Header Ads Widget

Huraian Babak Kemuncak Filem 'Pacific Rim: Uprising' [SPOILER ALERT]



Pacific Rim: Uprising mungkina sekuel yang dinanti semua peminat filem pertama. Namun, dengan sedikit kelemahan dalam beberapa bahagian filem ini, mungkin Pacific Rim: Uprising bakal menjadi sebuah filem yang gagal untuk menyerlah berbanding filem pertama. Penamat filem ini membuka ruang kepada sesuatu, dan di sini, kami akan huraikan apakah yang ada di sebalik penamat filem ini.


Ambil perhatian bahawa penulisan selepas perenggan ini dipenuhi dengan MAJOR SPOILER ALERT. Anda dinasihatkan untuk tidak membaca perenggan selepas ini jika belum menonton filem ini.
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
HURAIAN BABAK KEMUNCAK ‘PACIFIC RIM: UPRISING’

Selepas proses pembukaan gerbang untuk laluan para Precursors berjaya dihalang, tiga kaiju berjaya memasuki dunia dan cuba untuk menghala ke gunung Fuji. Dikatakan bahawa gabungan elemen bumi di gunung itu apabila bercantum dengan darah kaiju akan membolehkan kehidupan bumi mati sekaligus menjadi tempat baru untuk Precursors menghuni.

Empat buah Jaeger terpaksa bertarung menumpaskan tiga kaiju di tengah bandar Tokyo. Newt, lelaki yang dirasuk oleh jiwa Precursors melepaskan robot kecil ciptaannya yang dicipta secara senyap melalui Shao Corporation. Robot kecil itu lalu mencantumkan tiga kaiju itu menjadi seekor kaiju besar yang lebih hebat.

Dalam pertempuran akhir, kesemua robot gagal untuk melawan kaiju tersebut. Namun, Gipsy Avenger yang dipandu oleh Jack Pentecost dan juga teman barunya Amara, selepas rakannya Nate cedera mendapatkan idea untuk melancarkan Gipsy Avenger sebagai sebuah peluru berpandu untuk serangan terakhir.

Liwen Shao, ketua Shao Corporation akhirnya membawa Scrapper, robot ciptaan Amara untuk membantu. Scrapper dikawal daripada jauh. Selepas penujah roket dipasangkan di tangan Gipsy Avenger, Gipsy Avenger ditujah naik ke udara melepasi awan sebelum jatuh menjunam. Amara dan Jack akhirnya keluar daripada Gipsy Avenger dan melepaskan diri melalui Scrapper yang melekat pada badan Gipsy Avenger.

Gipsy Avenger menghentam kaiju lalu menghancurkannya. Newt berjaya diberkas. Sebelum penutup, Amara dan Jack bergelak ketawa di tepi kaiju yang hancur. Babak akhirnya menunjukkan Newt yang masih dirasuk Precursors yang mengugut bahawa ancaman masih takkan berakhir. Jack memberi hint bahawa mereka akan menyerang Precursors dengan pergi ke alam mereka.



BAGAIMANA AMARA DAN JACK TIDAK TERBAKAR KETIKA GIPSY AVENGER MENJUNAM

Secara logiknya, sesuatu benda yang dijatuhkan dari luar atmosfera bumi sebenarnya akan mula terbakar sedikit demi sedikit apabila melalui lapisan langit bumi. Namun, di dalam filem ini, Jack dan Amara berjaya terselamat daripada terbakar di dalam perut Gypsy Avenger sebelum ianya menjunam menghentam kaiju.


Jawapannya ada. Walaupun sains tidaklah boleh dipakai mana dalam filem sains fiksyen, Gipsy Avengers tidak panas sepenuhnya hanya kerana Gipsy Avenger menggunakan penumbuknya di hadapan untuk menjunam. Di dalam filem ini, anda akan dapat lihat penumbuk Gipsy Avenger hampir terbakar sebelum menghentam.

Haba yang terkumpul di penumbuk Gipsy Avenger sebenarnya melambatkan proses pemanasan di bahagian badan robot tersebut sekaligus memberi ruang untuk Amara dan Jack terselamat. Namun, ini hanyalah logik filem semata dan kebenaran teori ini dalam dunia sebenar masih belum dapat dipastikan.

APA TUJUAN PRECURSOR SEMENJAK ‘PACIFIC RIM’?

Ada sesuatu yang agak janggal dan menjadi persoalan semenjak filem pertama lagi yakni kenapa kaiju menyerang bumi. Kenapa kaiju tersebut hanya menghantar seekor sahaja pada satu masa sedangkan jika mereka mahu menakluk bumi, mereka boleh menghantar segerombolan sekaligus untuk memusnahkan bumi?

Persoalan ini tidak dibahaskan secara terang dalam filem Pacific Rim: Uprising. Namun, di dalam filem ini, kita dapat melihat bahawa Precursors sebenarnya boleh memasuki otak manusia dengan caranya yang tersendiri. Idea yang menyatakan bahawa Newt sebenarnya dirasuk oleh Precursors yang menjadi plot penting dalam filem ini sudah pasti menunjukkan bahawa Precursors bukanlah sebuah bangsa yang bodoh.

Precursors sebenarnya dalam diam cuba untuk menguji suasana bumi untuk kehidupan kaum mereka. Itu antara sebab mereka tidak menyerang secara kelompok buat masa ini. Dan sebenarnya, apa yang kita lihat setakat ini hanyalah sebuah misi kecil yang masih dikatakan sebagai misi yang hanya ingin menakutkan manusia. 

Mereka merencanakan pelbagai misi dan dalam tempoh 10 tahun yang aman, sebenarnya Precursors sedang senyap-senyap mencipta serangan baru. Serangan baru ini nampaknya lebih gah apabila Precursors cuba untuk menghantar beberapa kaiju serentak, tidak seperti filem terdahulu dimana kaijunya muncul sedikit demi sedikit.

Jika Shao Corporation tidak berjaya menutup pintu gerbang yang dibuka oleh dron yang digodam itu, sudah pasti, jaeger yang ada tidak akan mampu memusnahkan kesemua kaiju kerana jumlahnya sudah pasti lebih banyak daripada jaeger yang ada. Namun, syukur apabila tiga kaiju sahaja yang berjaya memasuki dunia dan satu lagi gagal kerana portal tertutup ketika kaiju tersebut mahu keluar.

SEMUANYA TENTANG HUBUNGAN SESAMA MANUSIA

Di dalam Pacific Rim: Uprising, elemen utama yang mahu ditonjolkan ialah hubungan antara manusia. Perkara ini tidak dilihat jelas dalam filem pertama kerana ianya lebih fokus kepada kehebatan jaeger melawan kaiju yang extreme. Stephen S. Deknight memilih untuk membuang elemen itu dan bercerita tentang pasca pertempuran kaiju dari filem pertama.


Selepas 10 tahun, kaiju sebenarnya bukan lagi masalah yang menjadi keutamaan. Apa yang ada ialah bagaimana survival hidup selepas serangan. Digambarkan bahawa dengan teknologi yang ada, bandar berjaya dibangunkan semula dan kehidupan mula pulih walaupun tidak semua.

Watak Jack Pentecos mempunyai hubungan yang agak renggang dengan Nate, partnernya untuk Gipsy Avengers. Hubungan kemanusiaan ini dipupuk dari awal filem walaupun kelihatan agak janggal untuk sebuah filem yang diimpikan menyajikan perang kaiju hebat. DeKnight juga menceritakan kisah Amara dan pasukannya yang bertelagah dan akhirnya bersatu.



Malah, hubungan kakak dan adik antara Jack dan Miko yang mana agak pointless. Elemen hubungan manusia sesama manusia ini sebenarnya membunuh keinginan penonton untuk melihat sesuatu yang lebih ekstrem. Mungkin boleh diharapkan bahawa filem kaiju semestinya melebihkan kaiju di masa hadapan dan elemen manusia harus menjadi penyedap sahaja dan bukan kisah utama.

Perkara inilah yang anda lihat sendiri ketika Jack mahu menyelamatkan Amara. Ketika dua orang itu pada awalnya tidak serasi dan Amara pula terperankap dengan sikapnya, Jack yang kehilangan Miko nampaknya sudah menerima takdir kehilangannya. Amara juga begitu. Dan disebabkan itulah Jack dan Amara akhirnya bergembira sekaligus menggambarkan penerimaan 'keluarga baru' dalam hidup masing-masing selepas kaiju dimusnahkan. 

Antara perkara penting yang ingin ditekankan dalam filem ini ialah manusia sebenarnya yang ingin merosakkan manusia sendiri. Ya, Newt sememangnya dirasuk oleh Precursors, namun, jiwanya gagal untuk menjadi manusia yang kuat sekaligus menyerahkan dirinya kepada jiwa jahat yang sekaligus memusnahkan dunia sendiri.

ADAKAH AKAN ADA FILEM KETIGA

Berdasarkan ending filem ini, kita tahu bahawa Precursors masih berada di dalam otak Newt dan masih belum dipulihkan. Malah, watak Jack memberi hint menyatakan bahawa jaeger akan dibawa ke dunia Precursors untuk membanteras terus kaum tersebut yang sentiasa cuba untuk memusnahkan bumi.

Adakah akan ada filem ketiga? Jawapannya semuanya akan bergantung kepada kejayaan Pacific Rim: Uprising. Buat masa ini, filem kedua Pacific Rim ini mendapat review yang pelbagai dan kebanyakannya menyatakan bahawa filem ini gagal untuk menyaingi kehebatan yang pertama. Namun, adakah ini tanda ini bakal menyebabkan filem ketiga Pacific Rim terkubur?

Semuanya bergantung kepada Universal Studios dan Legendary Studios. Pacific Rim pertama arahan Guilermo del Toro pun sebenarnya tidak berjaya di Amerika Syarikat. Filem itu hanya mendapat perhatian negara Asia terutamanya Jepun, China, Malaysia dan lain-lain. Kejayaan filem ini di luar Amerika Syarikat meyakinkan bahawa filem ini boleh bawa untung jika sekuel diwujudkan.


Namun, apabila pengarah asal mengundurkan diri dan pengarah baru mengambil tempat, Pacific Rim: Uprising kelihatan agak gagal mengembalikan aura filem pertama. Dan sejauh mana filem ketiga akan ada akan bergantung kepada permintaan peminat dan hanya masa sahaja memisahkannya.

KESIMPULAN

Pacific Rim: Uprising sememangnya sebuah filem yang sedikit gagal namun dalam paparan kemanusiaan, ianya sebenarnya mahu mengajak kita bersatu dalam apa cara sekalipun jika musuh melanda. Ending filem ini cuba untuk bangkit dan mengharap penonton percaya bahawa ada sesuatu yang lebih baik di masa harapan. Namun, buat masa ini, ianya masih hanya satu penantian yang tidak pasti kunjung tiba untuk filem ketiga. Filem ini sedang ditayangkan di pawagam. 

Post a Comment

0 Comments