Ulasan Filem: Dendam Pontianak (2019)

Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Glen Goei, Gavin Yap
Pelakon | Fazura, Remy Ishak, Hisyam Hamid

Apabila mendengar bahawa filem ni ialah gabungan usahasama daripada dua negara, Singapura dan Malaysia, sudah semestinya hasil yang diinginkan semestinya besar. Walaupun idea filem pontianak adalah cliché dalam perfileman tempatan, sudah pasti Dendam Pontianak diharap untuk membawakan kisah yang lebih segar dan bermutu.

Membariskan pelakon daripada dua negara, Dendam Pontianak mengisahkan Fazura yang memainkan watak pontianak. Selain itu, watak Khalid lakonan Remy Ishak dan Reza lakonan Hisyam Hamid menjadi watak yang menceritakan kesemua konflik di dalam filem ni. Barisan aktor aktres yang cukup hebat, tapi sayangnya Dendam Pontianak agak gagal.

Dengan barisan pelakon yang hebat, Dendam Pontianak gagal dan tenggelam dalam plotnya yang bercelaru. Dari aspek penceritaan, seakan-akan kelihatan cubaan untuk memberikan sentuhan moden kepada watak pontianak dengan penceritaan yang ringkas dan elemen gore yang diselitkan. Tapi, semua adunan macam tak bergaul dengan baik.

Di fasa awal pengembangan filem, filem ni seakan nampak macam menyelitkan unsur revenge. Jelaslah dan selarilah ianya dengan tajuk filem ini. Tapi, di pertengahan sehingga akhir, revenge itu semakin tenggelam dan kurang umph. Kisah dendam seorang pontianak tidak lagi menjadi keutamaan.

Kisah Khalid dan Mina seakan-akan tenggelam timbul. Elemen percintaan dua watak ini yang membawa kepada point penting kisah Dendam Pontianak tidak dihias dengan cantik. Malah, kisah cinta Khalid dan Mina tidak sedikit pun meninggalkan impak yang dalam terhadap pengembangan cerita ini.

Beberapa watak filem ni seakan-akan gagal untuk berkembang dengan baik. Watak lakonan Nam Ron seakan-akan wujud tanpa ada penceritaan yang baik tentang latar watak. Terdapat banyak karakter di dalam filem ini yang wujud seperti filem ini sebuah episod pertengahan kepada sebuah siri drama yang panjang.

Selain itu, dialog-dialog di dalam filem ni seakan-akan kaku dan gagal. Ada babak-babak serius dan seram menjadi lucu gara-gara dialognya yang kadangkala agak kurang menjadi. Beberapa dialog lakonan Fazura kelihatan agak kurang matang dan menjadikan watak Mina seperti satu watak yang tidak lagi bermisteri.

Namun begitu, filem ni memang ada kekuatan dari aspek editing dan visual. Setiap babak di dalam filem ni memang cukup cantik dan bertaraf internasional. Memang kalau bawa filem ni ke luar negara, mungkin orang akan appreciate. Tapi, itu pun kalau filem ni disekalikan dengan plot dan penceritaan yang lebih kemas dari ini.

Adalah sangat mengecewakan apabila filem ni yang dijangkakan boleh memberikan level baru dalam genre seram jatuh tersungkur. Dendam Pontianak tak mampu untuk memberikan kesegaran baru untuk sebuah naskah bertemakan pontianak. Lakonan Fazura yang ditenggelami skrip dan dialog yang goyah menjadikan dendam pontianak yang penuh dengan kelucuan dan bukannya seram yang diharapkan.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan