Ulasan Filem: Rampage (2018)

Tahun Terbit | 2018

Pengarah | Bred Peyton
Pelakon | Dwayne Johnson, Naomie Harris, Jeffrey Dean Morgan

Dwayne Johnson boleh dikira sebagai antara aktor yang agak aktif dengan filem terbaru semenjak beberapa tahun ini. Semenjak berlakon dalam Scorpion King pada tahun 2002, rezeki pelakon yang berasal daripada penggusti di arena WWE ini kelihatan mencurah-curah. Malah, lakonannya yang amat menarik ditambah dengan aksi padat menjadikan para peminat makin menggemari filem lakonannya. 

Tahun ini, Dwayne Johnson memulakan filem lakonannya dengan Rampage. Rampage ialah sebuah filem arahan Bred Peyton yang sebelum ini pernah mengarahkan San Andreas dan juga Journey to the Mysterious Island. Untuk info, kedua filem arahan Bred Peyton ini juga dilakonkan oleh Dwayne Johnson. 

Rampage ialah adaptasi permainan popular pada zaman 80an. Ianya berkisar tentang tiga ekor haiwan yang bermutasi dan mula memporak porandakan Chicago! Namun, disebabkan plot dari permainan asal agak kurang dan sukar diadaptasi, Rampage dibina dengan plot yang baru. Beberapa elemen permainan dikekalkan dan penonton masih dapat mengaitkan filem ni dengan permainan asal. 

Disebabkan filem ini memerlukan plot baru untuk mengadaptasi permainan video, maka pembinaan plot di dalam filem ini kadangkala agak tergesa-gesa dan juga tidak masuk akal. Babak pembukaan yang establish bagaimana tumbesaran haiwan dibina agak kemas, namun beberapa kontinuiti dari adegan ke adegan kelihatan agak lemah. 

Namun, Rampage boleh dikira sebagai sebuah filem popcorn yang amat hebat. Jika kau layan kehebatan San Andreas, maka apa yang Bred Peyton sajikan dalam filem ini hampir sama sahaja dengan filem tersebut. Cuma kali ini, Bred Peyton memilih untuk memusnahkan Chicago dengan pertarungan raksasa dan bukannya bencana alam. 

Dwayne Johnson berjaya memberikan hubungan dirinya dengan George dengan baik. Penonton dapat merasai betapa akrabnya George dan Davis dan sekaligus membawa sekali perasaan hubungan itu sehingga ke penghujung filem. Dan ianya berjaya membuatkan penonton ‘terlelap’ dengan beberapa plothole yang terjadi dan terus terhibur. 

Adegan pertarungan raksasa dalam filem Rampage mirip pertarungan dalam filem Kong: Skull Island. Malah, jika kau menonton Pacific Rim, maka kau juga akan dapat rasai kehebatan pertarungan kaiju dalam filem ini. Bred Peyton berjaya memberikan satu pertarungan besar antara kaiju di tengah Chicago yang agak mendebarkan dan mengkhayalkan! 

Filem ini bergerak pantas dan tidak pernah memberi peluang untuk penonton terleka. Setiap babak disajikan dengan paparan yang menarik dan aksi yang mengujakan. Sememangnya, Rampage sememangnya sebuah action yang memang padat dengan aksi dan memberikan satu lagi level filem pertarungan Kaiju dalam filem! 

Rampage ialah sebuah filem yang sebenarnya boleh dikira cliché jika korang kenal Dwayne Johnson. Bagi peminat fanatik pelakon itu, Rampage ialah filem aksi yang terbaik. Bagi peminat filem yang dah lali dengan lakonan Dwayne Johnson, Rampage mungkin ialah filem yang biasa-biasa. Terpulang kepada korang untuk menilai. 

Namun, bagi aku, Rampage ialah sebuah filem aksi yang entertaining, ringan dan menyeronokkan. Walaupun plot filem ni kelihatan agak ‘bodoh’ dan dipenuhi pelbagai plothole, filem ini masih boleh dilayan dan korang akan berpuas hati. Masuk panggung, pejam mata pada logika plotnya, enjoy semua aksi pertarungan kaiju, dan Rampage akan buatkan kau teruja! 

4/5

Catat Ulasan

0 Ulasan