Ulasan Filem: Mallesham (2019)

Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Raj Rachakonda
Pelakon | Priyadarshi, Ananya Nagalla, Jhansi

Kalau Bollywood ada Padman lakonan Akshay Kumar yang berkisar pasal kisah seorang lelaki yang menginovasikan tuala wanita yang lebih murah untuk komuniti India, industry filem Telugu pula ada Mallesham sebagai pesaing. Kisah biografi tentang bagaimana seorang lelaki mencipta mesin untuk membantu penciptaan sari ditonjolkan dengan penceritaan yang tersendiri.

Mallesham bercerita tentang seorang lelaki bernama Mallesham dan bagaimana dia mencipta mesin yang membantu memintal benang untuk penciptaan sari. Setiap liku perjalanan hidup dikisahkan dari kecil sehinggalah dewasa. Elemen cinta juga diselitkan tetapi dalam dos yang sederhana dan tidaklah mengganggu penceritaan utama.

Jika korang penggemar filem biografi, Mallesham memang sebuah filem wajib tonton. Filem yang lebih real dan tidaklah bergantung kepada lagu dan tari ini memang enak kerana ianya ada jiwa dan roh baru untuk sinema Telegu. Apatah lagi, setelah kejayaan filem Padman, menonton Mallesham ialah sebuah penontonan untuk melihat seorang lagi pencipta inovasi di India difilemkan.

Lakonan Priyadarshi sebagai Mallesham memang cukup baik dan memuaskan. Lakonannya cukup bersahaja dan kelihatan energetik. Dari awal filem, setiap usia Mallesham dipaparkan dengan baik dan memang berjaya memberikan ruang untuk penonton menghayati filem ini sehingga akhir.

Mallesham bukan sahaja sebuah filem tentang penciptaan mesin pintal sari yang dikenali sebagai Lakshmi Asu. Ianya sebuah filem yang memintal sebuah semangat anak muda dan juga ranjau hidup yang dipenuhi dengan pelbagai liku. Sekaligus, Mallesham juga lengkap dengan pelbagai babak yang sarat motivasi dan juga hebat untuk dijadikan pedoman.

Perjalanan Mallesham membuktikan bahawa tak semua orang yang berjaya itu datang daripada orang yang berjaya di sekolah. Berbekalkan keazaman dan juga keinginan untuk membantu ibunya, Mallesham berjaya untuk mencipta mesin pintal benang yang sekaligus melayakkan dirinya mendapat anugerah keempat tertinggi di India, Padma Shri.

Filem ini berlatarkan era 80an di sebuah perkampungan. Jadi, memang detail lakonan dan juga set lakonan cukup memuaskan untuk era berkenaan. Setiap detail dipersembahkan dengan cukup baik dan tiada cacat cela.

Elemen romantik filem ni sangat sederhana. So, kalau korang expect filem ni sarat dengan elemen cinta, maka korang jangan layan. Elemen cinta filem ni sekadar penghias seri sahaja. Begitu juga dengan komedi. Elemen drama dan perjalanan hidup Mallesham ialah penceritaan yang utama dan dibina dengan cukup cantik.

Gabungan kisah biopik, elemen romantik dan juga komedi menjadikan Mallesham sebuah kisah biopik yang cukup rencah dan wajar ditonton. Melalui filem ni, dunia kenal seorang lagi wajah ikon India yang mempunyai minda dan idea dalam menginovasikan dunia. Ianya juga sebuah filem yang sarat motivasi yang cukup baik.

Filem ni wajar dipuji. Kalau Padman di Bollywood, maka Mallesham pula berjaya sebagai sebuah filem biopik berbahasa Telugu. Telegu atau Bollywood, kisah biopik sebegini sentiasa dimahukan penonton filem yang mahukan lebih lagi kisah pasal manusia-manusia hebat.

Mungkin Mallesham ialah filem Telegu terbaik untuk genre biopic bagi filem Telegu. Ini sekaligus menjadikan Mallesham sebuah filem yang wajib ditonton jika korang penggemar filem yang berpijak di dunia nyata.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan