Ulasan Filem: The Silence (2019)

Tahun Terbit | 2019
Pengarah | John R. Leonetti
Pelakon | Stanley Tucci, Kieman Shipka, Miranda Otto

Selepas kejayaan A Quiet Place, Netflix nampaknya tak mahu ketinggalan untuk mencuba menerbitkan filem dengan genre yang sama. Sayangnya, A Quiet Place dan The Silence ibarat dekatnya panggang dengan api. Hampir sama tetapi intinya berbeza. Konsepnya mempunyai similariti tetapi sewajarnya, kita lihat filem mana yang lebih baik.

Setelah menonton The Silence, aku boleh katakan yang filem ni memang mempunyai konsep tentang ‘mesti senyap, atau mati!’. Tetapi, elemen penceritaan, rupa makhluk dan juga pengkisahannya jauh berbeza. Justeru, aku wajar menyatakan bahawa The Silence harus diberi penghormatan sebagai filem yang baru.

Menonton filem The Silence membuatkan aku merasakan bahawa Netflix seperti terdesak untuk menerbitkan filem-filem yang berkualiti, tetapi pada masa yang sama masih gagal untuk tampil dengan filem sedemikian. Diakui, ada beberapa filem Netflix yang baik, namun keseluruhannya, filem terbitan mereka kebanyakannya hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

The Silence bermula dengan sesuatu yang amat baik. Aku mengharapkan filem ni dikembangkan dengan baik dan berjaya membuktikan bahawa filem Netflix mampu untuk menjadi sebuah filem yang baik. Namun, di pertengahan filem, filem ni mula menjadi buntu dan hilang arah seterusnya tersungkur dalam mencari pintu keluar.

Filem yang menggandingkan pelakon siri Chilling Adventures of Sabrina dan juga Stanley Tucci ini mengisahkan bagaimana satu keluarga terpaksa bergerak untuk menuju tempat selamat angkara makhluk kelawar yang sensitif terhadap bunyi menyerang seluruh wilayah Amerika. Perjalanan mereka bermula dengan baik, namun masalah muncul di tengah jalan.

The Silence tidaklah teruk mana. Ada momen yang aku rasakan berjaya untuk memberi kesannya yang tersendiri. Elemen kekeluargaan yang dipaparkan begitu kuat sehinggakan memberi aku persepsi bahawa elemen itulah satu satunya yang membantu filem ni supaya tidak tenggelam.

Lakonan Stanley Tucci dan Kernan Shipka boleh dipuji. Kiernan Shipka yang membawa watak perempuan pekak yang masih boleh bercakap terasa agak janggal. Walaupun dijelaskan kenapa dia masih boleh bertutur walaupun dia pekak, gaya lakonannya seakan terlalu tidak logic dan tidak masuk akal.

Apapun, The Silence ialah percubaan Netflix untuk mengeksplorasi genre filem horror yang jarang diterbitkan oleh syarikat penstriman terbesar itu. Namun, Netflix seharusnya berhati-hati supaya filem sebegini tidak mempunyai pertembungan sehingga penonton membuat perbandingan dan merendahkan kualiti filem ni.

Sebelum ni, Netflix berjaya viral dengan Birdbox walaupun filem itu pun mempunyai ending yang agak abstrak. Percubaan The Silence mungkin gagal apabila A Quiet Place berjaya dahulu di mata penonton sekaligus membuatkan The Silence tenggelam. Tetapi, harus diakui bahawa cerita filem ni dan A Quiet Place tidak sama, cuma konsep sahaja yang sama.

Sebuah filem yang jika membandingkan dari sisi kualiti filem terbitan Netflix, puas hati untuk ditonton.



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



Catat Ulasan

0 Ulasan