Ulasan Filem: Gulabo Sitabo (2020)



Tahun Terbit | 2020
Pengarah | Shoojit Sircar
Pelakon | Amitabh Bachchan, Ayushmann Khurrana, Nalneesh Neel

Ini mungkin satu-satunya filem lakonan Amitabh Bachchan yang menampilkan watak yang memang di luar kotak. Watak yang cukup fantastik dan rare dalam sejarah lakonan pelakon lejen tersebut. Digandingkan pula dengan pelakon era baru yang hebat seperti Ayushmann Khurrana, filem ni ialah sebuah gabungan baru lama yang cukup cantik. 

Gulabo Sitabo ni ibarat sebuah filem cat and mouse. Di sebalik main kejar-kejar antara watak tuan rumah dan juga penyewa yang memang melucukan, Gulabo Sitabo ialah sebuah filem yang sarat dengan paparan realiti. Kita tidak dipaparkan dengan kehidupan mewah macam dalam filem Bollywood biasa. Itu yang hebat!

Ringkasnya, filem Gulabo Sitabo ni mengisahkan tentang Mirza (Amitabh Bachchan) yang mana merupakan tuan rumah kepada sebuah rumah agam. Rumah agam itu disewa kepada beberapa buah keluarga. Dan masalahnya sekarang ialah, ada yang tak mahu bayar sewa. Rastogi (Ayushmann Khurranna) ialah seorang daripada penyewa yang memang degil nak bayar sewa.

Nak dijadikan cerita, si Rastogi ni cuba seboleh daya supaya tak nak bayar sewa dengan pelbagai cara. Nak tahu selebihnya, kena la tonton. Filem ni memang berdurasi cukup-cukup rasa. Ianya tidaklah panjang kerana filem ni sepenuhnya bergerak sebagai filem. So, kalau korang nak harapkan filem ni penuh rencah hiburan macam filem masala, filem ni bukan untuk korang. Gulabo Sitabo ialah penceritaan era baru yang memang unik dan fresh!

Separuh masa pertama filem agak lambat. Kita diperkenalkan dengan watak yang memang meriah. Namun, plotnya seakan-akan kurang jelas di separuh masa pertama dan ambil masa yang agak lama untuk berkembang dengan baik. Nasib baiklah, di separuh masa pertama, adegan humor banyak menghiasi untuk mengelakkan bosan.

Filem ni menjadi lebih menarik di separuh masa kedua dengan pelbagai isu yang mana melibatkan pewaris rumah Mirza menjadi besar. Kita dapat melihat bagaimana Mirza cuba untuk berhadapan dengan pelbagai prosedur undang-undang yang dia sendiri tak pernah lalui hanya untuk menyelamatkan sebuah rumah lama.

Lakonan Amitabh Bachchan sememangnya tidak dinafikan antara keunikan dalam filem ni. Solekan wajahnya yang mungkin antara yang luar biasa pernah aku tonton memberikan pelakon itu suatu feeling yang agak unik. Namun, sekali sekala, dapat dilihat lakonan Amitabh Bachchan seakan flat demi untuk menjadi lebih tua dari ketuaannya yang tersendiri.

Ayushmann Khurrana pula menampilkan lakonan yang mantap. Tidak dinafikan yang wataknya cukup unik untuk bergasak mulut dengan si tua Mirza. Cuma, untuk keseluruhan filem, Gulabo Sitabo agak gagal dari segi pembinaan plotnya yang lemah. Untuk bergantung sepenuhnya pada lakonan Amitabh Bachchan dan Ayushmann Khurrana untuk menyelamatkan filem ni sememangnya satu perkara yang agak mendukacitakan. 

Namun, mesej Gulabo Sitabo agak jelas. Tentang pentingnya untuk tahu prosedur undang-undang tentang harta dan tanah. Ianya mesej yang diberikan secara jelas dan membuatkan kita sedar yang isu harta tanah ini sememangnya menjadi agak sukar diuruskan jika kita sendiri tidak pernah ambil tahu tentang hal ini sejak dari muda.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan