Ulasan Filem: Deadpool 2 (2018)

Tahun Terbit | 2018
Pengarah | David Leitch
Pelakon | Ryan Reynolds, Josh Brolin, Zazie Betz

Deadpool 2 semestinya antara filem yang berada di luar ruang masa Marvel Cinematic Universe yang ditunggu-tunggu. Filem yang bergenre superhero ini memang berani untuk keluar dari kotak dan memberikan rasa yang baru untuk sebuah superhero gila. Dari filem pertama, Deadpool ialah sebuah watak yang sangat ringan, dijadikan taman hiburan, dan untuk penonton singgah lepak dan gelak ketawa.

Untuk filem Deadpool 2, elemen itu kembali lagi. Kali ianya lebih gila. Dan tak mengada juga kalau aku katakan Deadpool 2 ialah satu filem yang sangat mahir untuk bermain dengan pelbagai komedi dan mencucuk bontot pelbagai filem lain yang berada di sekelilingnya. Deadpool 2 aku boleh sifatkan sebagai sebuah filem yang kreatifnya sangat menggila. Kenapa?

Pertama, filem ini ialah the next level of Scary Movie! Kalau korang pernah hidup sekitar awal milenia dulu, genre memparodikan filem popular mula bertapak daripada filem Scary Movie inilah. Dan lama kelamaan, filem filem sedemikian sudah menjadi murahan. Dan ianya berkubur. Dengan Deadpool 2, parody bangkit kembali. Jenaka cara Deadpool sememangnya segar.

Tapi, aku akui yang aku tidaklah terlalu ketawa berdekah-dekah dengan parody dan juga dialog peril dalam filem ni. Kadangkala ada yang terasa kering kerana setiap momen mahu disumbat dengan jenaka. Tapi, ianya masih berada dalam konteksnya kerana itulah sifat Deadpool. Dan apabila Deadpool berinteraksi dengan penonton, itu juga sesuatu yang menarik.

Keduanya, filem Deadpool 2 ialah filem yang berjaya mencipta kejutan lebih hebat daripada Infinity War. Tatkala orang sibuk berteori dengan Infinity War, Deadpool 2 berjaya menyembunyikan banyak perkara yang boleh mencipta kejutan bagi penonton yang menontonnya. Of course, sekarang kejutan tu dah bukan kejutan lagi. Tapi, tahniah pada perancangan yang tersembunyi, Deadpool 2 membuatkan aku terkejut di sana sini!

Ketiganya, Ryan Reynolds tidak menampilkan Deadpool 2 sebagai sebuah filem yang memfokuskan pada sikap gila Deadpool. Elemen kasih sayang juga dipaparkan dengan jayanya. Emosi dan lakonan Ryan Reynolds boleh membuatkan kita ketawa dan kadangkala membuatkan kita bersedih. Memang power ah! Keempat, filem ni lebih ganas. Elemen keganasan filem ni sememangnya layak untuk diletakkan R-rated dan juga untuk penontonan 18 tahun ke atas. Trust me, even aku yang dewasa ni pun terkejut dengan keganasan dalam filem ni. But, itulah yang membuatkan filem ini menarik dan menghiburkan untuk ditonton.

Filem ini memang sebuah filem yang boleh dikatakan sebagai filem yang harus dilayan dengan kepala yang kosong. Jenakanya mungkin boleh ditangkap jika kita tahu apakah rujukan kepada jenaka itu. Ada sesetengahnya terlalu personal dan siapa pun takkan faham lawak tu. So, itu agak menjengkelkanlah. Tapi, tak kisahlah.


Aksi filem ni sememangnya tidak dapat dinafikan sangat ohsem. Adegan trak di tengah bandar tu memang satu kekuatan kepada filem ni. Sedikit mengecewakan apabila adegan akhir filem ni terlalu kecil dan hanya berlaku di kawasan hadapan rumah anak yatim. Namun, sememangnya Deadpool 2 sebuah filem yang mempunyai aksi yang best!

Gandingan Ryan Reynolds dan Josh Brolin memang tidak dapat dinafikan menjadi. Walaupun dua karakter ini berbeza motif, gandingan mereka memang menghidupkan filem tersebut. Apatah lagi jenaka daripada Dopinder, Domino dan beberapa ahli X-Men yang muncul beberapa ketika.

Ringkasnya, kau pergi tonton filem ni tanpa pening kepala. Lihat dan rasai kejutannya. Alami pelbagai perkara gila dalam filem ni untuk sebuah filem ringan. Oh, elemen time travel di akhir filem sememangnya sebuah post-credit yang hebat dan paling kreatif di abad ini. Deadpool 2 ialah sebuah filem yang unik dan kreatif.

Catat Ulasan

0 Ulasan