Ulasan Filem: Petta (2019)


Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Karthik Subbaraj
Pelakon | Rajinikanth, Vijay Sethupathi, Simran, Nawazuddin Siddiqui

Rajinikanth tidak pernah tampil dengan filem yang tiada gaya. Sudah pastinya, di setiap filem, dia berjaya mengeluarkan auranya yang sentiasa diminati itu dan menjanjikan sesuatu yang sudah umum ketahui bakal menjadi superhit. Selepas 2.0, Rajinikanth menyusul dengan Petta yang kini sudah mula boleh ditonton di penstriman Netflix.

Melihat opening sequence filem ini, aku boleh katakan yang filem ini menawarkan kelainan daripada filem-filem lakonannya yang lain. Dengan pengarahan Karthik Subbaraj yang mana dipenuhi jiwa muda, Petta memang lari jauh daripada filem-filem aksi Tamil lain walaupun kita dipaparkan dengan elemen sama.

Petta mungkin mirip dengan Main Hoon Na lakonan Shah Rukh Khan. Namun, jangan kecewa, elemen itu hanya di separuh masa pertama sahaja. Tidak ada persamaan dari segi plot langsung. Cuma yang ada, persamaan apabila Rajinikanth membawa watak seorang warden asrama yang mempunyai misinya yang tersendiri.

Di separuh masa pertama, plot Petta berkisar tentang Kaali, yang mana bertugas di sebuah kolej sebagai warden asrama. Kebanyakan di separuh masa pertama lebih kepada paparan isu di sekitar asrama dan bagaimana Kaali menyelesaikannya. Separuh masa pertama ini dipenuhi dengan visual dan aksi yang sangat cantik pada visual.

Melangkah masuk ke separuh masa kedua, Petta bergerak menyusur rahsia yang tersembunyi di hujung separuh masa pertama. Misi yang disembunyikan didedahkan dan kita dibawa keluar daripada dunia asrama dan menyelami dunia Kaali yang sebenarnya. Bahagian ini penuh dengan twist dan juga flashback yang begitu menarik.

Petta meriah dengan permainan warna dan cahaya yang mungkin jarang kita saksikan dalam filem Rajinikanth. Dengan bantuan visual, kesan khas dan pencahayaan yang begitu memukau, Petta berjaya mengangkat superstar Rajinikanth untuk menjadi seorang hero yang sentiasa muda dan tidak pernah tua.

Aku menyukai filem ini kerana aksinya yang tidak berlebihan. Tidak banyak adegan aksi yang melampau namun, kekuatan filem ini sudah pastinya pada aksi dan juga twist yang sangat menarik dan tidak dijangka.

Filem ini tidak mempunyai lagu yang banyak. Malah, watak lakonan Rajinikanth tidak dipasangkan dengan heroin yang menonjol di dalam filem ini. Ini sekaligus menaikkan watak Petta dan menjadikannya highlight filem ini. Cuma aku agak kecewa dengan lakonan Nawazuddin Siddique yang pada aku tenggelam walaupun bakatnya digunakan sehabis daya untuk membawa watak.

Pada aku, aku sarankan Petta kepada penonton yang mahukan kelainan dalam filem lakonan Rajinikanth. Filem ni tidaklah hebat, tetapi ianya berjaya memberikan kesegaran dalam dunia filem Tamil dan memuaskan hati aku. Petta ibarat sebuah jiwa muda pengarahnya yang disuntik dengan jiwa pelakon serba boleh.

Terbaik!


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan