Ulasan Filem: The Maze Runner - The Death Cure (2018)


Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Wes Ball
Pelakon | Dylan O'Brien, Kaya Scodelario, Thomas Brodie-Sangster, Dexter Darden

Sesebuah filem ketiga yang menutup sebuah trilogy seharusnya menjadi filem yang gempak dan meraikan penutupan trilogy yang sempurna. Banyak filem Young Adult gagal untuk melakukan hal ini kerana beberapa perkara. Satunya, sememangnya bahagian ketiga dalam trilogi novel tidak dilakukan sempurna oleh penulis novel asal. Dan satu lagi, penterjemahannya sendiri gagal untuk mengadaptasi naskah sebenar.

The Maze Runner: The Death Cure ialah sekuel ketiga yang mengisahkan bagaimana Thomas berusaha untuk menyelamatkan Minho yang mana menjadi penutup filem The Maze Runner: The Scorch Trial. Filem yang sekali lagi disutradai oleh Wes Ball ini menjadi filem penutup kepada filem The Maze Runner versi filem. Pelakon utama seperti Dylan O’Brien, Kaya Scodelario dan ramai lagi kembali dari filem terdahulu.

Filem kali ini seharusnya menyajikan aksi yang padat dan juga lebih mendebarkan. Semestinya, The Death Cure ialah sebuah filem yang menjadi penutup yang seharusnya meninggalkan kenangan untuk para penonton yang menonton filem ini semenjak daripada awal. Namun, secara peribadi, The Death Cure hanya sebuah penutup sambilewa yang bercerita, dan kemudiannya selesai.

Filem ini kurang daripada sudut originality. Tidak ada perkara yang segar dan baru daripada filem ini. Hanya repetition perkara-perkara dalam filem pertama yang mana kadangkala agak hambar dan membosankan. Malah, aksi-aksi filem ini boleh dikira sebagai aksi yang biasa sahaja kerana sudah biasa disajikan dalam filem-filem terdahulu.

Malah, filem ini tidak menyajikan cabaran yang lebih hebat daripada filem-filem terdahulu. Antara babak ikonik yang tiada dalam filem ni semestinya adegan Thomas cuba mencelah masuk dalam pintu yang sedang tertutup. Adegan tu ada dalam dua filem lepas tapi tiada dalam filem ni.

Aku akui bahawa The Maze Runner pertama adalah sesuatu yang paling segar dalam sejarah filem Maze Runner. Ideanya original dan tidak pernah lagi diutarakan dalam mana-mana filem Young Adult yang lain. Namun, penulis asal memilih untuk mengeluarkan mereka dari ‘maze’ dan mencipta cabaran baru yang tidak menarik selepas itu. Alangkah baiknya kalau ‘The Death Cure’ mengembalikan watak-watak ini ke dalam ‘maze’ semula.

Malah, durasi tayangan yang agak panjang sekitar dua jam 30 minit membuatkan terlalu banyak plot yang kecil dipanjangkan sehingga membosankan beberapa ketika. Adegan menyelamatkan Minho seharusnya bukanlah menjadi sebuah kisah yang panjang kerana apa yang berlaku dalam The Death Cure ialah mencipta kesimpulan daripada dua filem terdahulu.

Momen cemas dan twist juga gagal diciptakan dengan kemas membuatkan beberapa watak yang pergi meninggalkan kita tidak begitu mencipta tangisan sempurna. Adegan aksinya juga berbelah bagi dan tidak sehebat filem terdahulu. Tetapi, diakui bahawa adegan ala-ala Fast & Furious dan Swordfish yang membuka filem ini antara adegan yang terbaik dalam trilogy ini.

Kesimpulannya, The Death Cure ialah sebuah filem yang diciptakan hanya untuk mencipta penutup yang agak gagal menyerlah daripada filem-filem terdahulu. Jika anda tidak pernah menonton filem sebelumnya, naskah kali ini mungkin menarik. Tetapi, bagi yang pernah menonton terdahulu, The Maze Runner: The Death Cure ialah penutup yang hanya menceritakan tetapi gagal untuk memberi penghayatan.

3/5

Catat Ulasan

0 Ulasan