Ulasan Filem: Maria (2019)


Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Pedring Reyes
Pelakon | Christine Reyes, Germaine De Leon, KC Montero

Beberapa bulan ini, kelihatan beberapa filem aksi seni bela diri dari Filipina sudah berjaya menarik perhatian Netflix untuk mengedarkannya. Dari filem aksi Brightburn, kini terbaru, filem Maria yang mempertaruhkan genre seakan filem John Wick pula dipersembahkan. Kali ini, Maria memberi ruang untuk kita menilai kekuatan filem aksi seni bela diri dari sana.

Sebelum meneruskan, berikut ialah sinopsis lebih kurang untuk filem Maria. Kisahnya berkisar tentang Maria lakonan Christine Reyes yang mana merupakan pembunuh upahan yang bersara. Namun, masa silamnya memburunya kembali apabila keluarganya dibunuh. Apa lagi, Maria pun nak balas dendamlah.

Nampak familiar kan kisahnya? Tapi, takpe. Sebab filem ni tidaklah menekankan penceritaan, tetapi aksi. Sememangnya filem-filem aksi memerlukan plot yang mudah. Filem ni mempertaruhkan aksi-aksi bela diri dan juga kengerian seakan kita menonton filem aksi dari Indonesia. Sayangnya, Maria masih seakan bertatih dan gagal mencapai kelazatannya yang tersendiri.

Ada beberapa bahagian yang aku kurang gemar dan tidak selesa dalam filem ni. Filem ni seakan gagal untuk menyerlahkan watak-watak dalam lakonan yang meyakinkan. Rasa macam terlalu skema dan macam tonton filem Yusof Haslam pun ada. Dialog kebanyakannya kaku dan memang tak sampai.

Dari aspek aksi, ada beberapa aksi bela diri yang boleh dikatakan dikoreografi dengan jaya. Namun, kebanyakan aksi dalam filem ni terlalu bosan dan tidaklah menarik dan hebat untuk diperkatakan. Mungkin beberapa aspek seperti darah yang nampak too fake dan juga kerja kamera yang gagal membawa aura merendahkan koreografi yang disediakan.

Maria juga mempunyai banyak sub plot yang membuatkan kadang-kadang rasa letih untuk diikuti. Filem aksi yang sebegini seharusnya mempunyai plot seringkas mungkin dengan usaha untuk menguatkan setiap adegan supaya penonton boleh fokus dengan aksi pertarungan.

Boleh dikatakan yang Maria bukanlah sebuah filem yang hebat sangat. Kebanyakan filem ni bergantung kepada seksinya Christine Reyes dan juga adegan yang seakan filem Barat. Tiada identiti Filipina yang dipaparkan menjadikan filem ni lack of originality dan pemaparan budaya Filipina. Apapun, mungkin itu kehendak pembikin filem ni kot.

Aku lebih suka jika Maria mempunyai koreografi aksi yang boleh diingati. Aku juga berharap bahawa filem ni penuh dengan adrenalin rush. Selain itu, kalau ada elemen budaya diorang, mungkin itu lebih gempak. Sayangnya, semua perihal tu tiada di dalam filem ini dan menjadikan filem ni sedikit hilang taring.

Apapun, pada aku, Maria mungkin boleh diletakkan dalam filem aksi gred B yang bolehlah dilayan santai-santai. Kalau korang menggemari filem ala-ala John Wick, mungkin ini ialah filem yang sesuai untuk layanan korang. Tapi, jangan expect too much sebab beberapa bahagian filem ni pasti akan mengecewakan korang.

Sebagai filem yang ditayangkan di Netflix, Maria mungkin memberikan kekuatan untuk kita menantikan lebih banyak filem aksi dari Filipina yang lebih dahsyat dari ni. Mana tahu, di suatu masa, kita akan melihat filem yang lebih gah dan diperkatakan dari Filipina.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan