Ulasan Filem: Thor Ragnarok (2017)



Tahun Terbit | 2017
Pengarah | Taika Waititi
Pelakon | Chris Hemsworth, Kate Blancett, Tom Hiddleston, Mark Ruffalo

Sebelum aku menonton Thor: Ragnarok, aku sebenarnya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Aku pembenci filem Thor. Ya, benar. Sila jangan kecam. Semenjak filem pertama Thor, aku merasakan bahawa watak Thor ialah antara watak superhero yang mempunyai cerita paling lemah dalam dunia MCU. Malah, filem pertamanya sangat-sangat tipikal dan tidak memuaskan langsung. 

Kekurangan dan kelemahan Thor (2011) diperbaiki dalam Thor: The Dark World (2013). Kali ini, memang filem Thor nampak lebih baik. Namun, pada aku, ianya masih gagal untuk mencuri hati aku untuk menggemari anak si Odin ni. 

Filem ketiga Thor kali ini lebih unik. Ya, walaupun aku tidaklah menanam banyak sangat harapan dalam filem ini, semenjak menonton trailer, aku dapat rasakan bahawa filem ini ialah formula baru yang dibawa untuk menjadikan watak Thor lebih gagah daripada filem sebelumnya. Taika Waititi nampaknya cuba untuk menjauhkan elemen dua filem Thor sebelumnya untuk filem Ragnarok ini. 

Apa yang aku lihat dalam Thor: Ragnarok ialah beberapa perkara. Pertama, filem ini bukanlah filem milik Thor. Ianya ibarat sebuah pohon yang ditumpangi Hulk sebagai pohon tumpang yang membantu membawa cerita dalam filem ini. Kedua, filem ini ialah sebuah filem yang cuba untuk bermain dengan masalah hakcipta watak Hulk yang masih belum dapat dimiliki sepenuhnya oleh Marvel. 

Sepertimana yang korang tahu, Hulk tidak boleh berada dalam filem solo kerana masalah hakcipta. Maka, dengan menggunakan label Thor, Marvel dengan bijaknya mencipta kisah The Hulk dalam filem ini sama berat dengan perjalanan kisah Thor sendiri. Maka, konklusinya, kau sebenarnya seperti menonton dua filem dalam satu filem. 

Thor: Ragnarok mengisahkan Hela, dewa kematian yang cuba menghancurkan Asgard. Tapi, sedar atau tidak, Hela bukanlah sebuah watak yang diberi peluang untuk menyerlah dalam file mini. Hela pada aku tidak ubah seperti watak yang dicipta hanya untuk melengkapkan formula jahat versus baik dalam kisah superhero. Apa yang paling penting dalam filem ini ialah Thor dan Hulk! 

Ya, Thor dan Hulk. Itulah kisah paling panjang dalam filem ini. Berapa banyak sangat babak Hela dalam filem ini berbanding watak Hulk dan Thor cuba lepaskan diri dari planet Sakaar? Boleh kira dengan jari. 

Aku akui filem ini mempunyai tona warna dan juga roh yang sangat unik. Ianya seperti menonton filem Tron: Legacy pada muziknya, dan juga Guardians of the Galaxy sikit-sikit pada roh ceritanya. Unsur-unsur warna yang digunakan dalam rekaan set di planet Sakaar nampak sangat menarik dan unik walaupun agak janggal pada mata aku. 

Malah, visual pertarungan di ruang gladiator memang nampak menghiburkan. Thor berlawan dengan Hulk, semestinya ia sesuatu yang dinantikan oleh semua penonton. Pada aku, ianya satu pertarungan yang menggabungkan elemen komedi, dan juga aksi yang sangat tangkas dan berjaya. Terbaik! 

Lakonan Jeff Goldblum juga antara lakonan yang baik. Watak The Grandmaster walaupun pada aku tak adalah penting mana dari Hela, namun dipanjangkan kisahnya berjaya mencuri hati aku. Memang lakonan pelakon senior ini masih ada bisa walaupun hanya sedikit sahaja peranannya. 

Filem ini digarap dengan sehabis ringan yang boleh. Penonton hanya perlu duduk, santai, dan hanya mengikuti kemana Thor mengembara. Tidak ada twist yang panjang dan menekan kepala otak. Taika Waititi terus mengisi mata penonton dengan babak-babak lawak yang kadangkala buat aku rasa ‘too much’, tapi masih oklah. Mungkin secara peribadi, aku agak kurang menggemari terlalu banyak lawak yang ‘try hard’. 

Kesimpulannya, filem ini menyeronokkan, unik, tapi ianya masih gagal untuk membawa Thor ke dalam hati aku. Aku gemarkan filem ni kerana formula khas yang Taika Waititi letakkan dalam filem ini. 

Ragnarok ibarat filem ‘mr bean’ bagi Marvel. Kelucuan disumbat-sumbat sehabis daya untuk mewujudkan sebuah filem superhero yang dipenuhi jenaka. Tapi, pada aku, aku tidak berapa berminat dengan filem sebegini. Justeru, secara peribadi, aku rasakan filem ini memang unik namun bukanlah sebuah filem terbaik MCU. 

Ianya filem yang boleh dilayan sekali. Tidak ada unsur wow yang banyak tetapi ianya masih unik dan mampu untuk membuatkan kaki kepala bergoyang mendengar lagu Led Zeppelin berserta skor muzik yang sangat ohsem. 

Aku cuma berharap bahawa Hela dan Thor dilebihkan daripada Thor dan Hulk. Namun, dengan perancangan Marvel untuk membawa kontinuiti Ragnarok kepada Infinity Wars,maka aku rasakan filem ini sudah cukup baik untuk menjadi jambatan kepada apa yang bakal berlaku dalam Infinity Wars nanti. 

4/5

Catat Ulasan

0 Ulasan