Ulasan Filem: Pacific Rim Uprising (2018)


Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Steven S. DeKnight
Pelakon | John Boyega, Scott Eastwood, Cailee Spaeny, Jing Tian, Adria Arjona

Filem kedua Pacific Rim ini semestinya sesuatu yang ditunggu oleh pelbagai peminat yang sudah menunggu selama 5 tahun. Walaupun crossover antara Godzilla kelihatan sesuatu yang mustahil setakat ini, Pacific Rim: Uprising akhirnya cuba untuk menyajikan hidangan kaiju melawan jaeger yang lebih epik. Namun, adakah filem ini benar-benar memuaskan hati penggemar filem yang pertama?

Jawapannya, tidak. Pacific Rim: Uprising mengubah hala tuju filem asal menjadi filem yang lebih upgraded. Tetapi, pada masa yang sama, beberapa elemen penting yang memberi keterujaan untuk penonton hilang dan tidak berjaya diberikan dengan sempurna. Pacific Rim: Uprising kelihatan seperti filem biasa yang kurang perisa.

Antara perkara yang digubah sekaligus meranapkan filem ini ialah melebihkan elemen manusia di dalam filem yang berfokus kepada robot. DeKnight mungkin menginspirasikan ini daripada lakaran filem Transformers yang diukir Michael Bay. Penciptaan Michael Bay dengan melebihkan kisah kemanusiaan dalam Transformers meranapkan filem itu, dan DeKnight menjahanamkan Pacific Rim 2 dengan elemen ini.

Selain itu, idea untuk menjarakkan 10 tahun selepas tragedi semestinya memerlukan setup untuk kisah baru. Namun, watak John Boyega yang gagal untuk menyerlah tidak dibina dengan penceritaan yang baik. Background wataknya memang bagus kerana ianya mengaitkan dengan filem pertama, tapi bagaimana Jack Pentecost dibina dalam filem ini amat mengecewakan.

Gagal untuk membina hubungan yang baik antara Jack dan Miko, keputusan untuk menamatkan Miko sekaligus menghilangkan jiwa filem asal yang mana ada di dalam watak Miko yang pernah muncul dalam filem pertama. Malah, bagaimana dua watak komedi seperti Newt dan Hermann dijadikan twist tak terjangka kelihatan mengecewakan.

Newt sebenarnya bukan watak yang seharusnya diperlakukan sebegitu rupa. Namun, pemilihan DeKnight untuk memesongkan keserasian Newt dan Hermann nampaknya merosakkan elemen nostalgik dari filem pertama. Tetapi, nampaknya DeKnight sendiri kelihatan terperangkap untuk membina sebuah kisah sekuel yang sebenarnya sukar untuk dicipta.

Namun, dari beberapa aspek lain, DeKnight menyajikan elemen pertarungan kaiju dan jaeger yang mana memberi tribute kepada negara yang memulakan idea ini yakni Jepun. Pengakiran kisah ini yang berlaku di Jepun kelihatan agak baik keputusannya sebab di situlah kisah kaiju harus kembali dan ditamatkan.

Selain itu, pertarungan akhir yang mana satu-satunya pertarungan epik dalam filem ini memuaskan. Walaupun pertarungan jaeger di tempat salji dan Sidney kelihatan amat mengecewakan kerana durasi pertarungannya agak singkat dan tidak ada elemen baru, pertarungan akhir tiga kaiju melawan empat jaeger boleh dikatakan menjadi dan menarik untuk disaksikan even pengakhirannya entah pape!

Pacific Rim: Uprising tidaklah gagal mana. Ianya boleh ditonton tetapi untuk meletakkannya sebaris dengan filem pertama, ianya jauh panggang dari api. DeKnight sebagai pengarah baru mungkin hanya mampu untuk memberikan pengalaman pertamanya untuk mengarahkan filem ini melalui inspirasi dari filem lain, namun jiwa Pacific Rim masih belum dapat dikuasai sepenuhnya.

Ianya sebuah filem yang sederhana dan lemah dalam penceritaannya. Dipenuhi plothole dan juga kekurangan babak aksi yang gempak mungkin membuatkan korang rasa ianya tiada jiwa yang besar seperti filem pertama. Namun, Pacific Rim: Uprising masih menghiburkan pada sesetengah bahagian dan boleh dinikmati jika korang bukanlah peminat tegar yang tahu betapa hebatnya filem pertama.

3/5

Catat Ulasan

0 Ulasan