Ulasan Filem: Suzanna Bernapas Dalam Kubur (2018)


Tahun Terbit | 2019
Pengarah | Rocky Suraya dan Anggy Umbara
Pelakon | Luna Maya, Hernujot Ali, Clift Sangra

Filem Suzanna: Bernafas Dalam Lumpur ni boleh diibaratkan sebagai sesuatu yang tidak dapat dijangkakan kehadirannya. Bagaimana pelakon yang terkenal di eranya mahu membikin sebuah kemunculan baru dalam sosok Luna Maya dan memberi keseraman di zaman di mana manusia sudah bosan dengan hantu jubah putih? Semuanya sukar untuk diterima.

Namun, selesai menonton filem ini di Netflix, aku merasakan bahawa Suzanna masih mampu hidup di era ini yang bukan lagi era kegemilangannya. Cukup untuk sebuah filem, Suzanna mampu membawa para penonton era seram baru ini untuk menikmati semula filem klasik lakonan ratu seram dari Indonesia itu.

Lakonan Luna Maya mungkin kadangkala agak janggal apabila dia cuba memimik wajah dan karakter Suzanna. Kadangkala juga, gaya tutur kata pelakon itu kelihatan cuba mengawal intonasi suaranya dan begitu pelik dan nampak fake. Namun, itu sedikit sahaja kekurangan dan tidak menenggelamkan kualiti lakonan pelakon itu untuk membawakan watak Suzanna.

Kisah Suzanna ringkas dan mudah. Budak kecil pun boleh nikmati filem ini tanpa pening kepala. Empat orang pekerja yang terdesak, dihimpit dengan pelbagai masalah kewangan memilih untuk memasuki rumah bosnya, suami kepada Suzanna saat dia berada di luar negara. Namun, saat rompakan yang mudah bertukar menjadi sukar apabila Suzanna ditimpa kecelakaan.

Dan mulai saat itu, hantu Suzanna mulai menjelma dan menghantui empat orang perompak berkenaan. Plot dikembangkan lagi dengan pelbagai perkara yang menjadikan rencah filem ini enak untuk dinikmati sebagai sebuah filem seram yang membawa aura klasik ke era moden.

Suzanna berjaya memberikan rasa sedih dan komedi yang baik walaupun unsur seramnya gagal untuk diserlahkan dengan baik. Mungkin hakikatnya, Suzanna: Bernafas Dalam Kubur tidak dibina untuk menjadi filem seram tahap tinggi tetapi cukup untuk membawa aura Suzanna dengan beberapa babak reference dari filem klasik.

Pelakon antagonis yang disumbat dalam filem ni bukanlah calang-calang. Antara lakonan yang aku gemari semestinya Alex Abad yang sebelum ini pernah aku tonton lakonannya dalam filem The Raid 2. Lakonan Teuku Rifnu Wikana juga berjaya hidup sekaligus memberikan tentangan kuat kepada Suzanna.

Visual filem ini boleh dikatakan sangat memuaskan. Elemen 80an yang diberikan berjaya memberikan jiwa dan menjauhi kebiasaan filem-filem seram yang pernah kita tonton dari Indonesia sebelum ini. Ada beberapa babak yang cukup menarik untuk ditonton sekaligus menjadikan visual filem ini bukan biasa-biasa.

Suzanna berjaya mencuri tumpuan aku. Menaikkan semangat untuk aku percaya bahawa masih ada sinar dalam dunia filem seram Indonesia yang membosankan. Ada beberapa pengarah yang mampu untuk mengembalikan jiwa klasik untuk dimasukkan ke era moden dan Suzanna ialah satu daripadanya.

Kekuatan filem ini menjadikan filem ni menarik untuk ditonton. Ya, filem ni tidak seram. Namun, untuk melihat bagaimanakah susuk Suzanna yang digilai penonton veteran membalas dendam dalam gubahan filem yang lebih moden, Suzanna sudah selayaknya memberikan paparan yang berjaya menaikkan wataknya di mata penonton masa kini.


LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan