Ulasan Filem: Holmes & Watson (2018)

Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Etan Cohen
Pelakon | Will Ferrell, John C Reilly, Rebecca Hall

Kalau korang memang penggemar filem atau novel Sherlock Holmes dan memang tak suka watak ni diparodikan, maka filem ni bukan untuk korang. Yup, memang kalau fan yang mendambakan Sherlock, rasanya pasti apa yang dipersembahkan sangat menyakitkan hati dan buatkan kau rasa stress sangat. Sebab ini filem komedi yang sangat pelik dan menjijikkan, tetapi boleh layan juga kalau bosan-bosan.

Holmes and Watson mungkin satu-satunya filem yang berani memparodikan Sherlock Holmes yang selama ini kita biasa lihat dalam filem bergenre penyiasatan. Kali ini Holmes yang dilakonkan oleh Will Ferrell menolak keseriusan penyiasatan dan membawa watak ini ke arah jiwa ‘mabuk ketum’ yang sungguh pelik.

Aku menonton filem ini di Netflix rentetan isu filem ini yang mendapat reaksi negatif pengkritik pada tayangan awal. Memang ada kebenarannya. Filem ni, kalau kau layan kat pawagam, memang balik rumah menyesal sebulan habiskan duit beli tiket. Percayalah, ianya tidak berbaloi langsung untuk menonton filem ni di pawagam.

Holmes and Watson mengisahkan bagaimana Holmes menyiasat satu kes ugutan terhadap Queen Victoria setelah satu mayat ditemui di dalam kek ketika majlis harijadi. Dari sini, filem ni bersimpang siur dengan penyiasatan yang main-main dan juga jenaka yang memang non stop tetapi tak sampai untuk buatkan aku ketawa.

Yup, filem ni memang nampak jelas memparodikan 100% watak Holmes. Kalau Sacha Baron Cohen ambil watak Holmes mungkin kita akan nampak watak ini sepertimana dia mambawakan watak Borat. Tapi, disebabkan Will Ferrell mengambil peranan sebagai Holmes, watak ini nampak lebih terkawal sedikit dan masih ada sisa-sisa kekuatan jenaka. Tapi, sayangnya, Will Ferrell seakan tidak memberikan perhatian penuh kepada jiwa jenakanya.

Gandingan jenaka Holmes dan Watson memang agak krik-krik. Ada sesetengah babak seakan-akan melebih-lebih dan melampau sehinggakan lawak slapstiknya nampak terlalu pelik untuk dijadikan bahan ketawa. Lakonlayar Etan Cohen juga banyak mencipta babak-babak kosong yang tidak mempedulikan naratif asal hanya untuk kepentingan komedi. Dan ianya ialah satu pembaziran.

Holmes and Watson mungkin kelihatan seperti agak kurang masak mencampurkan elemen penyiasatan dan komedi. Komedinya kelihatan lebih kuah, manakala penyiasatannya pula seakan-akan main-main dan tidak penting mana. Mungkin elemen penyiasatan dan komedi seharusnya diseimbangi untuk menjadikan filem ni ada jenaka dan elemen siasat yang sempurna.

Penceritaan filem ni memang ke sana ke mari, dengan pelbagai babak yang kadangkala tak masuk akal dan tak penting. Kalau nak dipotong-potong, cerita filem ni cukup ringkas dan pendek saja. Pada aku, filem ni memang untuk sesiapa yang nak faham apa itu filem yang teruk. Filem ni mendefinisikan bahawa Hollywood tidak semestinya berkualiti. Kadangkala, ada juga sampah yang hadir dalam dunia mereka untuk kita. Dan Holmes and Watson ialah buktinya.

Mungkin pada sesetengah orang, filem ni mungkin boleh dilayan ringan-ringan. Pada aku, filem ni bukan untuk pencari filem yang memang nak layan filem yang berkualiti. Malah, bagi siapa yang faham kualiti filem Will Ferrell, memang korang mungkin boleh hadap dengan filem ni. Tapi, aku rasa, inilah filem Will Ferrell yang paling teruk dan buatkan aku tepuk dahi.

Emmm… tapi, ending filem ni, bila fight atas Titanic tu, dan ada kemunculan Billy Zane, ok. Tu memang torbaik.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan