Ulasan Filem: Zero (2018)

Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Aanand L Rai
Pelakon | Shah Rukh Khan, Anushka Sharma, Katrina Kaif

Zero merupakan satu lagi percubaan daripada syarikat VFX milik Shah Rukh Khan untuk cuba memberikan Shah Rukh Khan satu sisi lakonan yang menarik. Ketika pelakon lain mencuba untuk menjadi pelbagai karakter dengan pelbagai perubahan fizikal, Shah Rukh Khan nampaknya menarik cara mudah apabila berubah menjadi pendek dengan kerja buat kesan khas.

Beberapa tahun dulu, Shah Rukh Khan dimudakan dan diciptakan kembarnya dalam filem Fan. Kini, Shah Rukh Khan menjadi pendek dan gila-gila dalam filem ini. Ya, jangan tak tahu, Zero ialah kehebatan kesan khas apabila Shah Rukh Khan dipendekkan sehinggakan kita rasa bahawa pelakon ni malas betul nak train badan macam Aamir Khan mahupun Salman Khan.

Dari satu sisi, mungkin kerja kesan khas filem ni adalah sesuatu yang menakjubkan. Filem ni memang ada aura itu walaupun ada beberapa bahagian kesan khas kelihatan tidak kemas. Namun, untuk keseluruhan, memang Shah Rukh Khan Berjaya dikecilkan walaupun lakonannya masih tidak berubah dari masa ke masa.

Zero sebenarnya agak mengecewakan. Yup, agak kesal sedikit apabila filem ni tidak memberikan penceritaan yang lebih hebat dari biasa. Kita disajikan dengan dua lakonan mantap dari Katrina Kaif dan Anushka Sharma, namun filem ni gagal untuk menyerlahkan gandingan gandingan hebat ini ke tahap tinggi.

Apa tidaknya, Zero hanyalah sebuah filem cinta tiga segi biasa, cuma kali ini kisahnya pasal si pendek. Di fasa pertama, filem ni masih boleh hadam. Walaupun kisahnya macam cliché, tapi sebagai penggemar Bollywood, separuh masa pertama masih boleh dihadam. Ianya mempunyai motif dan boleh bergerak dengan baik.

Sayangnya, di fasa kedua filem, filem ni dah tunggang langgang. Masuk pulak dengan elemen nak hantar manusia ke Marikh yang dah macam filem omputeh, dengan pelbagai babak yang entah apa-apa, filem ni dah ke laut. Semacam terpesong dari matlamat asal, dan akhirnya mendarat entah di mana sehinggakan aku terkebil-kebil melihat ending filem ni.

Senang cakap, kalau kau memang peminat tegar Shah Rukh Khan, katalah apa saja, kau akan tetap backup filem ni. Tapi, aku, tidak. Aku rasa, Zero menderita kerana penceritaan filem ni yang agak gagal untuk memberikan kekuatan. Visual efek dah cukup power, tapi sayang ceritanya ke laut. Memang siapa yang tak tahan boleh berhenti separuh jalan woi!

Apapun, visual filem ni memang menakjubkan. Malah, lagu di dalam filem ni pun memang mengasyikkan. Itu sajalah kekuatan yang ada pada filem ni. Selebihnya, percubaan untuk menjadi hebat yang tersasar. Memang entah kenapa Shah Rukh Khan boleh terima untuk filem sebegini. Satu lagi filem flop Shah Rukh Khan.

Kesimpulannya, Zero sememangnya bermula dengan zero dan berakhir dengan zero. Zero pada pembaharuan penceritaan, zero pada kekuatan cerita, dan zero pada penceritaan yang entah apa-apa. Ianya agak mengecewakan apabila mendapati pelakon bertaraf hebat itu kini menghadapi pelbagai filem yang sedang meruntuhkan namanya.

Apapun, nak tonton, tontonlah, tak paksa.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan