Syamsul Yusof Hentikan Penggambaran Filem Epik 'Mat Kilau'


Pengarah filem Syamsul Yusof dilaporkan menghentikan penggambaran filem epik Mat Kilau berikutan beberapa masalah dalaman yang tidak dapat dielakkan. Mat Kilau ialah sebuah filem terbitan Studio Kembara dengan kerjasama Skop Production yang mengisahkan tentang perjuangan Mat Kilau. Kos pembikinan dianggarkan RM5 juta dan kini sudah 70% siap.


Menurut laman Berita Harian, Syamsul Yusof menafikan alasan untuk memberhentikan penggambaran kerana ingin menumpukan kepada promosi filem ke sepuluhnya, Munafik 2 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Ogos depan.

Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Saya terpaksa membuat keputusan menghentikan penggambaran sehingga masalah dalaman selesai. Tekanannya membabitkan cuaca dan kerenah yang tidak dapat disebutkan. Saya berdepan dengan dugaan berat ketika menghasilkan filem ini.
Syamsul Yusof, pengarah yang pernah menghasilkan KL Gangster ini tidak pernah menyangka cabaran yang bakal dihadapinya agak berat dan mencabar. Punca sebenar kenapa penangguhan ini tidak dapat dikenalpasti dengan jelas.
Saya bekerja dengan pasukan yang profesional, tetapi perjalanannya tetap sukar. Mungkin sebelum ini kita boleh rumuskan pasukan yang menghasilkan filem Mat Kilau kurang berpengalaman, tetapi 'team' saya yang banyak pengalaman juga masih berdepan masalah. Saya hampir putus asa dengan masalah yang timbul. Tetapi apa juga yang berlaku, filem ini tetap akan diteruskan. Mujurlah kami saling memahami dan tidak menyalahkan sesiapa. Selama bekerjasama, mereka memahami apa saja kehendak saya dalam menghasilkan filem ini. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, filem sejarah dan perjuangan pahlawan Melayu ulung itu akan disambung penggambaran pada Oktober, sejurus saya selesai mempromosikan Munafik 2.
Syamsul menitik beratkan semua aspek dalam filem Mat Kilau. Dia tidak mahu membuat sebuah filem yang ambil mudah. Menurut Syamsul, kos penggambaran yang agak besar ialah satu cabaran yang terpaksa dihadapinya.
Saya tidak boleh bersikap 'lebih kurang' dalam pembikinan filem. Pakaian, lokasi dan pelakon tambahan, semuanya harus sempurna. Bagaimanapun, saya faham bukan semua pengarah mampu menghasilkan filem epik, terutama apabila membabitkan kos penggambaran besar. Saya mahu menggunakan khidmat penyedia kostum dan pengarah seni yang bagus, tetapi bayarannya sangat mahal. Saya terpaksa bekerja dengan harga standard, tetapi berkualiti. Faktor itu yang membuatkan saya terpaksa bekerja keras. Penonton tidak mahu tahu kos pembikinan, tetapi mereka inginkan hasil yang memuaskan hati. Ia antara cabaran saya perlu hadapi.
Mat Kilau menampilkan Datuk Adi Putra sebagai Mat Kilau, selain Beto Kusyairy, Johan As'ari, Fattah Amin, A Galak, Wan Hanafi Su, Farid Amirul, Nadiya Nisaa dan pelakon Indonesia, Yayan Ruhiyan.


Catat Ulasan

0 Ulasan