-

-

-

-

-

HURAIAN BABAK KEMUNCAK ‘KALLA’


Filem ini dimulai dengan letupan di sebuah bangunan. Dr. Ezahar (Faizal Hussein), pensyarah sejarah turut kehilangan isterinya, Sherina (Vanida Imran) yang terkorban dalam tragedi tersebut. Sherina kebetulan menghadiri satu seminar di situ sebelum bangunan dibom. Kerajaan Malaysia pantas menubuhkan satu pasukan khas yang dikenali sebagai PASCEA, diketuai Rosdi (Azhan Rani). Dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia juga mengumumkan kerjasama dengan agensi sekuriti dunia yang dikenali sebagai First Order Security Agency (FOSA) untuk membanteras kegiatan Kalla.

Pada satu malam, Ezahar didatangi seorang lelaki yang mencari isterinya. Selepas ditangkap polis, Ezahar menyatakan bahawa isterinya masih hidup. Rosdi yang mana sudah mendapat keputusan bedah siasat mengesahkan bahawa Sherina sudah mati. Ezahar lalu diserang oleh beberapa orang lelaki sekaligus mempertemukannya dengan Uyun (Farali Khan).

Uyun lalu membawa Ezahar bertemu dengan Pak Manok (Zaidi Omar). Pak Manok, memberitahu bahawa Sherina masih hidup. Dia dikatakan berada di markas Kalla yang tidak diketahui tempatnya. Pak Manok mendedahkan bahawa Sherina terlibat dalam pembuatan bahan kimia, antiarin yang mana boleh digunakan untuk membina bom kimia yang berbahaya.

Pak Manok ialah ketua kepada bekas anggota Kalla yang dikenali sebagai Saif. Uyun ialah bekas ahli Kalla yang berkhidmat dengannya yang mana cuba untuk menjejaki Kalla. Pak Manok memberikan Ezahar sebuah catatan Hang Kalla. Melalui ilmu yang Ezahar ada, mereka mengembara ke Bali untuk mencari klu. Diringkaskan, perjalanan Ezahar dan Uyun bertemu dengan Kasmuri, yang mana sebahagian daripada Saif.

Dalam usaha bertemu dengan markas Kalla, Uyun dan Ezahar berdepan cabaran yang hebat. Ezahar juga mendapat sebuah pendrive yang berisi data tentang Saiferzone.

Dipendekkan lagi, di akhir filem ini, Ezahar akhirnya bertemu dengan markas Kalla. Namun, kejutan menunggunya. Rupanya, Uyun dan Kasmuri (yang dibunuh oleh Ezahar di pertengahan filem), merupakan suami isteri. Uyun bukan orang baik. Begitu juga Pak Manok.

Ezahar mendapati bahawa Kalla ialah sebuah agensi rahsia yang melindungi harta kerajaan Melaka. Mereka bukan teroris. Mereka ibarat bayang-bayang dan Pak Manok ialah ahli Kalla yang tidak bersetuju dengan niat kumpulan Kalla dan berpaling tadah. Pak Manok menggunakan Ezahar untuk mencari Kalla untuk kepentingan mereka sendiri. Pak Manok sebenarnya ialah ahli SAIF yang menjadi penyumbang dana kepada FOSA melalui Saiferzone.

Di akhir filem, didedahkan bahawa Menteri Pertahanan juga terlibat dalam kes ini. First Order Security Agency (FOSA) yang jalin kerjasama dengan kerajaan untuk menumpaskan Kalla sebenarnya didalangi SAIF. SAIF sebenarnya mempergunakan kerajaan untuk mencipta naratif bahawa Kalla ialah badan teroris yang berniat jahat.

Dan kumpulan Pak Manok tewas ketika serangan di markas Kalla. Kalla akhirnya berjaya diselamatkan dan harta kerajaan Melaka dilindungi dengan selamat. Ezahar terus menjadi pelarian.


APA ITU KALLA

Perkataan Kalla diambil daripada nama Hang Kalla. Di dalam filem ini, kita dibawa percaya bahawa Kalla ialah sebuah badan teroris yang cuba untuk menghuru harakan manusia. Namun, di akhir filem, kita dapati bahawa Kalla ialah sebuah agensi yang baik dan mempunyai niat untuk menjaga harta kerajaan Melaka.

Tidak dapat dipastikan bagaimana Kalla bergerak dengan sokongan kewangan yang entah datang dari mana. Dari kerajaan kah? Secara teori, sudah pasti, ianya ditaja oleh kerajaan sendiri secara rahsia bagi melindungi aset negara yang tidak ternilai itu. Kalla beroperasi di dalam lokasi terpencil.

Ahlinya pula mengenakan pakaian segak dan bertali leher. Ahli Kalla ada di merata-rata. Tidak diketahui siapa. Ianya ibarat mata-mata yang berada dalam masyarakat tetapi tidak diketahui keberadaanya. Kalla mejaga aset kerajaan yang bernilai yang mana merupakan harta Melaka lama yang mana mempunyai nilai berjuta ringgit.


KENAPA PAK MANOK NAK BURU KALLA

Pak Manok pada awalnya dipaparkan sebagai watak baik. Namun, di akhirnya, kita lihat bahawa Pak Manok ialah manusia yang mana bersifat jahat. Pak Manok dan Uyun ialah bekas anggota Kalla yang tidak sehaluan dengan niat Kalla. Pak Manok ialah ketua kepada sebuah kumpulan yang dikenali sebagai SAIF.

SAIF ialah sebuah kumpulan yang merekrut bekas ahli Kalla yang tidak sehaluan untuk mendedahkan Kalla yang bersembunyi. SAIF juga ialah penyumbang dana kepada First Order Security Agency (FOSA) yang kini menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk memburu Kalla. Dalam bahasa mudah, SAIF ni ibarat penjahat yang sedang membonekakan kerajaan melalui FOSA untuk mengorek Kalla keluar.

Bagi Pak Manok, harta kerajaan Melaka yang dijaga Kalla boleh digunakan untuk membina kuasa baru. Nilai harta Melaka itu boleh digunakan untuk membeli senjata dan juga melakukan sesuatu yang lebih dari sekadar menjaganya.


Selain mencipta letupan yang membawa kepada kerjasama FOSA dan kerajaan Malaysia, Pak Manok menggunakan Ezahar atas keinginannya yang mahu bertemu dengan isterinya. Semua perancangan diteliti dengan baik supaya dia boleh tahu dimana Kalla berada. Uyun ialah anak buah Pak Manok yang diminta untuk iringi Ezahar untuk mencari Sherina, sekaligus mempertemukan Pak Manok dengan tempat persembunyian Kalla.

Pak Manok sudah berjaya mengumpulkan bekas anggota Kalla yang tidak sehaluan dengan Kalla untuk menjadi sebahagian daripada misi kumpulan SAIF. Ianya memakan masa yang lama kerana lokasi cawangan Kalla sebenarnya berada di merata-rata, namun lokasi utama Kalla tidak pernah diketahui sesiapa pun di kalangan bekasa anggota Kalla.

SHERINA, PERANGKAP CINTA EZAHAR

Di dalam filem ini, kita didedahkan bahawa Sherina sebenarnya berkahwin dengan Ezahar sebagai satu perancangan daripada Saif. Sherina pada awalnya berkahwin hanya untuk mengaburi mata masyarakat tentang Saif dan di akhirnya, Saif mahu Ezahar diperangkap sebagai pengebom bangunan. Sebab itulah bahan letupan ditemui di rumah Ezahar.

Sherina menipu Ezahar yang dia sedang bekerja di agensi tanah. Sepanjang berkahwin, Ezahar sedikit pun tidak menyangka bahawa Sherina sedang merancang sesuatu. Dan kebaikan Ezahar kepada Sherina membuatkan Sherina berubah hati dan membatalkan niatnya untuk membunuh diri dan meminta pertolongan Kalla untuk menyelamatkan Ezahar.

Sherina akhirnya serah diri kepada kumpulan Kalla kerana bimbang Pak Manok akan mencarinya. Seperti yang diberitahu oleh ketua Kalla, Sherina memang ditakdirkan untuk shahid dalam letupan bangunan, namun Kalla berjaya menyelamatkannya atas sebab niatnya yang berubah. Kalla pula cuba untuk menyelamatkan Ezahar namun tidak mampu berbuat apa-apa, kecualilah memberikan sebuah petunjuk tentang Saiferzone melalui sebuah pendrive. Sherina terpaksa bersembunyi buat selamanya kerana dia pasti akan diburu oleh FOSA yang membonekakan kerajaan Malaysia melalui telunjuk SAIF selepas letupan bangunan menjadi isu hangat di Malaysia. Di akhir filem, kita dapati bahawa Ezahar terpaksa berpisah dengan Sherina. Namun, Ezahar lega apabila mendapati bahawa Sherina masih hidup.

SAIF, FOSA DAN MENTERI PERTAHANAN


Dalam filem ini, ada beberapa pertubuhan fiksyen yang menjadi pelengkap kepada perjalan cerita ini. Di akhir filem ini, kita dapati bahawa Kalla bukanlah sebenarnya badan teroris sepertimana yang diperkatakan oleh media dan kerajaan Malaysia. Kita juga melihat sebenarnya, SAIF cuba mengorek Kalla untuk keluar dari persembunyian dengan menaja satu badan yang dikenali sebagai First Order Security Agency (FOSA) dan menjalinkan kerjasama dengan Menteri Pertahanan yang juga merupakan ahli SAIF.

Di awal filem ini, kita melihat bagaimana kerajaan Malaysia menubuhkan PASCEA yang cuba menyiasat tragedi pengeboman. Namun, PASCEA menemui jalan buntu. Lalu, kerjasama dengan FOSA pun berlaku dengan izin Menteri Pertahanan tanpa menyedari bahawa FOSA ialah sebahagian daripada Saif yang sebenanrya mendalalangi letupan bangunan di awal filem.

Ya, Menteri Pertahanan berjaya mencuri ruang dengan memberi cadangan untuk gabungan FOSA dan kerajaan Malaysia setelah PASCEA gagal untuk menyelesaikan hal ini. Tanpa kerajaan Malaysia sedar, pengelibatan FOSA dalam menyelesaikan isu Kalla ini sebenarnya bersifat dua muka. Ada objektif bersifat peribadi yang hanya Menteri Pertahanan sahaja yang tahu, yakni mencari lokasi harta bersejarah Melaka.

First Order Agency (FOSA) ialah badan sekuriti dunia yang mana mendapat dana daripada SAIF yang diketuai Pak Manok. Ini diperkuatkan lagi oleh Menteri Pertahanan Malaysia yang membawa masuk FOSA ke dalam Malaysia untuk kononnya membantu menyelesaikan isu Kalla, tetapi sebenarnya mempunyai niat lain. Bila dah ada kaki dalam kerajaan, SAIF jadi kuat. Malah, dana dari Saiferzone juga boleh disalurkan dengan mudah untuk menguatkan FOSA.

Senang cakap, di dalam filem ini, SAIF dengan sedaya upaya cuba untuk mengorek kewujudan Kalla dengan pelbagai cara termasuklah menggunakan menteri pertahanan sendiri dengan memperlihatkan Kalla sebagai agensi yang berunsur terorisme. Dan di akhir filem, kita diperjelaskan bahawa persepsi kita sebenarnya dimainkan oleh pelbagai unsur. Kita dibawa untuk melihat antara percaya atau tidak. Tentang kebenaran dan juga naratif yang dicipta.

Di dalam dunia kita, kita terperangkap antara kebenaran, nyata dan palsu yang mana memberikan persepsi yang berbeza pada setiap cerita. Persepsi yang dicipta Pak Manok ini membawa kepada semangatnya Ezahar, yang ditemani Uyun untuk mencari Sherina. Persepsi yang dicipta oleh kerjasama FOSA dan kerajaan Malaysia juga membuatkan penduduk Malaysia mempercayai Kalla ialah pengganas.

Pendek kata, kita semua dikaburi oleh persepsi!

NASIB EZAHAR, DAN MASA DEPAN KALLA

Kalla berakhir dengan memaparkan nasib Ezahar yang kini masih lagi dalam pelarian. Kita tidak tahu apa nasib Ezahar selepas apa yang terjadi. Tidak ada jawapan bagaimana nama Ezahar akan dibersihkan selepas Rosdi, anggota PASCEA mengetahui kebenaran. Terlalu banyak persepsi dan ilusi yang sukar membuatkan nama Ezahat dibersihkan dengan mudah.

Jika Kalla ada sekuel, berkemungkinan kita berpeluang melihat beberapa lagi perkara yang masih ada penamanya. Adakah Ezahar menerima nasibnya untuk berjauhan dengan Sherina? Dan jika dia tidak dapat menahan cintanya, adakah Ezahar akan menyertai Kalla untuk bersama dengan Sherina? Teori ini berkemungkinan akan dijawab jika sekuel Kalla ada.

Malah, tragedi pengeboman bangunan di awal filem semestinya mempunyai pelbagai naratif yang boleh dikembangkan. Mungkinkah akan ada wujudnya satu golongan yang mempercayai Kalla sebagai dalang kepada pengeboman akan melakukan serangan sekali lagi kerana tidak mengetahui pengelibatan SAIF dalam pengeboman? 

Bagaimana pula media digunakan untuk membersihkan nama Kalla, dan juga penangkapan Menteri Pertahanan yang turut terlibat dalam pengeboman bangunan? Semuanya itu tidak akan mampu dijawab kalau korang tak sokong dan tonton filem ni. Banyak plothole yang masih belum dijelaskan dengan baik yang perlu dijelaskan dalam sekuel.

KESIMPULAN 

Kalla ialah sebuah filem yang boleh aku ibaratkan seperti misi adventure National Treasure, tetapi ianya lebih complicated dengan elemen konspirasi kerajaan. Ianya sebuah filem yang menarik untuk ditonton kerana filem sebegini tidak pernah ada lagi dalam negara kita. Come on, give it a shotlah. Layan Kalla di pawagam sekarang!


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan