Ulasan Filem: Ejen Ali The Movie (2019)


Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Usamah Zaid
Pelakon | Ida Rahayu, Abu Shafian Abdul Hamid, Nabilah Rais

Tahun ni, ada tiga filem animasi keluaran negara Malaysia. Meriah! Cukup-cukup meriah. Masing-masing ada kekuatannya yang tersendiri kerana semuanya berkesinambungan daripada siri animasi yang disiarkan di tv. Dari Upin Ipin, kepada Boboiboy dan kini Ejen Ali, setiap filem menandakan aras baru kepada industry animasi tempatan.

Selepas dua musim, Ejen Ali akhirnya mempunyai filemnya yang tersendiri. Filem yang menyambung penceritaan selepas berakhirnya musim kedua siri Ejen Ali yang disiarkan di tv3 menyaksikan Ali bergelut dengan kemelut kedewasaannya, tentang M.A.T.A yang mula menjauhi dirinya dan juga rindu kepada ibunya yang tiada.

Kalau nak dibandingkan dengan Boboiboy, Ejen Ali ialah penanda aras baru untuk filem animasi tempatan. Maaf cakap, filem Ejen Ali The Movie ialah animasi Malaysia yang paling baik dari segala aspek. Boboiboy The Movie 2 juga aku suka, tetapi setelah Ejen Ali The Movie ditonton, filem ni terus menjadi filem idaman kalbu untuk tahun 2019.

Satu daripada aspek Ejen Ali The Movie yang menjadikan filem ni tidak setanding dengan filem animasi lain ialah penceritaannya. Kita diperlihatkan dengan imaginasi pengarahnya yang cukup memahami bagaimana untuk mencipta sebuah filem animasi untuk semua golongan. Sekaligus, apa yang kita dapat ialah imaginasi tentang dunia Cyberaya yang mudah melekat di hati orang dewasa mahupun kanak-kanak. Animasi ini tidak setanding, malah lebih hebat!

Ejen Ali The Movie bukan sahaja bercerita tentang misi Ali. Ejen Ali juga punya plot tentang politik, yang ditindas dan menindas. Plot ni aku cukup gemari untuk penonton dewasa. Selain itu, filem ini dibungakan lagi dengan subplot siapakah ibu Ali dan bagaimana kisah silam berkait dengan kisah yang bakal diceritakan di dalam filem Ejen Ali.

Paling gempak, filem ni mempunyai koreografi aksi seakan menonton filem aksi luar negara. Walaupun penuh dengan elemen kekeluargaan, filem ni ibarat menonton filem aksi non stop yang sebijik macam filem Hollywood. Ada adegan kejar mengejar yang cukup baik dan cantik animasinya, ada aksi pertarungan senjata yang dikoreograf cantik, dan juga pertarungan yang melucukan.

Aku cukup tak sangka, filem Ejen Ali The Movie ni mampu untuk buatkan penonton dewasa juga mengalirkan air mata. Emosinya cukup baik seakan menonton filem Disney. Ditambah pula dengan lagu latar yang menjentik emosi, memang filem ni berjaya membina ruang untuk orang dewasa memuji dan menyanjung budak bernama Ali ni.

Animasi filem ni memang cukup kemas. Untuk sebuah filem yang berlatarkan dunia Cyberaya, filem ni dibina dengan kemas dan baik. Setiap lokasi dibina dengan detail yang kemas dan setiap pergerakan watak cukup lancar dan smooth. Malah, detail seperti rambut bergerak juga diambil kira dan sekaligus menjadikan filem ini sebagai filem animasi yang cukup terperinci buatannya.

Mungkin korang pandang rendah pada pandangan pertama. Bak kata orang, tak cuba tak tahu. Try dulu kasi rasa satu kali. Dan aku pasti, korang akan terus recap siri Ejen Ali yang sudah dua musim disiarkan di tv.

Korang jangan risau untuk tonton filem ni. Walaupun korang tak tonton siri tv, filem ni boleh berdiri dengan sendiri. Ada beberapa watak dari siri yang buat kemunculan tapi rasanya korang tak perlulah nak gelabah sebab diorang muncul dengan penceritaan baru. Tapi, kalau nak tonton asal-usul beberapa watak yang buat cameo dalam filem ni, layan je siri tv. Tapi, ianya bukan mandatory tau!

Terbaik! Filem ni memang terbaik. Tak tahu nak cakap buruk kat mana lagi tentang filem ni. Ianya memang berjaya buat aku gembira, seronok, sedih dan geram. Semuanya ada dalam sebuah filem yang nampak kecik. Filem yang berjaya buat semua rakyat Malaysia ubah arah dan beri persepsi baru kepada dunia animasi tempatan.

Animasi kita dah maju wei! Ejen Ali The Movie buktinya!


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan