Ulasan Filem: Darbar (2020)

Tahun Terbit | 2020
Pengarah | A.R Murugadoss
Pelakon | Rajinikanth, Nivetha Thomas, Suniel Shetty

Selepas bergandingan dengan Vijay dalam filem Sarkar, pengarah A.R Murugadoss kembali dengan filem terbarunya, Darbar. Kali ini, pelakon lejen yang dikenali sebagai superstar menjadi pilihan. Siapa lagi kalau bukan Rajinikanth. Filem Darbar bakal memperlihatkan aksi terbaru pelakon itu selepas filem 2.0.

Dalam Darbar, Rajinikanth akhirnya menjadi seorang polis. Kalau nak ikutkan, lama dah filem lakonannya tidak memaparkan dirinya sebagai seorang polis. Dan ini sekaligus mungkin menjadi faktor penarik untuk penonton dan peminat Rajinikanth untuk menonton Darbar di pawagam. Tapi, adakah filem ini kuat dan hebat?

Secara peribadi, Darbar tidak ada yang special. Kelibat Rajinikanth yang biasa semestinya akan dapat dinikmati, khususnya penggemar dan peminat setia. Elemen style dan juga dialog yang dibikin sesuai dengan watak dan karakteristik Rajinikanth menjadikan Darbar ialah satu lagi filem beraduan Rajinikanth. Warnanya mungkin berbeza, tapi acuannya sama.

Ringkasnya, Darbar mengisahkan tentang seorang Ketua Polis Mumbai, Aaditya Arunachalam yang mengamuk membunuh kesemua gangster di Mumbai hanya untuk mencari seorang pembunuh anaknya. Pelbagai penceritaan penuh liku dipersembahkan dengan selang seli aksi yang rasanya mantap untuk sebuah filem kepolisan.

Pada aku, Darbar ialah sebuah filem yang sederhana. Bagaimana A.R Murugadoss membentuk Darbar sebagai sebuah filem Rajinikanth kelihatan biasa sahaja. Tidak ada yang menarik dan luar biasa melainkan sebuah filem masala Tamil biasa. Kita dipersembahkan dengan flashback dan kisah drama di separuh masa pertama dan barulah aksi dan kepolisan di masa kedua.

Separuh masa pertama filem memang agak dragging. Dengan elemen cinta yang rasanya membuang masa dan tidak sesuai langsung, ianya kelihatan agak mengecewakan. Ada elemen komedi yang boleh dipuji, tapi separuh masa pertama seakan-akan sebuah kisah pendek yang sengaja dipanjangkan untuk memenuhi permintaan durasi masa.

Separuh masa kedua mungkin berbisa sedikit. Tapi, tidaklah sangat hebat mana. Masuknya Suniel Shetty ke dalam filem menjadikan filem ni lebih berfokus. Itu yang cantik sikit dari separuh masa pertama yang serabut ke sana sini. Suniel Shetty memberikan persembahan yang memuaskan dengan karakter antagonis keduanya selepas Main Hoon Na!

Aku cuma sedikit kurang selesa dengan dubbing watak Suniel Shetty. Apabila filem ini dibikin dalam multilanguage, pemilihan pelakon alih suara cukup penting untuk memberikan emosi. Dalam hal ini, penggunaan alih suara untuk watak Suniel Shetty sangat teruk dan merosakkan mood. Mungkin suara asal Suniel Shetty lebih enak dilayan apabila penonton menonton dalam Bahasa Hindi.

Pada aku, filem ni memang khas untuk penggemar Rajinikanth. Aksi dan juga masala filem ni biasa-biasa. Ianya sebuah filem polis yang tidaklah padu mana, tapi tetap ada mesej yang hendak disampaikan. Darbar mungkin bukan karya terbaik A.R Murugadoss. Tetapi, mungkin filem ni mampu memaparkan sejauh mana gandingan pengarah ini dengan Rajinikah menjadi atau tidak.

Pada aku, A.R Murugadoss patut kekal dengan hero fevretnya, Vijay.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan