Ulasan Filem: I Am Mother (2019)

Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Grant Sputore
Pelakon | Clara Rugaard, Hilary Swank, Rose Byrne

Netflix sekali lagi mengedarkan sebuah filem bergenre si fi yang bertemakan keibuan dan juga dunia yang sudah pun hampir kiamat. I Am Mother arahan Grant Sputore ini mungkin antara filem bergenre sedemikian yang wajar ditonton atas beberapa sebab. Dan nak warning awal-awal, filem ni tak ada kaitan dengan filem I Am Legend tau!

I Am Mother mengisahkan watak Clara Rugaard yang tidak diberi nama dan hanya dikenali sebagai Daughter. Di dalam bunker yang menempatkan ratusan embrio, Daughter dijaga oleh seorang robot bijak yang dikenali sebagai Mother. Sepanjang hidupnya, dia ingin tahu dunia luar sehinggalah muncul seorang wanita lakonan Hilary Swank.

Filem ni boleh dikatakan mempunyai plot yang baik. Development plotnya, dari permulaan, kepada kemuncaknya begitu baik garapannya. Dengan pelakon yang sedikit, I Am Mother berjaya untuk menciptakan pelbagai ketegangan yang menyebabkan kita sebagai penonton untuk tahu apa selanjutnya yang akan berlaku.

Setting filem ni memang hanya di dalam bunker yang berteknologi tinggi sahaja. Pada aku, memang filem ni penuh dengan momen yang sangat memberikan kesan kepada penonton. Malah, kejutan di akhir filem dengan ending yang agak membuatkan penonton berfikir memberikan rasa gah kepada filem ni yang tidak banyak aksi.

I Am Mother bukan hanya bercakap tentang kasih sayang ibu, tetapi lebih dari itu. Ianya sesuatu yang lebih kepada kesan kepada perbuatan manusia sendiri yang menyebabkan masa depan itu terjadi. Pada aku, story filem ni memang brilliant dan jarang kita temukan dalam filem edaran Netflix setakat ini.

Dari segi lakonan, Clara Rugaard berjaya menyampaikan apa yang harus disampaikan oleh karakternya. Sifat ingin tahunya, dan juga jiwanya sebagai manusia yang dibela robot berjaya dizahirkan dengan baik. Hilary Swank, walaupun tidaklah banyak babak yang memaparkan dirinya, dia berjaya menampilkan lakonan yang mantap.

Robot yang dikenali Mother pula yang mana suaranya disumbangkan oleh Rose Byrne memang cukup menarik untuk disaksikan keletahnya. CGI yang mantap menjadikan watak Mother kelihatan realistik. Malah, emosi watak Mother juga berjaya dizahirkan melalui mimik muka ringkas robot tersebut.

I Am Mother memang sebuah filem paparan masa hadapan yang wajar dipuji kerana kekuatannya. Pada aku, ini ialah antara filem si fi yang layak berada dalam kelasnya yang tersendiri. Lagipun, filem ni ringkas sahaja dan boleh dilayan siapa sahaja yang mahu memulakan penontonan genre sebegini. Jadi, tak payah risau, senang je nak faham filem ni.

Mungkin tak semua yang seronok dengan genre sebegini, tetapi pada aku, tetapi I Am Mother berjaya memenuhi kehendak aku dengan setiap aspek filem ni. Dari lakonan, CGI dan cerita yang mantap, filem ni berjaya diletakkan dalam senarai penontonan terbaik aku dalam filem-filem Netflix yang telah aku tonton.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan