Di Sebalik 'Padman', Filem Tentang Lelaki Yang Cipta Tuala Wanita Murah



Akshay Kumar kembali dengan filem terbaru. Filem adaptasi kisah benar kali ini bergenre komedi dan akan menampilkan pelakon Amitabh Bachchan dalam kemunculan khas. Padman diadaptasi dari buku tulisan pelakon Twinkle Khanna bertajuk The Legend of Lakshmi Prasad. Buku tersebut berkaitan seorang insan bernama Arunachalam Muruganatham.


DI SEBALIK PADMAN

Arunachalam Muruganatham ialah seorang lelaki genius daripada Coimbatore, Tamil Nadu, India yang telah mencipta tuala wanita yang murah untuk keperluan harian masyarakat di sana. Idea mencipta tuala wanita ini menyebabkan isterinya meminta cerai dengannya dan menyebabkan konflik keluarga walaupun niatnya ialah untuk membantu isterinya sendiri.

Kisahnya bermula pada tahun 1998 apabila dia berkahwin dengan cinta hatinya, Shanti. Selepas itulah, Muruganathan mendapati isterinya kerapkali mengumpulkan surat khabar lama dan juga kain carik untuk mengelap darah haidnya kerana tidak mampu membeli tuala wanita. Disebabkan ingin membantu, dia cuba bereksperimen dengan mencipta tuala wanita versinya sendiri. 

Pada awalnya, tuala wanitanya hanyalah menggunakan kapas yang dijahit di dalam kain. Idea ini ditolak bulat-bulat oleh isterinya dan kakak-kakanya. Malah, isterinya dan juga saudara perempuannya tidak mahu terlibat dengan eksperimen ini. Muruganathan cuba untuk mencari pelbagai cara untuk mencuba keberkesanan tuala wanitanya termasuklah memberikannya secara percuma kepada pelajar di kolej berdekatan dengan percuma tetapi dengan syarat tuala wanita itu perlu dikembalikan kepadanya selepas dipakai.


Kini, tuala wanita ciptaannya yang mana dicipta dengan kos tiga kali lebih rendah dari tuala wanita biasa sudah dijual di 23 negeri di India. Dengan kilang dan mesinnya sendiri, tidak mustahillah apabila dia mendapat tempat dalam 100 Orang Paling Berpengaruh di Dunia yang diiktiraf oleh TIME pada tahun 2014. Pada tahun 2016, dia juga telah dikurniakan pingat padma Shri oleh kerajaan India.


Filem Padman diarahkan oleh R. Balki, dan menyaksikan gandingan Sonam Kapoor dan Akshay Kumar. Muzik filem ini digubah oleh Amit Trivedi manakala liriknya ditulis oleh Kausar Munir. Nantikan Padman di pawagam 26 Januari 2018.

Catat Ulasan

0 Ulasan