Huraian Babak Kemuncak Filem 'Dukun' [SPOILER ALERT]



Setelah disimpan selama 12 tahun disebabkan pelbagai halangan (bukan diharamkan oleh LPF), akhirnya Dukun berjaya menemui penonton pada tahun 2018. Filem yang sebenarnya bakal menjadi filem pengenalan kepada pengarah Dain Said ini memilih untuk mengisahkan isu seorang bomoh yang mana telah membunuh seorang ahli perniagaan dan bakal disabitkan hukuman.


Bagi yang pernah menonton filem Dain Said yang lain, anda sudah pasti biasa dengan gayanya. Namun, bagi yang pertamakali menonton filem Dukun (sebab rasa filem ni filem seram, padahal tidak), maka filem ini mungkin sedikit membingungkan walaupun sebenarnya mudah sahaja ceritanya. Tak mengapa, kami akan huraikan babak kemuncak filem ini dan merungkai apa yang kusut.

Sila ambil maklum bahawa PENULISAN SELEPAS INI MENGANDUNGI MAJOR SPOILER! Anda tidak digalakkan meneruskan bacaan jika masih belum menonton!

-

-

-

-

-

-

-

-

HURAIAN BABAK KEMUNCAK FILEM ‘DUKUN’

Selepas beberapa keterangan dihujahkan, akhirnya Diana Dahlan dijatuhkan hukuman gantung. Peguambela Diana, Karim merayu untuk hukuman Diana dibuat rayuan semula. Namun, Diana menolak dan menerima sahaja hukumannya. Malah, dia menggesa supaya tarikh hukuman gantungnya di percepatkan. Karim, yang pada awalnya mengambil kes untuk membela dukun bernama Diana Dahlan ini kerana terdesak mahukan maklumat berkenaan anaknya yang hilang akhirnya mengetahui sesuatu yang di luar jangkaannya. Rupanya, dukun yang dibelanya sebenarnya pembunuh isterinya sendiri dan juga menyebabkan anaknya menjadi tidak tentu hala dan melarikan diri.

Karim juga dapat tahu Diana Dahlan mempunyai pertalian dengan anak Karim yang mana bakal menjadi pewaris ilmu hitamnya ketika dia mati kelak. Malah, dia juga baru sedar bahawa isterinya bersekongkol dengan Diana Dahlan untuk mendapatkan anaknya.

Apabila Diana dijatuhi hukuman mati, hidup Karim jadi tak keruan. Dia makan makanan dari tong sampah sebelum dia akhirnya menemui anaknya di sebuah kelab malam. Dari luar bilik, dia dapat melihat anaknya kini sudah menjadi Diana Dahlan yang baru dan dijaga oleh kembar Diana Dahlan, Danni Dahlan.


Karim akhirnya mula sedar akan kekacauan hidupnya dan mula dekatkan diri dengan tuhan dan tidak mampu lagi berbuat apa-apa tentang anaknya, Nadia.

SIAPA BUNUH KETUA TENTERA?

Babak prolog filem ini mungkin agak mengelirukan sedikit dan tidak memberi gambaran jelas tentang apa signifikasi adegan pembunuhan wanita beramai-ramai oleh askar Indonesia untuk sebuah tongkat. Secara ringkasnya, babak pembukaan filem ini menunjukkan bagaimana askar Indonesia sebenarnya mahu memiliki Tongkat Batak itu dengan cara yang kejam.

Ini menegaskan di Indonesia, pada zaman itu, Tongkat Batak itu sebenarnya direbut oleh pelbagai orang termasuklah orang dari kerajaan Indonesia sendiri yang mahukan tongkat itu untuk kepentingan diri sendiri. 

Namun, di akhirnya, ketua tentera yang mengarahkan pembunuhan dukun-dukun wanita itu juga terbunuh. Persoalannya, siapakah yang membunuh ketua tentera yang mengarahkan pembunuhan beramai-ramai itu?

Jawapannya, tiada yang lain melainkan geng Diana dan Dani. Walaupun tidak dihuraikan dengan jelas siapakah yang menyebabkan kenderaan ketua tentera itu tersadai di tepi jalan dengan mayatnya terkeluar dari kereta, kita dapat melihat syot demi syot bagaimana akhirnya tongkat itu dibawa oleh Diana Dahlan dan kembarnya ke Malaysia untuk melarikan diri.

DANNI IALAH DALANG SEBENAR, DIANA HANYA BONEKA

Walaupun Diana Dahlan didapati bersalah, kita sebenarnya melihat kepada permainan minda yang sememangnya agak unik. Diana Dahlan sebenarnya bukanlah orang yang dipersalahkan kerana membunuh Dato Jeffri. Diana Dahlan hanyalah boneka yang hanya menjalankan tugasnya sebagai apa yang dimahukan oleh Danni. 

Ini dapat diperhatikan pada ritual pertama Dato’ Jeffrey, Danni menjadi pembantu kepada Diana untuk melakukan ritualnya. Namun, pada malam Dato’ Jeffrey dibunuh, Danni tiada. Dia dibantu oleh Fadzli yang mana akhirnya akur untuk menceraikan badan Dato’ Jeffrey dan akhirnya bersubahat dalam pembunuhan.

Lalu, siapakah yang punya idea untuk membunuh Dato’ Jeffrey? Danni atau Diana? Sudah tentu jawapannya ialah Danni. Dia ialah perancang kepada keseluruhan agenda sehinggalah ke tahap pengakhiran hidup Diana dimana bagaimana Diana akhirnya berjaya mewariskan dirinya kepada tubuh Nadia yang mana diikat melalui perjanjian dengan isteri Karim suatu ketika dahulu.

Kita juga akhirnya melihat bagaimana 'karya' dan perancangan Danni akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila dia duduk di dalam kelab malam memerhatikan Nadia yang kini sudah menjadi Diana Dahlan yang baru. Dia akhirnya berjaya memperdayakan manusia dengan kuasa yang ada pada dirinya sehingga mencipta 'karya' yang sempurna. 

DIANA DAHLAN HIDUP SELAMANYA

Di akhir filem ini, kita dapat melihat bagaimana Diana Dahlan akhirnya dijatuhi hukuman gantung. Dia kelihatan tenang sekali dan hanya meminta untuk mengenakan perhiasan solek untuk hari terakhirnya sebagai banduan. Namun, adakah Diana Dahlan benar-benar mati? Jawapannya, tidak. Diana Dahlan tidak mati!

Selepas Diana Dahlan yang menggunakan tubuh Umie Aida mati di tali gantung, Diana Dahlan sebenarnya hidup dalam tubuh Nadia, anak Karim yang mana akhirnya menjadi penari kabaret. Danni Dahlan sebenarnya ialah penjaga kepada roh Diana Dahlan dan sentiasa menjaganya semenjak dari dulu sehinggalah kini.

Tidak ada bukti jelas menunjukkan Diana Dahlan sebenarnya berpindah tubuh dari zaman ke zaman. Buat masa ini, ianya hanyalah sekadar teori.

ADAKAH MAYAT YANG DIPENUHI TULISAN BATAK ITU DIANA DAHLAN?

Berkemungkinan ya! Berkemungkinan itu ialah jasad Diana yang dahulu sebelum ianya berpindah ke tubuh yang dia ada sekarang! Dan mungkin juga Danni sudah berusia agak tua! Apapun, kesahihan ini tidak dipastikan. Buat masa ini, ini hanya sekadar teori.



ADAKAH TONGKAT BATAK ITU BERKUASA?

Filem ini sebenarnya mengkisahkan bagaimana ajaran ilmu hitam itu sebenarnya wujud namun jarang dipercayai oleh sesetengah pihak. Di dalam filem ini, kita ditinggalkan dengan persoalan sejauh mana hebatnya Tongkat Batak yang dimiliki oleh Diana dan Danni dalam memberikan kekuasaan sakti. Dato’ Jeffrey yang mahukan Tongkat Batak itu juga akhirnya mati ditetak. Jadi, adakah Tongkat Batak itu berkuasa?

Jawapannya, Tongkat Batak itu tidak dapat dipastikan kekuasaannya dalam memberikan kuasa kepada penggunanya. Namun, kepercayaan kepada Tongkat Batak itu melalui Danni berjaya menyebabkan Diana menerima dirinya yang terpaksa menjadi pembunuh. Diana sendiri ketika Dato’ Jeffrey menggodanya menyatakan bahawa Tongkat Batak itu lebih berkuasa jika dimiliki lelaki.


Tongkat itu berkemungkinan tidak berkuasa dalam memberikan ilmu, namun ianya memberikan kekuatan tentang siapa lagi hebat untuk mengawal. Dan Danni memegang hak untuk mengawal dan Diana akhirnya menjadi pelaku! Dan ketika perbicaraan, Tongkat Batak itu tidak pernah menjadi bahan kes sekalgus menyebabkan kekuasaan Tongkat Batak itu menjadi persoalan.

Dalam bahasa mudahnya, Tongkat Batak itu ialah simbol kepada kawalan terhadap nafsu dan sekaligus menjadikan manusia yang berada di dalam lingkungan tongkat itu terikat dengan peradaban dan juga syarat! Diana mempercayai kuasa Tongkat Batak lalu menjadikan dirinya 'kebal' dan mempunyai kuasa yang tidak dapat dihuraikan.

FILEM INI SEBENARNYA TENTANG PILIHAN

Sepanjang filem ini, kita sebenarnya diperjelaskan tentang pilihan yang kita buat. Dalam hidup kita pun, kita tidak lari daripada berbuat pilihan. Dan setiap pilihan yang kita buat akhirnya membawa kepada akibat di masa hadapan sama ada ianya baik atau buruk. Dato’ Jeffrey membuat pilihan untuk mempercayai khurafat dan akhirnya mati ditetak kerana kepercayaannya.

Salah Dianakah Dato’ Jeffrey ditetak? Tidak! Jika Dato’ Jeffrey pilih untuk tidak menyekutukan Tuhan dan menghampiri dukun, maka dia takkan mati! Kepercayaan karutnya juga sebenarnya membunuh dirinya sendiri.

Diana juga bukanlah seorang dukun yang jahat sepenuhnya. Dia dan Danni sememangnya mengamalkan amalan syirik. Namun, sebenarnya dia juga mempunyai ramai pengikut yang mana mungkin pesakitnya yang sembuh dengan pertolongannya. Jika Diana bukan manusia yang menolong orang, kenapa ramai orang awam datang menyaksikan dan tidak bersetuju dengan hukuman yang dijatuhkan hakim?


Karim pula tersepit! Anaknya hilang. Sebagai seorang bapa, dia mahu lakukan apa sahaja walaupun hubungannya renggang dengan Nadia selepas kematian isterinya. Pilihannya, seperti yang diberitahu imam ialah dekatkan diri dengan Tuhan dan jauhkan syirik! Namun, sebagai seorang peguam, Karim memilih untuk tidak memilih dan akhirnya, kebenaran terbentang di depan mata.

Anaknya kini sudah menjadi seseorang yang dia hanya mampu perhati dari jauh!

KESIMPULAN

Dukun sebenarnya berbicara tentang pilihan kita dalam hidup. Kadangkala, dalam kehidupan ini manusia memilih tanpa melihat akan akibat yang bakal dilalui. Filem Dukun menggambarkan itu. Dan dengan jiwa manusia yang sentiasa terperangkap untuk percaya kepada siapa yang harus disembah, ragu-ragu itu membuatkan jiwa seorang dibunuh perlahan.

Dukun di pawagam bermula 5 April 2018.

Catat Ulasan

0 Ulasan