Ulasan Filem: American Son (2019)


Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Kenny Leon
Pelakon | Kerry Washington, Steven Pasquale, Jeremy Jordan

Ini ialah sebuah filem yang boleh dikatakan bernafas segar dalam katalog Netflix. Memang ianya cukup mengagumkan untuk menyaksikan bagaimana sebuah filem berlatar sebuah tempat sahaja dibikin dalam durasi masa yang lebih dari satu jam. American Son memang cukup kuat dalam pelbagai aspek.

Filem ini ialah adaptasi daripada persembahan broadway dengan tajuk sama yang ditulis oleh Christopher Demos-Brown. Filem ini turut menampilkan penulis lakon layar yang sama dengan penulis lakon layar persembahan pentas sekaligus menjadikan rasa filem ini seperti menonton persembahan broadway versi filem.

Filem ini menampilkan pelakon yang minimum. Kita diperlihatkan dengan persembahan Kerry Washington yang mana mewakili kaum kulit hitam di dalam filem ini. Ya, filem ini bukan sekadar sebuah filem thriller biasa, tetapi bersuara tentang isu rasis dan juga bagaimana perkauman mempengaruhi sistem di US.

Ini sekaligus menjadikan American Son sebagai sebuah lidah untuk bersuara tentang bagaimanakah menjadi golongan minoriti di US. Lantas, pelbagai isu yang melibatkan layanan orang kulit putih terhadap orang kulit hitam terngiang di kepala. Ianya cukup berat untuk difikirkan walaupun sejarah sudah melupakan isu hamba dan juga rasis yang jelas dan nyata.

Kisah American Son berkisar di sebuah balai polis. Kita diperkenalkan dengan watak wanita kulit hitam yang resah dengan anaknya yang hilang, Kendra Ellis-Connor. Situasi untuk mencari anaknya dilaporkan oleh seorang pegawai polis yang agak rasis, Paul Larkin. Dan kisah ini berkisar di balai itu dengan pelbagai kejutan.

Filem ni memang memerlukan korang untuk mendengar dialog. Jadi, kalau korang bukan jenis yang suka mendengar dan mengharapkan aksi perlakuan, korang akan rasa sedikit lain macamlah. Dialog ialah kekuatan sebenar filem ni kerana ianya adalah suara yang bercerita.

Honestly, American Son memang makanan aku. Ianya seolah-olah melihat sebuah persembahan teater yang dilatari dengan suntingan kamera dan juga visual yang cantik. Agak sukar untuk merasakan sebuah pengalaman sebegini selain daripada filem American Son. Memang sukar untuk percaya sebuah filem yang berlatarkan satu tempat boleh mencipta momentum yang cukup padu.

Lakonan Kerry Washington memang cukup padu. Wataknya yang keras memberontak dek tekanan demi tekanan cukup jelas dipaparkan. Lakonan Jeremy Jordan pula sebagai Paul Larkin memang buat dirinya dibenci. Lakonan setiap watak walaupun minimal berjaya meninggalkan kesan yang cukup baik kepada penonton.

Mungkin pada orang lain, American Son ni biasa-biasa. Tapi, pada aku, naskah ini memang rare dan cukup luar biasa. Mungkin pada kita sebagai rakyat Malaysia tidaklah memahami sepenuhnya isu rasism di Amerika, tetapi kita mungkin dapat relate certain issue dalam filem ni dalam persekitaran hidup kita.

Jujurnya, American Son ialah suara keras tentang rasism yang wajib dihilangkan dari dunia. Setiap kaum punya hak sama rata. Dan di dalam filem American Son, tak kiralah kau hitam, putih, atau warna apa sekalipun, kau tetap seorang anak Amerika.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan