Ulasan Filem: Avengers Infinity War (2018)



Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Russo Brothers
Pelakon | Robert Downey Jr, Josh Brolin, Scarlett Johanson, Chris Pratt

Akhirnya, Thanos bangun daripada takhtanya, meluru ke seluruh penjuru dunia untuk mendapatkan Infinity Stones. Filem ke sembilan belas dalam dunia filem Marvel Cinematic Universe ini sememangnya antara filem yang dinantikan semenjak sekian lama. Apa yang para penggemar filem superhero tunggu ialah apa akan Thanos buat apabila dia kini menjadi antagonis yang utama dan menjadi ancaman besar. 

Infinity War ialah sebuah pesta sajian meraikan keseluruhan watak dunia MCU yang dibangunkan semenjak tahun 2008. Ianya sebuah filem yang hebat apabila dua orang pengarah diberi tanggungjawab untuk mencantumkan beberapa kisah yang bermula daripada filem-filem lain yang diarah oleh pengarah berbeza ke dalam satu filem tanpa membuang keunikan yang diberi oleh pengarah asal. 

Russo Brothers nampaknya berjaya membawakan kesemua watak daripada pelbagai filem MCU dalam filem ini dengan sempurna. Elemen yang menggambarkan setiap watak dari filem asal dikekalkan supaya para penonton dapat menikmati filem Infinity War seperti sebuah filem yang terdiri daripada pelbagai filem-filem lain, namun masih bersatu dalam plotnya. 

Seperti contohnya Guardians of the Galaxy, Russo Brothers menggunakan elemen lagu retro sebagai pengenalan watak mereka, Black Panther pula dikekalkan dengan suasana medan perang yang masih sama dengan filem Black Panther asal, dan juga unsur kelakar Thor dari filem Thor: Ragnarok juga dibawa kembali! 



Filem ini bergerak dengan gaya yang agak berbeza. Inilah yang menjadikan filem Infinity War sebuah filem yang rasanya tidak pernah ada dalam mana-mana persembahan filem Hollywood sebelum ini. Filem ini tidak bermula dengan pengenalan Infinity Stones. Malah, watak-wataknya juga tidak diberi pengenalan apa-apa sebalik cerita bermula. 

Kalau siapa-siapa tonton Infinity War dan tidak sedar tentang Thor: Ragnarok, maka pastinya babak awal filem ini akan buat diorang terpinga-pinga. Masalah antara Captain America dan Iron Man pula merujuk kepada isu dalam Civil War, dan pelbagai rujukan kepada filem-filem lepas yang lain. Jika korang tonton Infinity War tanpa memahami dulu masalah yang dibina dalam filem-filem MCU yang lepas, penontonan korang akan jadi sikit kacau bilau. 

Filem ini bergerak dalam beberapa suplot kecil. Iron Man dan beberapa orang superhero kita ada misi lain, Captain America dan pasukannya ada misi lain, dan Gamora dan Nebula pula ada isu lain. Masing-masing tidak sempat bertemu tetapi matlamat mereka satu, menghentikan misi Thanos. Memang itu sahaja cara yang bagus untuk menghimpunkan puluhan superhero dalam satu filem. 

Aksi filem ni memang tak dapat disangkal. Kehebatan Russo Brothers dalam filem Captain America sebelum ini diberikan lagi sekali dalam filem ini. Aksi lasak pertarungan dipaparkan dengan baik. Hand to hand combat dijayakan dengan sangat hebat sehingga kita boleh rasakan adrenalin pertarungan yang berlaku. Babak perang dijayakan dengan suasana yang nampak gah dan hebat! 

CGI filem ni sebenarnya biasa. Tiada apa yang lain melainkan seperti filem-filem MCU yang kita pernah tonton. Kualitinya bagus. Cuma tiada penambahbaikan ataupun sesuatu yang baru untuk menjadikannya lebih memukau. Mungkin Infinity War ialah filem Russo Brothers yang paling banyak penggunaan CGInya setakat ini. 

Antara kelemahan ketara yang ada dalam filem ini mungkin pada sesetengah babak yang mana terlalu singkat untuk memaparkan emosi watak. Kematian beberapa watak sememangnya dijayakan dengan baik dan sempurna, namun kesan kematian itu kepada watak lain seperti tidak dipaparkan dengan jelas apabila filem ini bergerak dengan mementingkan misi Thanos daripada kehilangan adiwira kita. Namun, sememangnya sukar untuk memberi ruang untuk perasaan jika terlalu banyak watak dalam satu filem.

Malah, perkembangan watak yang tidak dimuatkan dalam filem ini mungkin akan membosankan sesetengah penonton. Hal ini kerana Russo Brothers memilih untuk memenuhkan filem ini dengan pengembaraan dengan harapan para penonton sudah mengenali watak-watak dan jiwa mereka daripada filem-filem mereka sebelum ini.

Filem ni sebenarnya filem meraikan peminat MCU yang menyokong mereka selama 10 tahun. Hanya peminat MCU tegar akan dapat catch up 100% kesemua plot dan reference dari filem lepas yang menjadikan filem ni superhebat untuk peminat. Bagi penonton biasa, mungkin perasaannya lain. Kadang-kadang kau akan terkebil sebab tak faham, tapi ianya masih boleh dinikmati. 

Adakah filem ni boleh dikatakan sebagai sebuah filem terhebat MCU? Pada admin, Infinity War tidak hebat pada penceritaannya. Ianya sebuah filem superhero. So, alkisahnya memang mencemaskan dan mendebarkan seperti sebuah filem superhero. Apa yang hebat dan unik ialah bagaimana melihat sebuah penerbitan filem yang mencantumkan 18 filem dalam sebuah filem. Itu hebat! Avengers: Infinity War kini di pawagam!

Catat Ulasan

0 Ulasan