Ulasan Filem: War (2019)


Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Siddarth Anand
Pelakon | Hrithik Roshan, Tiger Shroff

Bagaimana jika dua perlakon dari dua zaman bergabung dalam sebuah filem. Mesti rancak kan? Itulah yang disajikan dalam filem War. Dah nama pun War, maka filem ni pun ibarat perang antara dua generasi antara pelakon Hrithik Roshan dan juga Tiger Shroff. Kedua-dua ini dari berbeza zaman, dan jika digabungkan, memang lain macam!

War sebenarnya bukanlah filem perang pun. Memang aku agak gagal nak hadam kenapa filem ni perlu diberi tajuk War. At least, carilah tajuk yang lebih memaparkan isi filem ni. Entahlah, tak berkenan sikit dengan tajuk tu, tapi takpelah, tajuk hanyalah sekadar pembuka selera. Yang penting, isinya.

Filem ni mengisahkan Kabir, seorang ejen perisikan India yang tiba-tiba diburu kerana tindakannya membunuh beberapa orang penting. Khalid, seorang ejen perisikan yang mana pernah menjadi anak didik Kabir diminta untuk memburu mentornya itu. Itu sahaja premis ringkas filem yang berdurasi lebih 2 jam ini.

War mungkin boleh dipuji dari segi aksi dan visualnya. Namun, penceritaan filem ni boleh dikatakan agak dragging dan memenatkan terutamanya di separuh masa pertama. Perjalan kisah Khalid dan Kabir memang terasa agak panjang di fasa pertama. Namun, di fasa kedua, filem ni mula melajukan pacenya dan punya twist yang menarik.

Boleh dikatakan yang penceritaan filem ni predictable. Tidak ada apa yang menarik dan luar biasa dari segi penceritaan. Tetapi, filem ni tetap mampu dilayan kerana ianya disulam dengan aksi dan juga visual yang cukup terbaik. Oh ya, twist filem ni juga cukup untuk kita melupakan penceritaan yang tak luar biasa mana tu.

Pertamakalinya melihat gandingan Hrithik Roshan dan Tiger Shroff, ianya memang luar biasa. Dua pelakon ini berjaya menjadikan gandingan senior junior ini sesuatu yang outstanding. Memang cukup hebat menyaksikan Hrithik Roshan dengan lakonan yang macho dan stylo bersama Tiger Shroff yang berjaya menampilkan sisi berbeza lakonannya.

Sebelum ni, Tiger Shroff ni aku ibaratkan macam Fattah Amin versi Bollywood. Lakonannya memang kayu habis, tapi aksinya memang tidak dinafikan sangat hebat. Tapi, War berjaya menaikkan lakonan pelakon ini dan menjadikannya lebih baik dari biasa!

Aksi filem ni memang mantap. Walaupun aku tak berapa nak berkenan dengan koreografi aksi Tiger Shroff yang selalu guna kaki dan simple sangat nak matikan musuh, babak one shot pada permulaan filem memang mantap. Selebihnya, aku lebih menggemari aksi yang dilakonkan oleh kedua-dua pelakon terutamanya babak finale!

Filem ni tidaklah padu mana dalam memberikan rasa emosi kepada penonton. Mungkin di akhir filem sahaja ada rasa itu. Tapi, untuk sebuah filem bergenre thriller aksi, War berjaya upgrade beberapa babak yang memang tak pernah direalisasikan dalam filem Bollywood. Babak dalam ni memang fresh!

War mungkin gandingan Tiger Shroff dan Hrithik Roshan yang pertama seumpamanya dan ianya menjadi. Dengan plot yang predictable dan kurang emosi, filem ni masih berbisa dari aspek aksi dan juga visual. Ianya memang sebuah filem Bollywood yang cukup high class dan membuktikan bahawa Bollywood pun hampir standing Hollywood!


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan