Huraian Babak Kemuncak Filem 'Annihilation' [SPOILER ALERT]


Annihilation ialah sebuah filem terbaru arahan pengarah Ex Machina yang sememangnya unik dan berfalsafah tinggi. Filem yang ditayangkan di Netflix ini dilakonkan Natalie Portman dan mengeksplorasi dunia The Shimmer yang penuh tanda tanya. Ending filem ini sememangnya sedikit sukar untuk dihadam. 


Dan kami akan huraikan! Ya, kami akan huraikan apa yang terjadi kepada penamat filem Annihilation dengan harapan anda lebih memahami filem ini. Ambil maklum bahawa perenggan selepas ini mempunyai MAJOR SPOILER! Jangan baca jika anda masih belum menonton filem ini lagi.

-

-

-

-

-

-

-

-

-

-

HURAIAN PENUH FILEM 'ANNIHILATION'

Annihilation mengisahkan Lena (Natalie Portman) yang mana sedang bersedih tentang suaminya, Kane yang mana meninggalkannya atas satu misi setahun lalu dan tidak pernah kembali lagi. Kane (Oscar Isaac) tiba-tiba muncul di rumahnya pada satu hari dan tidak ingat bagaimana dia boleh kembali. Lena dan Kane dibawa oleh sebuah organisasi dikenali Southern Reach ke sebuah lokasi yang dikenali sebagai Area X.

Di sini, Lena diberitahu tentang The Shimmer, sebuah fenomena tanpa penjelasan munasabah yang berlaku apabila sebuah rumah api dihentam sesuatu daripada angkasa tiga tahun dulu. The Shimmers mengembang dalam radiusnya dan pasukan yang dikerahkan masuk ke dalam The Shimmers untuk menyiasat tidak pernah kembali kecuali seorang, yakni Kane.

Disebabkan Kane yang sakit tenat selepas kembali dari The Shimmers, Lena mahu menyertai satu ekspedisi itu dengan harapan dapat mengetahui sebab Kane terselamat dan mungkin boleh menyelamatkannya. Ekspedisi itu diketuai Dr. Ventress (Jennifer Jason Leigh) dan ahli pasukan lain termasuk Anya Thorensen (Gina Rodriguez), Josie Radek (Tessa Thompson) dan Cass Sheppard (tuva Novotny).


Malangnya, selepas mereka memasuki The Shimmer, mereka hilang ingatan selama beberapa hari mereka memasuki ruang The Shimmers. Mereka juga mula perasan bahawa kesemua hidupan dan tumbuhan dalam ruang The Shimmers berbeza sama sekali. Sebagai seorang ahli biologi, Lena menyatakan bahawa kejadian ini terjadi kerana sel yang berada di dalam The Shimmer sedang bermutasi dalam kadar yang amat pantas. 

Sesetengah mutasi tumbuhan dan haiwan cantik untuk dipandang, namun ada juga yang mengerikan, seperti makhluk yang membunuh Sheppard yang mana mampu menduplikasi teriakan pertolongan Sheppard sebelum mati bagi menarik mangsa barunya, Thorensen.

Kisah filem Annihilation menjadi lebih pelik apabila Lena mencari Ventress di dalam rumah api yang menjadi punca kepada kejadian The Shimmer. Di sanalah, Lena mendapati bahawa Kane, suaminya sebenarnya bukanlah suaminya yang asal. Kane yang sedang berada di tempat rawatan ialah duplikasi Kane asal yang telah membunuh diri. 

Ventress, ketua ekspedisi pula telah dibunuh oleh makhluk yang menguasai The Shimmers dan menukarkan Ventress menjadi molekul kecil yang saling bermutasi. Ketika itu, setitis darah Lena meresap masuk ke dalam molekul Ventress dan akhirnya menukarkannya menjadi satu susuk manusia pelik yang meniru pergerakan Lena.

Lena cuba melarikan diri daripada rumah api itu, namun beberapa kali gagal. Lena akhirnya berjaya memboloskan diri apabila dia menyerahkan sebutir bom kepada susuk manusia yang sudah menjadi klon Lena. Bom meletup lalu memusnahkan rumah api dan mutasi di sekitarnya dan The Shimmers hilang.

Lena kembali ke Area X dimana dia disiasat oleh Lomax (Benedict Wong) di Southern Reach dan selepas itu dipertemukan dengan Kane. Kane bertanya sama ada di hadapannya ialah Lena yang asal atau klon. Mereka berpelukan. Sementara mata Kane klon bercahaya, mata Lena juga bercahaya.

Adakah Lena yang terselamat ialah Lena klon? atau Lena sebenar? Kami akan huraikan. 

APA ITU THE SHIMMER?

Pada permulaan filem Annihilation, kita diperlihatkan sesuatu objek yang menghentam rumah api. Berdasarkan hal ini, kita dapat simpulkan bahawa The Shimmer berkemungkinan ialah sebuah makhluk asing. Tetapi, kita tidak tahu apakah yang membentuk sifat makhluk asing ini. Apabila Lena ditanya sama ada ianya carbon-based/ organik, Lena tiada jawapan untuk itu. 

Walaupun The Shimmer tidak berupa dan berwajah, kita diperlihatkan bahawa ianya hidup dan mempunyai kesedaran yang tersendiri. Selain itu, The Shimmer mengembang dan menakluk kawasan baru dan menukarkan DNA makhluk dalam proses itu. Proses pengembangan ini tidaklah berlaku seperti Shimmers ini berakal (dia memilih mana satu nak ditakluk), tetapi sebaliknya berlaku secara semulajadi (apa ada di hadapannya, dia ambil). 

Antara satu lagi bukti bahawa The Shimmers ini tidak berakal dapat dilihat apabila adanya makhluk yang meniru pergerakan Lena di bahagian akhir filem. Makhluk itu sendiri tidak tahu apa yang dia lakukan dan sekadar meniru sahaja pergerakan Lena. Antara sebab kenapa The Shimmer meniru Lena dapatdijdlaskan oleh watak Josie Radek yang mana mendapati bahawa Shimmer ini ialah sebuah prisma. 


Prisma biasa hanya memantulkan cahaya, tetapi, prisma The Shimmer bukan sahaja memantulkan cahaya tetapi DNAnya sekali. Ini bermakna, apabila sesuatu DNA memasuki The Shimmer, ianya berubah, sekaligus menjelaskan kenapa darah Lena dan organ dalaman lelaki dalam pasukan Kane berevolusi. 

Di dalam filem ini, kita dapati bahawa mutasi dan perubahan persekitaran dan haiwan menjadi lebih luar biasa apabila semakin mendekati rumah api. Aligator yang menyerang pada awal filem hanyalah bermutasi pada gigi-giginya, manakala beruang mengerikan yang membunuh Sheppard dan Thorensen bemutasi dengan lebih ekstrem. Semakin menghampiri rumah api, kita diperlihatkan dengan tumbuhan yang menyerupai manusia dan juga pokok kristal yang lebih gila mutasinya.

Tetapi, apabila Lena, dan kita diperlihatkan dengan sumber asal The Shimmer yang berada di dalam rumah api, filem ini menghuraikan sesuatu yang lebih dari sekadar penjelasan saintifik. Jadi, apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah api tu?

APA YANG BERLAKU DALAM RUMAH API?

Ada tiga bahagian filem ini yang berkait dengan rumah api ini untuk ditonton dan dihuraikan. Pertama, apa yang terjadi kepada Kane di situ, kemudian, apa yang terjadi kepada Ventress dan ramalan tentang sumber Shimmer, dan yang ketiga, pertarungan Lena dengan versi klon dirinya sendiri.


Apa yang terjadi kepada Kane sememangnya mungkin mudah untuk difahami. Kane menjadi gila apabila The Shimmer mengubah sifatnya dan kemudiannya membunuh diri dan meninggalkan versi klonnya untuk melepaskan diri dan pulang kepada Lena. Adalah tidak jelas kenapa Kane tidak membunuh klonnya itu. Adakah Kane gila dan tidak dapat berfikir waras dan tidak dapat berfikir bahawa klon itu ialah dia (Kane suruh klon tu pergi cari Lena)?

Selepas Lena menonton rakaman video kematian Kane, Lena masuk ke dalam rekahan yang berlaku disebabkan hentaman objek yang menyebabkan The Shimmer. Di situ, dia bertemu Ventress yang mana pada awalnya dipaparkan tidak bermata, dan berwajah sekaligus dapat disimpulakan bahawa Ventress tersebut hanyalah versi klon. Ventress menjelaskan bahawa Shimmer tidak mempunyai kesedaran diri tetapi dia mempunyai memori. 

Ventress menjelaskan sebab The Shimmer menghentam bumi ialah kerana mahu memecahkan kesemua objek dan kehidupan yang disentuhnya menjadi bahagian-bahagian kecil dan memusnahkannya sebelum membina semula sebagai mutasi baru. Sepertimana yang Lena jelaskan kepada Lomax selepas pulang dari The Shimmer, sumber asal The Shimmer tidak semestinya memusnahkan sesuatu malah kadangkala mengubahnya sahaja. Secara mudahnya, The Shimmer memusnahkan sesuatu dalam usaha untuk mengubahnya. Jadi, sesuatu objek itu tidak musnah sepenuhnya sebaliknya bertukar menjadi sesuatu yang baru.

Inilah persoalan yang diajukan oleh filem ini, sama ada mengubah sesuatu itu ialah kematian atau kekebalan. Konsep keabadian (immortality) menjadi tema sepanjang filem ini adanya babak Lena memberitahu Kane dalam sebuah flashback yang mana kematian berlaku harus dipersalahkan kepada genetik manusia. Lena juga kelihatan membaca buku The Immortal Life of Henrietta Lacks, sebuah buku tentang Lacks, seorang pesakit kanser yang mana kansernya diambil untuk ujian makmal tanpa kebenarannya selepas dia mati.


Kisah The Immortal Life of Henrietta Lacks ini menggambarkan keabadian sel kanser Lacks yang mana masih hidup di luar jasad Lacks untuk diujikaji walaupun jasadnya sudah mati. Annihilation menjadikan keabadian sel kanser milik Lacks sebagai perlambangan kepada keabadian manusia itu sendiri. 

Berdasarkan apa yang kita pelajari dari Lena, Lena sememangnya berminat dengan konsep keabadianini dan bagaimana dia bercerita tentang suasana The Shimmer yang mengubah dan bukannya memusnahkan. Berkemungkinan bahawa Lena percaya bahawa keabadian manusia boleh dicapai melalui The Shimmer apabila proses kemusnahan DNA berlaku untuk membentuk genetik baru yang mana boleh menyebabkan manusia mati. 

Dalam bahagian terakhir babak rumah api, darah Lena diambil oleh The Shimmer dan membentuk versi klon yang meniru pergerakannya. Apabila Lena cuba untuk melepaskan diri, dia terperangkap di dalam rumah api itu selepas dia pengsan. Nasib baik, Lena berjaya menipu makhluk itu dengan memberikan bom yang ditinggalkan oleh Kane dalam ekspedisi terdahulu.

Makhluk tadi terbakar setelah bom itu meletup. Semasa jasadnya terbakar, makhluk itu menyentuh mayat Kane dan api merebak pantas dan memusnahkan sumber The Shimmer sekaligus menyebabkan dinding The Shimmer hilang. Namun, ketika di Area X, Lena bertemu dengan Kane, dan ketika mereka berpelukan, mata mereka bersinar, menandakan bahawa The Shimmer bukanlah musnah semuanya. Lena dan Kane ialah sisa yang ditinggalkan.

ADAKAH LENA TERSELAMAT, ATAU SUDAH TERKORBAN?

Ini ialah bahagian paling rumit untuk dijelaskan dalam memahami apa yang berlaku di babak akhir filem Annihilation. Setakat ini, kita tahu bahawa kesemua kejadian yang berlaku di dalam The Shimmer diceritakan melalui penceritaan Lena ketika disoal siasat oleh Lomax. Persoalannya di sini, adakah kita boleh percaya Lena?


Interpretasi pertama: Lena sebenar dah mati!

Dalam proses penceritaan, apabila seseorang itu bercerita, integritinya boleh menjadi persoalan. Dalam filem ini, Lena menunjukkan rasa rimas ketika mahu menjawab soalan Lomax. Malah, sebelum itu juga Thorensen juga pernah mengikat Lena di kerusi dan menuduhnya menjadi penipu kerana tidak memberitahu pasukan bahawa Kane ialah suaminya.

Babak tersebut memberikan idea bahawa Lena ialah seorang penipu. Tidak semua percakapannya boleh dipercayai. Malah, hubungan sulit Lena juga menjadi bukti bahawa Lena pandai menyembunyikan sesuatu. Jadi, adakah kita boleh percaya kepada cerita yang Lena kisahkan kepada Lomax? Adakah apa yang berlaku kepada Lena dan pasukannya benar-benar terjadi? Semuanya terserah kepada anda untuk menilai.

Walaupun amat penting untuk mencari jawapan kepada apa yang sebenarnya terjadi dalam The Shimmer, kejujuran Lena sebenarnya menjadi kunci penting untuk menjawab sama ada Lena yang sebenar berjaya melarikan diri ataupun Lena versi klon yang melarikan diri (walaupun kita lihat Lena klon terbakar, itu mungkin Lena sebenar, sebab DNA Lena berubah dan kematiannya tidaklah seperti manusia normal)

Dalam babak berpeluk di akhir filem, kita melihat mata Lena dan Kane bersinar sekaligus menunjukkan mereka mempunyai persamaan. Namun, adakah persamaan ini terjadi disebabkan mereka berdua pernah berada di dalam The Shimmer, atau mereka berdua ialah klon kepada Lena dan Kane yang asal? Jika Lena tidak boleh dipercayai, berkemungkinan bahawa Lena sebenar sudah mati dan Lena versi klon yang terselamat. Dan apa yang diceritakan kepada Lomax hanyalah penipuan untuk menipu.

Ini ialah interpertasi yang boleh dipersoalkan kerana The Shimmer bukan hanya sekadar mampu menyerap DNA, tetapi turut menyerap emosi dan tingkahlaku manusia juga. Seperti yang diteorikan oleh Radek yang menyataka bahawa beruang yang bermutasi itu boleh menyerap kesedaran Sheppard sebelum mati, berkemungkinan The Shimmer juga menyerab kesedaran Kane dari aspek cintanya terhadap Lena lalu menghantar Kane versi klon untuk menggoda Lena sebenar untuk masuk ke dalam The Shimmer. 

Jika itulah yang terjadi, maka The Shimmer mungkin menyerap sifat Lena, termasuklah kebolehannya untuk menipu dan digunakan untuk menipu pihak Authority tentang apa yang sebenarnya yang terjadi di dalam The Shimmer.

Interpretasi kedua: Lena masih hidup dan terkesan dengan The Shimmer!

Satu lagi interpretasi ialah Lena boleh dipercayai. Hal ini boleh dibuktikan apabila Lena kelihatan bersungguh-sungguh bertarung dengan versi klonnya sebelum dia keluar dari The Shimmer. Dan apa yang diceritakan semuanya benar belaka. Jika ini ialah interpretasi kita, maka Kane hanyalah satu-satunya sisa tinggalan The Shimmer yang ada. Mata Lena yang bersinar berkemungkinan hanyalah akibat dari kesan sampingan ketika dia berada di dalam The Shimmer.

Apa sahaja interpretasi anda, The Shimmer masih lagi wujud dalam bentuk Kane dan Lena. Ya, The Shimmer ialah berbentuk manusia dan mungkin bakal melakukan sesuatu yang lebih dahsyat di masa hadapan. Ketika The Shimmer berada di dalam badan manusia, The Shimmer mungkin memperoleh kesedaran. 

Sebelum The Shimmer berada dalam tubuh manusia, The Shimmer merebak dan menukarkan semua objek di hadapannya. Dan kini, The Shimmer mungkin lebih kompleks daripada asal apabila ianya akan merebak dari dalam tubuh manusia. Dan jika Paramount menterjemahkan buku sekuelnya bertajuk Authority, mungkin ini akan menjadi ruang untuk kita mencari jawapan kepada pelbagai persoalan.

Namun, setakat ini, Garland tidak pernah ada perancangan untuk sekuel. Jadi, penamat Annihilation adalah penamat yang ada untuk kita simpulkan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, Annihilation bukan memberikan anda ruang yang mudah untuk menyimpulkan jawapan. Semuanya terserah kepada anda sama ada Lena terselamat atau tidak. Semuanya juga terserah kepada anda untuk percaya atau tidak tentang apa yang berlaku di dalam The Shimmer. Annihilation boleh ditonton di laman Netflix.

Catat Ulasan

0 Ulasan