Ulasan Filem: Munafik 2 (2018)


Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Syamsul Yusof
Pelakon | Syamsul Yusof, Asmawi Ani, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fizz Fairuz

Bayangkan, kalau dulu-dulu, kita ada genre cinta islamik. Filem cinta, yang kemudiannya diadunkan dengan falsafah agama, mendidik tentang cinta yang menurut ajaran islam. Ianya meletup dah menjadi hit. Merebak bagaikan virus dan menjadi formula agung ketika itu.

Kini, Syamsul bawakan pula genre horror islamik. Formula yang sama, cuma kali ini, elemen islamik itu diadun dengan keseraman. Tidak pula filem genre islamik ini seperti filem seram yang selalu kita lihat. Ianya lain. Kerana keseraman filem horror islamik mempunyai isi dan bukan hanya sekadar jampi.

Apabila aku selesai menonton Munafik 2, aku rasakan bahawa filem Munafik 2 bukanlah filem seram ala Turki, bukan juga seram biasa. Ianya satu genre yang luar dari kotak pemikiran kita. Sesuatu yang lain. Aku bertanya, apa benda kau nak cerita ni soul? Apa?

Lalu, di akhirnya, aku dapat kesimpulannya. Munafik 2 sebenarnya mahu bercerita tentang agama. Ianya sebuah filem yang mengkritik penontonnya sendiri. Tentang hakikat manusia yang berpaling dari tuhan. Menuduh yang khilaf dengan perbuatan itu salah dan juga memaksa orang lain untuk menuruti apa yang dia fahami, mengamalkan ajaran nabi dengan membabi buta, menghukum manusia tanpa menggunakan agama, dan banyak lagi.

Munafik 2 juga ialah satu tamparan buat kita, si penonton. Berani dia suruh bayar duit, lepas tu dia ceramah kaw kaw kat kita balik. Hampeh! Syamsul mengajak kita untuk berada di tempatnya, lalu mempersoalkan dirinya sebagai cermin kepada kita sendiri tentang sejauh mana agama yang ada dalam jiwa kita, dan sejauh mana kita mampu berjihad sama ada dengan hati, ataupun dengan kemampuan kita.

Ya, pada aku, Munafik 2 ni sebenarnya lebih kepada filem dakwah. Dakwah gaya filem seram. Seram tu hanyalah hiasan je. Islamik itu yang lebih. Bagus. So, kalau anggap pergi nak ditakutkan, kau mungkin takkan dapat penuhi keseluruhannya. Kau kena anggap, kau macam pergi dengar ceramah agama, tapi ada hantu dengan kau. Gitulah.

Dari aspek teknikal, aku cukup gemari visual filem ni yang berjaya memberi rasa rimas. Syamsul nampaknya mungkin merujuk kepada filem-filem Turki ataupun filem luar untuk mewujudkan rasa seram dan juga jumpscare yang dicipta.

Malah, lakonan Syamsul sudah mula sebati dengan watak Ustaz Adam itu sendiri. Sepertinya, dia benar benar berada dalam diri Ustaz Adam itu dan membawa kita untuk menghayati jiwanya yang masih belum diam untuk meronta. Syamsul dah kurang kayu, dia dah tahu apa yang dia mampu dan tidak. So terbaik di situ.

Watak Ustaz Adam kali ini lebih mencabar dari filem yang pertama sekaligus menyebabkan aku rasakan ianya antara watak terbaik lakonan Syamsul Yusof setakat ini. Mungkin kita boleh lupakan wataknya dalam KL Gangster dahulu yang terlalu nak jadi cina fake yang tak berapa nak sesuai dengan dirinya.

Aku juga gemarkan twist filem ni. Ianya sukar dijangka. Bagaimana Syamsul menjahit kaitan filem Munafik (2016) dengan filem ini menjadikan filem ini bersatu dengan baik sebagai sebuah sekuel walaupun isu filem ini sedikit berat daripada filem pertama. So, lepas ni, jika tonton semula Munafik (2016), kau pasti rasa lain.

Solekan filem ni memang terbaik weyh! Hantu dalam filem ni memang menyeramkan walaupun hanya sekadar seketika je kemunculannya. Yelah, nak jumpscare penonton je. Tahniah hantu hantu semua.

Filem ini ada tiga bahagian sebenarnya, pada akulah. Keseraman itu sebenarnya hanya ada pada separuh masa awal. Di pertengahan, aku nampak, Syamsul meletakkan dakwahnya. Dan di bahagian akhir, filem ini sudah hilang seramnya, tetapi membawa kita kepada persoalan utama yang sebenarnya Syamsul mahu kita fahami.

Kalau nak kata filem ni perfect, tak juga. Ada beberapa elemen yang agak kurang membantu filem ini. Pertama sekali, aku rasakan runut bunyi filem ini terlalu bersepah dan kuat daripada suara itu sendiri. Dahlah runut bunyi kuat, suara pula menjerit, tapi iyalah, filem Syamsul memang macam tu.

Selain itu, jumpscare yang terlalu banyak kadangkala membuatkan aku rasa macam ianya membazir masa. Syamsul kelihatan seperti nak letak semua gaya jumpscare yang dia ada dalam filem ni. Kebanyakannya menjadi. Tapi, kalau asyik jumpscare je sana sini, bosan juga jadinya.

Apapun, Nasir Bilal Khan mungkin antara antagonis terbaik untuk filem tahun 2018. Lakonannya memang mantap dan berjaya buatkan aku rasa dengan kejahatannya. Tahniah juga kepada Syamsul Yusof yang membina karakter Abuja ke tahap itu.

Bercakap tentang watak Abuja, aku tak expect yang ianya begitu dalam dan gila. Paparan kegilaan Abuja dan pengikutnya memang berjaya membuatkan aku rasa dia deserve untuk menerima hukuman Allah yang lebih setimpal daripada ending filem ni. Suaranya, lontaran vokalnya dan perlakuannya berjaya memberikan rasa. Terbaiklah Nasir Bilal Khan.

Fauzi Nawawi pun boleh dikatakan antara pelakon pembantu yang baik. Maya Karin pula mengingatkan aku kepada wataknya dalam Pontianak Harum Sundal Malam. Mawi pula lakonannya hanya biasa biasa. Karakternya ada, tapi lontaran dialognya entah, ada macam tak kena.

Aku lebih selesa untuk katakan yang filem ni sebenarnya lebih dakwah dari horror. Kau jangan expect yang filem ni terlalu banyak keseramannya. Macam aku cakap tadi, sepertiga awal filem ini sahaja momentum seram itu ada. Selebihnya hanya dakwah yang tak pernah kita saksikan dalam filem Malaysia.

Munafik 2 berjaya memberikan aras baru untuk sebuah filem tentang ajaran sesat di Malaysia. Tidak pernah lagi ada filem dengan kegilaan yang dipaparkan dan ianya ialah ksrya yang berani mengkritik dan juga memberi rasa sambil berhibur.

Munafik 2 ialah filem yang penuh dengan makna dan kritikan. So, ianya sebuah dakwah sentap yang mana boleh membuatkan kau berfikir. Jangan risau, filem ni bukan filem seram even banyak jumpscare. Kau kena tahu, dakwah pun kadangkala kena ada jumpscare!

4/5



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan