Ulasan Filem: Chopstick (2019)

Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Sachin Yardi
Pelakon | Mithila Palkar, Abhay Deol, Vijay Raaz

Netflix nampaknya sedang giat untuk menerbitkan filem dari Asia. Antara yang terkena tempiasnya ialah Bollywood. Dari sana, Netflix nampaknya cuba untuk meyakinkan pengguna penstriman mereka bahawa Bollywood bukan sahaja tentang lagu dan cerita, tetapi boleh dilihat dari pelbagai lagi. Dan lahirlah karya baru Netflix dari sana, Chopstick.

Chopstick ialah sebuah filem bergenre komedi drama yang mana diarahkan oleh Sachin Yardi. Untuk info, Sachin Yardi ialah pengarah yang sebelum ini pernah mengarahkan dua filem Bollywood, C Kkompany pada 2008 dan juga Kyaa Super Kool Hai Hum pada 2012.

Filem Chopstik dilakonkan oleh Mithila Palkar dan Abhay Deol sebagai teraju utama. Kedua duanya adalah muka baru bagi penggemar Bollywood di dunia. Mungkin kerana mereka ialah wajah yang tidak terlalu dominan untuk sebuah cerita yang tidak mendominasi mana-mana watak, mereka dipilih untuk memegang teraju utama.

Alkisah Chopstick ni berkisar tentang seorang wanita, Nirma yang baru saja beli kereta baru. Nak dijadikan cerita, apabila nak ke kuil, keretanya dicuri oleh penipu yang menawarkan khidmat parking kereta. Sayang punya pasal, dia cuba untuk dapatkan kembali keretanya setelah mendapat cadangan untuk meminta bantuan Artist, yang mana merupakan seorang pembuka peti besi.

Idea filem ni memang menarik. Aku tertarik untuk menonton filem ni pada awalnya sebab berkenan dengan sinopsis. Namun, di akhir filem ni, aku rasa lelah menunggu dan akhirnya menyatakan bahawa filem ni tidaklah sehebat mana. Ada banyak perkara yang agak membelenggu fikiran walaupun kisahnya tidaklah berat mana.

Pertama, aku kurang gemar dengan tajuk filem ni. Entah apa kaitan Chopstick dengan filem ni aku tak dapat nak sambungkan. Tak ada kaitan langsung alat makan masyarakat China itu dalam filem ni. Adalah dalam satu dua babak mereka menggunakan chopstick, tapi apa dominannya alat itu dengan penceritaan tidaklah dapat dikaitkan.

Kedua, penceritaan filem ni macam kering sangat. Mungkin aku agak terpesona dengan gaya lakonan nerd si Mithila Parkar pada awal filem. Namun, semakin filem ni bergerak ke tengah, dan masuk elemen gangster yang curi kereta, filem ni dah macam kering dan tidaklah berada pada jalan yang aku harapkan.

Chopstick seakan drama Bollywood yang try hard nak jadi luar kotak. Elemen komedinya ada satu dua yang boleh jadi menarik, namun kebanyakkannya tidaklah begitu hebat. Mungkin di satu dua babak, lakonan Vijay Raaz sebagai Faiyaz Bhai mencuri tumpuan dan menenggelamkan karisma dua pelakon utama.

Bagi aku, filem ni memang ada rasa lain dari filem Bollywood lain. Ianya hanyalah sebuah filem biasa, tanpa sebarang lagu, dengan latar India, dan suara Hindi, namun ianya bukanlah sebuah filem yang tipikal. Adalah menarik apabila Bollywood cuba membuktikan mereka bukan hanya hidup dengan seni lagu dan cerita, tetapi boleh juga membina cerita tanpa lagu.

Chopstick mungkin bukan sebuah filem yang baik. Namun, ianya bercerita tentang bagaimana seseorang itu menghadapi tekanan dan cuba untuk menjadi lebih baik. Itu yang tersirat dalam filem ni. Sayangnya, dengan kekuatan cerita yang gagal disampaikan dengan baik, Chopstick mungkin boleh menjadi sebuah karya Netflix yang hanya boleh ditonton bila takde filem lain nak distrim.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan