Analisa Dan Huraian Penuh Filem 'Pulang' [SPOILER ALERT]


Kabir Bhatia hadir lagi dengan sebuah filem tentang cinta. Pengarah ini diakui sememangnya mampu mengemudi filem bertema ini dengan sempurna. Lihat sahaja Nur Kasih suatu ketika dahulu yang menjadi fenomena. Pulang diinspirasikan dari kisah benar. Justeru, naskah Pulang semestinya mempunya gaya persembahan yang berbeza untuk menjadikannya unik.


Artikel ini akan menghuraikan tentang filem ini secara keseluruhannya. Kami akan menghuraikan signifikannya ending filem ini dan kesannya terhadap penonton. Kita juga akan melihat apa yang ingin disampaikan secara tersirat oleh Kabir Bhatia melalui skrip tulisan Mira Mustapha ini. Ambil maklum bahawa perenggan selepas ini mengandungi SPOILER MAJOR!

-

-

-

-

-

-

-

-

-

-

HURAIAN FILEM ‘PULANG’

Kisah Pulang berlatar belakangkan Serkam pada tahun 1939. Di sini, kita diperkenalkan dengan watak Othman yang mana menjadi nelayan dan menjual ikan. Digambarkan Othman sememangnya digemari gadis kampung yang gemar membeli ikan dengannya. Othman jatuh hati kepada seorang gadis bernama Che Tom. Selepas nenek Che Tom meninggal dan tinggallah Che Tom sebatang kara, Othman mengahwini Che Tom.

Bahagia mereka tidak panjang. Pada 1941, Jepun menjajah Malaya. Ketika itu, Che Tom mengandungkan anak pertama mereka. Dan ketika itulah, Othman ditangkap oleh Jepun. Dan itu ialah kali pertama Che Tom berpisah bersama suami tercinta. Othman dan Che Tom berpisah tak lama. Othman berjaya pulang ke pangkuan Che Tom semula melalui pertolongan sahabat Cina, Lum.

Selepas perang dunia kedua tamat dan Jepun menyerah kalah, Othman dan Che Tom kembali bahagia. Othman terus menjadi nelayan seperti biasa. Anak pertama mereka, Omar kini sudah menjadi kanak-kanak yang menceriakan hidup mereka. Satu hari, Othman belayar di dalam ribut hanya untuk menangkap ikan yang banyak.

Malangnya, ribut itu buatkan Othman tak pulang pulang sekaligus merisaukan Che Tom. Che Tom mahu mencari Othman namun dia fobia dengan lautan luas. Namun, takdir tuhan menemukan Othman yang terdampar di sampannya di hujung muara sungai. Dan Othman masih lagi pulang ke pangkuannya walaupun nyawanya hampir melayang.

Disebabkan dua insiden yang hampir meragut lelaki kesayangannya, Che Tom mula berjaga-jaga. Dia tidak mahu Othman pergi jauh lagi. Dia bimbang Othman takkan pulang pulang lagi. Che Tom lalu giat memperbanyakkan hasil jahitan untuk membantu menyara keluarga. Namun, Othman ialah lelaki yang degil dan ego. Othman mahu pastikan keluarga mereka tidak hanya hidup sehelai sepinggang.

“Aku mahu lihat kau berhias, kalau bukan dengan berlian, dengan emas walaupun sekeping”

Ketika itu, dia melihat ramai anak kampungnya pulang dari menjadi kelasi di pelabuhan. Lantas, dia menanam impian untuk turut menjadi kelasi kapal. Othman berjanji kepada Che Tom yang dia aka pulang. Dan dikala Che Tom melepaskan Othman pergi mencari rezeki walaupun berat hati, itulah kali terakhir Che Tom melihat suaminya.

Ketika Othman tidak pulang, Che Tom berharap bahawa Othman akan pulang. Othman pada awalnya kerap mengirim poskad dengan hanya satu ayat. Che Tom mula terasa hati apabila Othman sedikit pun tidak menulis panjang. Tetapi, sayangnya pada Othman masih utuh kerana ada anaknya, Omar yang menjadi tiang hidupnya.


Che Tom pernah menjual sampan milik Othman kerana mahu ke Hong Kong untuk mencari suaminya. Malangnya, Othman gagal ditemui dan Che Tom nyaris menjadi mangsa perdagangan manusia. Nasib baik, ketika itu, dia bertemu dengan Lum yang dibuang daripada kapal dimana dia bekerja dengan Othman.

Che Tom tidak mengetahui bahawa Othman malu untuk pulang berjumpa isterinya. Segala duit yang dia kumpul hilang dan musnah kerana kapalnya karam di lautan. Ketika di Singapura, Othman memilih untuk terjun dari kapalnya dan pulang ke Serkam.

Pada masa yang sama, Che Tom juga diintai oleh seorang guru yang kerap kali menolong anaknya. Che Tom hampir menikahi guru tersebut namun dek kerana sayang, pernikahannya tidak menjadi. Tanpa Che Tom sedar, malam keraian sempena pernikahan kedua Che Tom, Othman sebenarnya pulang.

Othman lalu bawa diri dan tinggal di Liverpool. Masa bergerak pantas, dan Omar meningkat dewasa dan akhirnya belajar di London. Dan tanpa diduga, Omar berjaya menjejaki Othman sejak sekian lama. Omar dan Othman sentiasa berjumpa, namun Omar tidak pernah mengkhabarkan pada Che Tom tentang lokasi ayahnya.

Othman lalu meninggal dunia di Liverpool. Dan ketika kematiannya, Omar ada di sisi. Omar adalah himpunan kisah-kisah Othman yang sebenarnya amat penting buat Che Tom. Namun, Allah mahu menguji Che Tom. Ketika usianya sudah tua, semenjak Omar mengahwini Jaybah dan mempunyai cucu bernama Ahmad, Omar dapat Alziemer.


Ketika Che Tom sakit, Ahmad bertanggungjawab menjaga neneknya. Dan sebelum nafas ditarik Ilahi, Che Tom berhajat untuk mencari di manakah Othman. Tanpa klu dan mengetahui ayahnya mempunyai seluruh kisah tentang Othman, Ahmad terpaksa bermula dari kosong untuk mencari dimanakah datuknya itu.

In the end, Ahmad berjaya menemui kubur Othman. Che Tom yang menyangkakan Othman masih hidup menerima takdir itu apabila Ahmad memberi khabar itu setelah pulang dari Liverpool. Ketika menerima berita ini, Che Tom dimasukkan ke dalam wad.

Namun, Che Tom akhirnya pulang ke rumahnya dan akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir apabila mengetahui bahawa Omar sebenarnya adalah kunci kepada soalannya selama ini. Suatu ketika dahulu, ketika Che Tom berputus asa dengan Othman, dia melarang Omar untuk menyebut nama ayahnya lagi. Dan rupanya, Omar memegang janji ibunya itu sehinggalah dia diserang alziemer.

Filem ini berakhir dengan Che Tom berlari keluar dari rumahnya, dalam khayalan, dan menuju kepada Othman yang berada di atas bangkai kapal yang menjadi tempat cinta mereka.

TENTANG SETIA DAN PENGORBANAN


Kabir Bhatia mahu mengungkap tentang setianya seseorang terhadap seseorang yang lain. Dalam filem ini, Che Tom mewakili seorang isteri yang sedang menanti seorang suami walaupun bertahun lamanya menanti. Sememangnya, penantian yang agung ini sukar untuk dilakukan oleh kesemua orang.

Di situlah, filem ini mengungkap tentang pengorbanan. Che Tom melambangkan pengorbanan seorang isteri yang menunggu suaminya. Kita dipaparkan bagaimana Che Tom tidak pernah sedikit pun terdetik untuk menikahi guru kepada Omar walaupun baiknya hati lelaki itu. Hatinya hanya cinta kepada Othman dan kepada Othmanlah sayangnya ditumpahkan.

Pada masa yang sama, Othman juga melambangkan setianya dia kepada cintanya, janjinya, dan juga agamanya. Othman sentiasa mengingati isterinya dengan menyimpan gambar Che Tom bersamanya. Dengan gambar itu, dia melepas rindu. Apa lagi yang mampu dibuat di zaman tiada sistem hubungan secanggih zaman kini.

Othman juga setia kepada janjinya. Dek kerana kapal yang karam, janjinya musnah. Dia tak mampu berbuat apa kerana janji untuk membahagiakan isterinya dengan emas permata kini sudah punah. Tetapi, lama kelamaan dia sedar, isterinya tidak memandang harta sebaliknya hanyalah hati yang ikhlas.

Selain itu, Omar juga diuji tentang setianya dia dengan agama. Dia bertahan dengan tidak makan makanan di dalam kapal dia bekerja kerana adanya benda haram. Ujian demi ujian tidak sekalipun menyebabkan dia goyah sebaliknya menjadikan dia tabah dan dikagumi semua.

MASA DAN TAKDIR


Pulang sebenarnya ialah cerita tentang masa dan takdir yang agak malang dalam kehidupan. Sudah semestinya dalam kehidupan kita, ada masanya kita akan mengalami takdir dan masa yang tidak menyebelahi kita. Ini ialah punca kenapa Othman dan Che Tom berjauhan agak lama. Kadangkala Allah mahu menguji dengan pelbagai cara.

Di kala malam Che Tom mahu mengahwini guru kepada Omar, Othman sudah berada di jalan yang betul. Dia sudah mahu pulang, dan melupakan niatnya untuk menjadi kelasi kapal. Namun, ketika dia tiba di kampung, dia melihat wajah Che Tom yang bahagia bersama bakal suami baru. Malangnya, Othman silap. Dia hanya menunggu sebentar sahaja dan kemudian pergi dari situ.

Dia tidak melihat bahawa ada lagi kasih sayang terhadap Othman dalam jiwa Che Tom. Jika Othman tidak lari dari situ, mungkin dia dapat bertemu Omar dan semuanya akan terungkai. Orang kampung dan rakan Othman hanya risaukan Che Tom, dan bukannya mahu nikahkan Che Tom dengan orang lain sebab khianat.

Takdir juga seperti tidak menyebelahi Che Tom apabila anaknya, Omar, diserang alziemer. Seolah-olah, tuhan mahu membiarkan Che Tom jauh daripada Othman sedangkan jawapan kepada dimana suaminya sebenarnya berada betul-betul di depan mata. Ianya sesuatu yang agak tragik dan membuatkan kita berfikir, adakah takdir sentiasa menyebelahi kita atau kita yang sepatutnya redha dengan takdir.

KESIMPULAN

Sebuah cinta yang diuji bukanlah menjauhkan. Kadangkala, cinta yang diuji dengan jauhnya seseorang mampu mendekatkan. Cuma ianya bergantung kepada sejauh mana kita bertahan dengan apa yang diberi Tuhan. Che Tom ialah manusia yang tabah dan sentiasa berharap bahawa satu hari nanti Othman akan kembali kepadanya.


Pulang ialah sebuah kisah cinta epik yang merentas zaman. Menikmati filem ini sememangnya lazat dan membuatkan kita berfikir bahawa adanya manusia yang mempunyai takdir yang agak menguji seperti ini. Jika anda ialah Che Tom, adakah anda akan jadi sesetia dia? Pulang kini ditayangkan di pawagam.

Catat Ulasan

0 Ulasan