Ulasan Filem: The Wandering Earth (2019)

Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Frant Gwo
Pelakon | Qu Chuxiao, Li Guangjie, Ng Man-tat ,Zhao Jinmai

Kalau nak diikutkan, The Wandering Earth ni tiada bandingannya dengan filem-filem China yang lain. Kenapa? The Wandering Earth ni ialah satu-satunya filem si fi pertama dengan kualiti sehebat ini yang pertama dihasilkan di China. Filem ini memang sukar untuk digambarkan kualitinya, kerana filem ini meraikan kehebatan industri filem China di tahap tertinggi.

The Wandering Earth bukanlah sebuah filem yang penuh dengan sains dan fakta. Filem ni memang seratus-peratus mengarut kerana idea untuk bawa bumi keluar dari orbitnya hanya kerana sistem solar sudah mula tak stabil ialah idea yang sukar diterima akal. Fikir logik pun, dengan kekuatan yang ada, adalah mustahil untuk kita pindahkan bumi ke tempat lain tanpa mengalami kerosakan total.

Namun, abaikan sahaja idea mustahil itu. Kita ambil dan terima sahaja idea yang dipersembahkan ini. Filem yang mana diadaptasi daripada novella yang pernah memenangi anugerah ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan wajar disanjungi. Kenapa?

Pertamanya, filem ni membuka mata kita tentang genre si fi di negara China. Kita mungkin sudah muak dengan genre perang dan kisah silam zaman sejarah mereka yang sering dipaparkan. Jadi, The Wandering Earth ialah sesuatu filem yang membawa genre si fi ke dalam industri filem China dan ianya berjaya menarik perhatian penonton.

Keduanya, filem ni memaparkan keterbukaan industri filem China dalam pembikinan filem mereka. Agak mengejutkan apabila filem China yang selalu dubbing dialog daripada bahasa luar memaparkan pelbagai bahasa di dalam filem ni. Kita dipaparkan dengan pelbagai bangsa di dalam filem ini termasuklah daripada Indonesia, India dan juga German.

Apapun, filem ni sebenarnya kelihatan menggabungkan elemen Armageddon, dan juga filem si fi barat. Elemen kekeluargaan dibina untuk menjadi kekuatan dalam filem ni. Penonton tak perlu nak faham banyak-banyak untuk memahami filem ni. Secara santai boleh juga nak tonton, tapi takdelah sesantai sangat.

Aku agak kurang gemar dengan beberapa elemen filem ni. Pertama, filem ni mempunyai terlalu ramai karakter dan juga sesetengahnya wujud hanya untuk ada sahaja. Tiada pengembangan dan juga tidak mempunyai kekuatan untuk membantu meningkatkan kekuatan penceritaan. Namun, ianya boleh diabaikanlah.

Selain itu, filem ni yang mempunyai terlalu banyak sub plot mungkin agak kurang menarik di fasa awal. Namun, penantian korang yang menunggu untuk klimaks yang baik mungkin berbaloi. Ending filem ni memang terbaik dan sangat memuaskan walaupun logiknya memang ke laut habis. Dah macam filem Tamil dah nampaknya.

Filem ni memang meriah dan penuh dengan pelbagai ketegangan. Korang memang tak dapat nak kelip mata kalau tonton filem ni. Ianya tidak berkisar tentang seorang lelaki mahu menyelamatkan bumi tetapi bagaimana manusia yang mahu hidup mahu kekal hidup dengan mengekalkan bumi yang sedia ada. Sebuah filem yang penuh dengan kemeriahan meraikan semangat kemanusiaan. Filem yang hebat ini boleh ditonton di Netflix.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan