Ulasan Filem: Love Aaj Kal (2020)

Tahun Terbit | 2020
Pengarah | Imtiaz Ali
Pelakon | Sara Ali Khan, Kartik Aaryan, Arushi Sharma

Macam pernah dengar kan tajuk filem ni? Macam sebuah fiem lakonan Deepika Padukone dan Saif Ali Khan pada tahun 2009. Ya! Memang ya! Filem ni memang tajuk dan konsep sama. Tapi, bukan remake ya. Pelik betul. Pengarah yang sama, aura yang sama, tahun latar berbeza, tapi roh dan konsep sahaja yang sama.

Itulah Love Aaj Kal. Jarak masa 2009 hingga 2020 seakan terasa dekat sangat sehinggakan versi 2009 seakan dirasakan takdelah lama mana terbitnya. Dan melihat versi 2020 ini, memang dapat rasa yang pelakon era baru sudah mula mengambil alih era pelakon yang sebelum ni kita kenali. Kalau dulu, kita menyaksikan Deepika Padukone dan Saif Ali Khan, kali ni kita lihat gandingan Sara Ali Khan dan Kartik Aaryan.

Mungkin Love Aaj Kal ni tak perlu dipandang sebagai sebuah filem remake. Konsep sama, tapi cerita berbeza membolehkan filem ni dilihat sebagai sebuah filem yang berdiri dengan sendiri. Ringkasnya, filem ni berlatarkan dua zaman. Era 90an dan juga 2020, dengan isu cinta yang berbeza pada dua zaman tersebut.

Pada aku, filem versi baru ni seakan gagal untuk bawa aura filem lama. Sebagai seorang yang sudah menonton filem 2009, aku rasa versi baru ni macam tak kena dengan jiwa aku. Separuh masa pertama filem ni terlalu moden untuk aku hadam. Dengan elemen cinta alaf baru yang sangat terbuka, filem ni nampak berani dalam menyampaikan mesejnya.

Sara Ali Khan memang berjaya membawa jiwa muda dalam filem ni. Ditambah pula dengan gandingannya, Karthik Aaryan yang membawa dua watak, jiwa moden memang cukup terasa. Tiada pelakon level superstar di dalam filem ni sekaligus memberi ruang untuk filem ni rasa lebih realistic berbanding filem asal.

Walaupun filem Love Aaj Kal ni meraikan cinta, mesej yang sangat kompleks dengan adunan dua zaman ini seakan gagal untuk sampai dengan sempurna. Ada bahagian filem ni seakan bosan dan juga mendatar. Terlalu bosan sehinggakan 2 jam lebih penceritaan filem ni seakan-akan dirasakan terlalu lama.

Tapi, aku puji bagaimana Imtiaz Ali cuba untuk mengkisahkan sebuah kisah cinta dalam jiwa yang lebih moden. Dengan jeda masa 10 tahun dari filem asal, semestinya definisi cinta itu sendiri sudah mula berevolusi dari tahun ke tahun. Dan Love Aaj Kal menzahirkan itu dan cukup jelas untuk menggambarkan beza cinta di zaman dulu dan zaman sekarang.

Filem ni tiada lagu yang korang boleh nikmati. Ianya hanya ada beberapa lagu yang jadi latar, dan kemudiannya satu lagu yang digubah semula dari lagu filem asal 2009. Mungkin filem sebegini dibuang lagu-lagu supaya elemen drama itu nampak lebih jelas berbanding jiwa filem masala yang menjadi format biasa Bollywood.

Aku rasa filem ni mungkin bukan untuk aku. Aku lebih suka definisi Love Aaj Kal yang 2009. Tapi, mungkin faktor umur dan jiwa menjadi punca aku memilih sedemikian. Tapi, versi 2020 ini mungkin sebuah filem cinta remaja yang mungkin akan kena dengan jiwa muda-mudi sekarang. Memang terasa yang aku ni dah tua untuk filem sebegini.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan