Ulasan Filem: Extraction (2020)

Tahun Terbit | 2020
Pengarah | Sam Hargrave
Pelakon | Chris Hemsworth, Randeep Hoda, David Harbour

Nampaknya, Netflix akhirnya berjaya melaburkan duit pelanggan laman penstrimannya ke sebuah filem yang menarik untuk ditonton. Ianya memang nampak berbaloi untuk ditonton apatah lagi filem ini merupakan buah tangan pengarah baru yang memang tahu bagaimana nak bikin filem aksi. Extraction tidak dinafikan antara filem hebat dalam katalog Netflix.

Ramai orang bercakap-cakap pasal filem ni. Mungkin ianya atas faktor kuarantin wajib yang menyebabkan orang tak pergi wayang dan duduk rumah layan Netflix. Mungkin juga sebab filem ni memang betul-betul jadi bahan cakap-cakap yang layak. Bukan sekadar sembang kosong.

Filem arahan Sam Hargrave ini menampilkan pelakon Chris Hemsworth yang sebelum ini dikenali sebagai Thor dalam dunia filem MCU. Penerbitnya bukan calang-calang. Russo Brothers kot! Dan gabungan ini sudah satu perkara hebat yang menyebabkan filem ni ditunggu-tunggu. Dan penantian para penonton berbaloi!

Extraction punya plot yang ringkas. Aksinya pula mantap walaupun di tengah-tengah filem ni nampak biasa-biasa. File mini bercerita tentang Tyler Rake yang ditugaskan menyelamatkan seorang anak ketua kartel dadah, Ovi yang diculik. Sepanjang filem ni, ianya hanyalah tentang menyelamatkan Ovi dengan pelbagai cabaran apabila kerajaan Bangladesh menjadi pak turut kartel dadah terbesar negara itu.

Beberapa minit sahaja selepas pembukaan filem, penonton disajikan dengan babak yang dikenali sebagai The Oner. Babak yang berdurasi 12 minit ini menyaksikan satu aksi padat dari bergasak, kejar mengejar dan juga tembak menembak tanpa suntingan seolah-olah diambil oleh satu kamera. Ini ialah antara scene yang paling gempak sekaligus menjadikan Extraction unik.

Selepas The Oner, filem ni diselitkan dengan aksi-aksi yang kecil. Kemudiannya, di pertengahan filem seolah-olah bahagian rehat filem ni yang menyaksikan drama dilebihkan. Para penonton mungkin dapat rasakan yang bahagian pertengahan filem ni macam mendatar dan kurang bisa. Tapi, babak aksi 12 minit di awal filem sudah cukup untuk membuatkan penonton tak sabar menunggu bahagian aksi seterusnya.

Lakonan Chris Hemsworth tidak dinafikan terbaik. Tambah pula dengan lakonan pelakon Bollywood, Randeep Hoda yang menjadi hero kedua filem ni. Ianya memang gabungan yang cukup menjadi. Bila dua wira bergabung hanya untuk menyelamatkan seorang budak. Penuh debaran dan tiada rasa bosan langsung!

Extraction mungkin lebih berbisa jika filem ni mempunyai bajet lebih besar untuk menambah aksi padat filem ni. Tapi, untuk sebuah filem Netflix yang selalu dapat ulasan negatif, filem ni dah buktikan yang pelaburan Netflix untuk filem aksi berjaya. Mungkin ada ketidaksempurnaan dalam penulisan lakonlayar, tapi boleh saja abaikan.

Kalau nak dibandingkan dengan filem aksi skala besar Netflix sebelum ni, 6 Underground, filem ni memang setaraf. Cuma mungkin kali ini, babak aksinya lebih kemas dan unik berbanding gaya Bay. Tapi, dengan babak tembak menembak yang rancak, aksi yang cukup padu, filem ni berjaya menambat hati penggemar aksi!


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan