Ulasan Filem: Krasue Inhuman Kiss (2019)

Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Sitisiri Mongkolsiri
Pelakon | Phantira Pipityakorn, Oabnithi Wiwattanawarang, Sapol Assawamunkong

Thailand tidak pernah mengecewakan dalam menggabungkan elemen horror dan juga drama. Apa tidaknya, tengok sajalah Nang Nak yang mungkin boleh digambarkan sebagai filem romantik seram yang cukup menjadi pada eranya. Kini, di era serba baru, Krasue: Inhuman Kiss bakal cuba mencorakkan elemen sama dengan gaya segar.

Filem Krasue: Inhuman Kiss ini ialah sebuah filem bergenre romantik seram yang boleh disifatkan sebagai antara karya seram yang cukup kemas dan baik daripada Thailand. Selesai menonton filem ni, kita sebenarnya diperlihatkan dengan kematangan perfileman Thailand dalam menghias filem mereka dengan elemen kesan khas computer dan praktikal.

Berbekalkan lagenda krasue, ataupun dalam budaya Malaysia dikenali sebagai penanggal, filem ni mencorakkan kisah persahabatan dan juga kasih sayang dalam kesempitan manusia-manusia yang sedang bergelumang dengan perperangan. Ianya ialah satu paparan masyarakat yang cukup ringan tetapi nikmat untuk tatapan mata.

Secara ringkasnya, Krasue: Inhuman Kiss mengisahkan bagaimana seorang gadis di sebuah kampong yang dijangkiti sumpahan Krasue. Dia bergelumang dengan dirinya yang tidak dapat dikawal dan juga orang kampong yang sedang giat memburu Krasue. Namun, di sebalik pemburuan Krasue, terdedah sebuah rahsia silam yang penuh kejutan.

Fasa pertama filem ni menyaksikan paparan elemen kasih sayang dan cinta yang memang menarik. Lakonan Phantira Pipityakorn memang boleh dipuji. Malah rakan-rakannya juga yang melakonkan watak Noi, Jerd dan Tad juga antara yang penuh dengan drama yang memeriahkan filem ni.

Jujurnya, di awal filem sehingga ke pertengahan filem ni, ianya adalah momen yang cukup baik untuk dinikmati. Filem ni berjaya mencampurkan elemen persahabatan, romantik dan kekeluargaan di awal fasa ini untuk membina emosi dan sifat kasihan terhadap watak. Dan selebihnya, kita ditanam dengan teka-teki tentang apakah nasib Sai di penghujung.

Namun, menelurusi fasa kedua dan kemuncak filem, ianya seakan agak kalut dengan pelbagai perkara yang hendak disudahkan. Agak mengejutkan juga apabila penamat filem ni seolah-olah menyaksikan Superman dan Batman bergaduh dalam suasana kampung. Agak unik tetapi sayangnya kesan khas yang gagal direalisasikan dengan baik mencacatkan penamat filem ni.

Walaupun elemen CGI di babak kemuncak filem agak kurang baik, keseluruhan filem ni nampaknya dihias cantik dengan elemen kesan visual yang memuaskan. Watak krasue yang mana terdedah bahagian kepala sahaja dan beterbangan di udara adalah antara kekuatan CGi filem ni yang berjaya ditampilkan.

Percayalah, walaupun filem ni agak lambat dan dipenuhi dengan romantika dan drama, ianya bukanlah sebuah filem yang membosankan. Ianya ialah paparan tentang kepercayaan, kasih sayang dan juga masyarakat yang bergelut dengan suasana perperangan pada masa itu.

Filem ni tak ada jumpscare pun. Cukup untuk korang layan filem ni dengan melihat kekuatan penceritaannya dan juga twist yang cukup baik. Mungkin aku mampu untuk abaikan kesan khas babak pertarungan akhir filem yang agak kurang menjadi. Apapun, secara keseluruhannya, Krasue: Inhuman Kiss berjaya mengembalikan kenangan rasa romantik horror seangkatan dengan naskah Nang Nak.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan