Ulasan Filem: Article 15 (2019)


Tahun Terbit| 2019
Pengarah | Anubhav Sinha
Pelakon | Ayushmann Khurrana, Isha Talwar, Sayani Gupta

Anubhav Sinha kembali lagi dengan sebuah filem yang menyentuh isu sensitive di India. Pengarah yang memang terkenal dengan filem aksi seperti Dus, Cash dan Ra.One nampaknya mengubah arah genre filem arahannya semenjak tahun 2018. Dia hadir dengan filem Mulk yang bercerita tentang India muslim dan kini 2019, dia tampil dengan filem Article 15.

Apa yang ada pada Article 15 sehinggakan ramai yang menyatakan bahawa ianya sangat sensitif? Secara ringkasnya, kita semua tahu bahawa masyarakat India terkenal dengan pembahagian masyarakat mengikut kasta. Ada rendah ada juga yang tinggi. Article 15 ini diwujudkan dalam Perlembagaan India untuk menghapuskan kasta ini dan menyamaratakan masyarakat di India.

Namun, adakah kasta-kasta di India ini terus musnah? Tidak. Masyarakat mengikut kasta masih lagi menjadi amalan di sesetengah kawasan di India. Dan filem ini menceritakan bagaimana kasta membawa kepada pelbagai masalah dan sama rata antara masyarakat itu ialah lebih baik. Ya, filem ni cuba mengubah persepsi kasta itu dalam konflik yang dibinanya.

Diinspirasikan dari kisah benar, Article 15 mengisahkan Ayan Ranjan, seorang pegawai tinggi polis daerah yang ditugaskan berkhidmat di perkampungan Laalgaon. Kehadirannya tidak berapa diterima orang kampung dan pegawai bawahannya kerana dia mengubah pandangan polis terhadap kerja mereka yang berhadapan dengan masyarakat berkasta.

Kes Aryan yang merumitkan keadaan diterimanya. Dua orang wanita dirogol dan lalu dibunuh dengan menggantung diri. Ramai yang menyatakan bahawa pembunuhan itu berlaku sebagai ‘honor killing’, tetapi Aryan menyangkakan adanya jenayah di sebaliknya. Penyiasatan Aryan menjadi bahan cerita filem ni dan diselitkan dengan pelbagai dialog yang cukup padu.

Bagi penggemar filem penyiasatan, aku rasa filem ni memang agak slow. Pacingnya memang tidaklah laju macam filem penyiasatan lain. Terlalu banyak masa dihabiskan dengan dialog dan juga lakonan Ayushmann Khurrana yang menghadapi tentangan halus dari masyarakat kampung. Penyiasatan tentang pembunuhan itu kadangkala memerlukan penonton untuk bersabar kerana ianya bukan filem penyiasatan biasa.

Filem ni seakan-akan mahu memberi impak dan menekankan pentingnya Article 15 dalam Perlembagaan India. Thrillernya memang sederhana. Memang kalau korang tak gemarkan filem thriller yang slow macam ni, memang agak mengantuklah. Tapi, macam biasa, tak semua orang yang kurang gemar filem sebegini.

Memang filem ni memaparkan realiti di India yang memang orang luar jarang nampak dalam filem Bollywood. Lakonan Ayushmann Kurrana memang sangat realistik dan cukup mantap. Kita tak melihat polis seperti Singham mahupun watak kepolisan lain yang memang bengis wajahnya, tetapi kita dipaparkan dengan polis yang cukup realistik.

Pada aku, filem ni tak disarankan kalau korang mencari filem thriller yang punya adegan ganas aksi melawan graviti. Mungkin tak ramai yang akan hadam filem macam ni kerana filem ni lebih menekankan kekuatan dialog daripada paparan visual. Pada aku, Article 15 punya dialog padu, tapi kesabaran memang sangat-sangat diperlukan untuk menghabiskan filem ni.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan